Saturday 17 December 2016

Rosmah dekati 'Mat Motor' Untuk PERKASA Remaja


Masalah sosial yang membelengu golongan remaja khususnya golongan yang digelar "Mat Rempit" hari ini menarik perhatian isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga penaung program PERMATA berkata beliau terpanggil untuk mendekati golongan remaja ini dengan menubuhkan program PERKASA Remaja.

"Jujurnya, saya amat prihatin di atas permasalahan golongan remaja khususnya mereka yang digelar 'mat rempit' yang menunggang motorsikal tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri dan orang lain.

"Dari sini timbullah keinginan saya mendekati golongan remaja ini untuk dibimbing bagi merealisasikan potensi sebenar diri mereka agar kelak menjadi seorang warga yang dapat memberi sumbangan positif kepada negara," kata Rosmah.

Teks ucapan Rosmah dibacakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dalam majlis perasmian penutup Kem PERKASA Remaja siri 9 tahun 2016, di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) Kuala Lumpur.

Kem PERKASA adalah program intervensi yang menumpukan kepada remaja yang terlibat dalam aktiviti motor berisiko bagi membolehkan peserta membina keupayaan kendiri dan seterusnya mendidik mereka menjadi individu bertanggungjawab.

Bermula tahun 2010 sehingga kini, sebanyak 8 siri telahpun dilaksanakan oleh Pusat Pemerkasaan Remaja UKM dengan jumlah penyertaan seramai 250 ramaja berumur 16 hingga 25 tahun.

Melalui kem ini juga difahamkan seramai 38 orang atau 15 peratus daripada remaja ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke pelbagai institusi seperti IKBN, Giat Mara dan kolej-kolej swasta.


Malah ada juga di antara peserta telah berkhidmat sebagai jurulatih di OBS, Chef Felda D'saji, syarikat perkapalan, membuka bengkel motosikal, bekerja kilang serta membuka perniagaan sendiri.

Untuk rekod, golongan remaja yang terlibat dalam kem ini terdiri daripada remaja bermasalah seperti merempit, penagihan dadah, mencuri, merompak, berjudi serta menonton bahan lucah.

Kem ini juga turut mendapat kerjasama PULAPOT dan Bikerz United selain UKM dan PERMATA sendiri. Mengakhiri teks ucapan tersebut Noor Azlan berharap program PERKASA Remaja ini dapat diteruskan sekali gus membantu mengatasi masalah sosial golongan remaja hari ini.


EmoticonEmoticon