KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai ‘Otai BERSIH’ susulan akaun facebook palsu yang dikaitan dengan beliau.
Status Facebook palsu berkenaan dengan kapsyen “Tiada seorang pun sanggup nak rogol saya..” telah dimuatnaik petang semalam.
Susulan itu, laporan polis berkenaan dibuat menerusi Setiausaha Sulit Kanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Chyairreil Annwar Akmal di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 6 petang semalam.
“Laporan polis ini untuk tujuan keselamatan Datuk Seri Azalina Othman Said dan sekali gus menafikan kandungan posting tersebut. Kandungan posting ini adalah palsu dan bersifat jelik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan yang sama turut dibuat di Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pagi ini.
Ia bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyalah guna media sosial, katanya.
Terdahulu laman Facebook palsu berkenaan yang memaparkan gambar Azalina mendakwa dirinya sudah lama membujang sehingga ‘berkarat’ menunggu lelaki untuk meminangnya.
Tulisan berkenaan juga turut menyebut cadangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya adalah tepat untuk berkahwin dengan perogol. – Malaysia Gazette.
EmoticonEmoticon