Monday, 26 December 2016

Pukul anak lebih tingkatkan prestasi mereka


Kajian mendapati kanak-kanak sehingga enam tahun yang pernah dipukul punyai prestasi yang lebih baik di sekolah. (Gambar hiasan)
PELBAGAI kisah ibu bapa yang sering kali mengkritik guru-guru di sekolah dengan mendakwa mereka mengenakan tindakan disiplin yang keterlaluan sering kali didengar.

Bukan itu sahaja, didenda duduk di atas jalan tar kerana datang lewat ke sekolah turut menjadi kritikan hebat para ibu bapa yang mengatakan bahawa tindakan tersebut sudah tidak relevan lagi pada masa kini.

Jika dibandingkan dengan ibu bapa dahulu, tindakan yang lebih disiplin yang lebih ketat dikenakan sekiranya anak-anak membuat kesalahan di sekolah manakala di rumah pula mereka juga akan mendapat ‘habuannya’.

Hal ini menimbulkan banyak tanggapan bahawa anak-anak masa kini sudah terlampau dimanjakan sehinggakan tidak boleh langsung ‘disentuh’ menyebabkan para guru khususnya menghadapi masalah dalam mendidik mereka.

Satu kajian telah dibuat oleh seorang Profesor Psikologi di Kolej Calvin Michigan, Marjorie Gunnoe melihat bahawa kanak-kanak sehingga umur enam tahun yang pernah dipukul (tidak secara keterlaluan) mempunyai prestasi yang lebih bagus di sekolah serta lebih optimistik dalam hidup mereka berbanding kanak-kanak yang tidak pernah dipukul.

Menurutnya, dalam kajian itu juga menunjukkan bahawa tiada bukti kukuh untuk menidakkan hak seorang ibu bapa dalam menentukan bagaimana seorang anak itu dihukum.

“Data menunjukkan bahawa tuntutan untuk tidak memukul anak sebagai hukuman gagal untuk dipenuhi.

“Walaupun saya sendiri merasakan memukul anak-anak adalah berbahaya namun jika perbuatannya melampaui batas, ia adalah perlu. Akan tetapi, tidak semua hukuman harus dimulakan dengan memukul,” katanya.

Kajian tersebut melibatkan 179 orang remaja yang ditanya soalan berapa kerap mereka dipukul sewaktu kanak-kanak dan bila kali terakhir mereka dipukul.

Data menunjukkan bahawa kanak-kanak yang pernah dipukul sehingga usia enam tahun mempunyai prestasi yang lebih baik dalam hampir semua kategori positif dan kurang dalam kategori negatif berbanding dengan mereka yang tidak pernah dihukum secara fizikal.

Selain itu, kanak-kanak yang pernah dipukul oleh ibu bapa mereka daripada umur tujuh hingga 11 tahun dilihat lebih berjaya di sekolah berbanding dengan mereka yang tidak pernah dipukul.

Bagaimanapun, konsep mendisiplinkan anak-anak menggunakan kaedah pukulan ini adalah sangat asing di negara barat, tetapi di Asia kaedah ini sudah selalu digunakan

Cuma sejak kebelakangan ini ibu bapa di Asia seolah-olah melupakan tradisi ini dan memanjakan anak-anak mereka.

Pada pendapat anda, adakah kaedah pukulan ini harus dimulakan semula supaya anak-anak lebih berdisiplin?


EmoticonEmoticon