Tuesday, 27 December 2016

Siti Nurhaliza ‘Jerat Leher’ Sendiri : Jamal Ajak Baju Merah Boikot Siti?




SARANG tebuan jangan dijolok! Orang ramai tahu siapa sebenarnya Datuk Jamal Yunos, yang mana ketua kumpulan Baju Merah ini sememangnya tidak ‘makan saman’ walaupun beliau dikeji, dimaki mahupun dihentam oleh mana-mana pihak sama ada dalam isu berkaitan protes perhimpunan Bersih mahupun terbaharu, krisis air.

Namun, malangnya, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin tersilap langkah apabila ‘menjolok sarang tebuan’ itu dikala kebanyakan rakyat negara ini memilih untuk pejam mata dan pekakkan telinga kerana sudah lali dengan apa yang dilakukan oleh Jamal termasuk protes bertuala yang dibuatnya di hadapan Bangunan SUK Shah Alam, baru-baru ini.

Paling tidak, netizen akan gelak kepada Jamal dan buat 'troll', itu sahaja!

Walau bagaimanapun, secara rasional, kenyataan balas yang dikeluarkan Jamal terhadap penyanyi nombor satu negara itu dengan berkata, “Jaga air sendiri yang tidak berapa subur itu, atau cari air lain”, sememangnya satu tindakan kurang ajar dan boleh mengguris hati mana-mana wanita yang belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

Memetik laporan media, pusat perubatan, TMC Fertility Centre menyifatkan kenyataan Jamal sebagai satu penghinaan terhadap golongan lelaki dan wanita, selain menggesa Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu memohon maaf.

Siti bagaimanapun nampak ‘cool’ dan tidak cepat melatah dengan kenyataan Jamal yang menganggapnya sebagai kurang subur, waima mengatakan kata-kata individu seperti Jamal itu tidak memberi kesan kepadanya.

“Takpe dik, biarkan mereka. Kata-kata orang macam ni (Jamal) tak memberi kesan pada saya sebab saya tahu mereka cakap tak guna otak yang Allah SWT kurniakan,” kata Siti di laman Twitternya.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan Jamal terhadap Siti. Dengan jumlah peminat Siti yang begitu ramai mencecah jutaan tidak kira peringkat usia, siapa Jamal jika dibandingkan dengan ‘level Siti.

Tetapi, perlu diketahui juga, Jamal pun tak kisah siapa Siti!

Kerana itu juga, apa yang perlu disedari ramai, isu air yang dibawa oleh Jamal dengan bertindak bertuala ke pejabat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini bukan lagi menjadi ‘isu kemasyarakatan’, namun sememangnya jelas sudah memasuki kancah politik.

Dan insan bernama Jamal, akan melakukan apa sahaja untuk mengheret isu air ini sebagai senjata utama untuk beliau menentang pihak pembangkang, khususnya di Selangor kerana mengabaikan hak rakyat.

Jadi, jika Siti dari awal menyedari bahawa krisis air ini telah diheret ke kancah politik, beliau seharusnya menjauhkan dirinya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan dan bermain dengan api, terutamanya dengan Jamal.

Kerana seperti yang diperjelaskan di atas, Jamal tidak peduli dengan sebarang kejian orang ramai terhadapnya, kerana bagi Jamal, beliau ‘menjalankan’ tugas mempertahankan hak rakyat, dan kenyataan sindiran yang dikeluarkan terhadap Siti itu bagi individu bergelar Jamal adalah pertuturan biasa.

Hello, kalau tidak, masakan Jamal boleh mengeluarkan kenyataan mahu menyelak kain Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, pada bulan lalu.

Berbalik kepada isu Siti dan Jamal, dalam bahasa mudah, Siti mahupun mana-mana artis tanah air seharusnya ‘stay away’ daripada memberi komen dan terjabak dengan isu yang terpalit dengan hal politik, kerana kesudahannya ia akan memakan diri sendiri dan mengundang malu sepertimana yang berlaku kepada Siti sekarang.

Negara masih berpegang kepada prinsip ‘hak bersuara’, namun untuk segelintir hal kita perlu menyimpan pandangan tersebut daripada terus mengeruhkan keadaan.

Kepada Siti, ramai peminat anda diluar sana berdiri dan menyokong anda kerana isu ini, namun satu perkara perlu diketahui mengenai Jamal, beliau tidak hiraupun perkara itu dan Jamal akan terus mengkritik pihak yang menghentamnya.

Jadi, tolong ‘stay away’ daripada jerat leher sendiri!


EmoticonEmoticon