Saturday, 15 April 2017

Pengalaman Banduan Terima 104 Sebatan - Antara terbanyak di Malaysia


“Tangan dan kaki saya diikat, manakala kepala ditundukkan. Tidak lama kemudian sebatan pertama singgah di punggung.

“Ketika itu saya rasa seperti langit terbuka. Azabnya tidak terperi, hanya Allah yang tahu. Saya meraung, menjerit dan baru ingat Tuhan.”

Itu kata seorang bekas banduan yang dikenali sebagai Botak Chop, 53, yang meringkuk dalam penjara selama lebih 26 tahun dan disebat dengan rotan sebanyak 104 kali secara berperingkat bermula 1992 hingga 1998.

Dia yang pernah berkongsi kamar penjara dengan penjenayah kejam Botak Chin tersenarai dalam rekod Jabatan Penjara Malaysia sebagai antara banduan yang paling banyak menerima hukuman sebat.

Akibat 39 kesalahan jenayah samun bersenjata api pada 1973 dan 1974, Botak Chop dijatuhi hukuman penjara keseluruhan selama 196 tahun dan tiga bulan bermula 1974 namun dibebaskan pada 2000 selepas mendapat pengampunan.

Dia turut dijatuhi hukuman 104 sebatan untuk semua kesalahan itu dan pelaksanaan hukuman dibuat berasingan sebanyak lima kali.

“Kali pertama saya disebat 24 kali pada 1994, diikuti (40 kali) pada Mac dan September 1996 serta dua set lagi (40 kali) secara berasingan pada 1998,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas menerima kaunseling daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tak lama dulu.

Botak Chop berkata, pengalaman pahit dikurung dalam penjara dan azab dirasai setiap kali menjalani hukuman sebat benar-benar menginsafkannya dan dia berasa seperti mati hidup semula apabila diberi pengampunan serta dibebaskan.

Bagi menebus dosa dan kesalahan pernah dilakukannya, kini Botak Chop banyak terbabit dengan aktiviti kebajikan termasuk memberi ceramah dengan berkongsi pengalaman hidupnya untuk menjadi iktibar kepada orang lain.

“Saya bukan ingin berbangga dengan kejahatan saya atau berlagak seolah-olah hebat kerana pernah puluhan tahun meringkuk dalam penjara serta disebat lebih 100 kali.

“Saya cuma ingin menebus kesalahan saya. Dulu saya banyak buat jahat, jadi kini saya ingin buat baik pula pada orang lain.

“Saya percaya pengalaman dan kisah hidup saya amat berguna untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain,” katanya yang memberi ceramah kepada kumpulan kecil anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Mengimbau pengalaman setiap kali menjalani hukuman sebat di penjara, Botak Chop berkata, kebiasaannya banduan akan dimaklumkan mengenai pelaksanaan hukuman sehari lebih awal.



“Sebaik saja diberitahu mulalah rasa serba tak kena dan sebelah malam pula, pasti tak lena tidur. Bila pagi, banduan yang menjalani hukuman akan diasingkan sewaktu bersarapan.

“Ketika kali pertama disebat, ada 35 lagi banduan yang menjalani hukuman itu bersama saya. Selesai makan, kami dibawa ke bilik sebat dengan saya orang pertama terima hukuman,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian diperiksa doktor dengan dipantau pegawai penjara sebelum disahkan sihat untuk menjalani hukuman.

“Apabila sebatan pertama hinggap di punggung, saya tak tahu mampukah saya habiskan baki 23 lagi sebatan. Sakitnya bukan kepalang sehinggalah sebatan terakhir.

“Rasa tak boleh digambarkan apabila daging yang terkena rotan tersiat daripada kulit dengan darah meleleh keluar. Selepas itu, bukan kata nak berjalan tapi nak berdiri pun rasa tak larat,” katanya.



Botak Chop berkata, setiap kali selepas disebat dia pulang ke sel dengan penuh penyesalan dan tidur dalam keadaan meniarap selama tiga bulan kerana tidak tahan menanggung sakit akibat luka.

“Saya dan rakan banduan saling membantu antara satu sama lain untuk meletakkan ubat. Dalam keadaan bersusah payah itu, kami bercerita sesama sendiri mengenai sesalan tak sudah.

“Malah, sampai sekarang, selepas lebih 20 tahun, rasa sakit sebatan masih terasa kerana punggung rasa kebas selain kesan jaluran dapat dilihat dengan jelas,” katanya.


EmoticonEmoticon