KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan akan mengeluarkan perintah pengecualian cukai melibatkan pendapatan semua institusi keagamaan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau undang-undang bertulis yang mengawal selia institusi itu.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata langkah itu bagi memperjelas kekeliruan yang timbul ekoran pindaan kepada perenggan 13(1) Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967 itu juga bagi memperjelas status terkini institusi keagamaan selepas pindaan tersebut berkuat kuasa, katanya.
Advertisement
"Perintah pengecualian yang dimaksudkan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Johari berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuannya dengan wakil-wakil daripada institusi keagamaan yang diadakan di kementeriannya di Putrajaya semalam.
Pertemuan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Sabin Samitah.
Johari berkata pindaan undang-undang yang telah dibentang dan diluluskan di Parlimen pada sesi lepas secara prinsipnya tidak bertujuan untuk menarik balik status pengecualian cukai yang telah dinikmati oleh institusi keagamaan.
Katanya prasyarat pendaftaran untuk mendapatkan pengecualian adalah selaras dengan hasrat kerajaaan supaya institusi keagamaan sentiasa dikawal selia dengan baik dan tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
EmoticonEmoticon