Sunday 25 September 2016

Pekerja Asing Dapat Hak Sama


Jangan tergesa-gesa luluskan TPPA, MP


Tenaganita menyeru semua ahli parlimen untuk mengkaji TPPA yang dicadangkan dengan teliti dan memastikan bahawa ahli parlimen benar-benar memahami implikasi penuh perjanjian perdagangan yang dicadangkan secara keseluruhannya sebelum mengundi.

Jaminan yang diberikan oleh menteri-menteri kerajaan tidak patut dan tidak boleh menjadi asas untuk menyokong perjanjian perdagangan yang dicadangkan.

Perbincangan dan rundingan mengenai TPPA, merupakan sesuatu yang telah lama dirahsiakan.

Kini, rakyat Malaysia diberi masa yang pendek untuk mengkaji dan memahami 6,000 muka surat berkaitan ekonomi dan jargon undang-undang yang akan membawa kesan yang luas ke atas kehidupan kita, dan ekonomi serta kedaulatan negara kita.

Semua kajian yang boleh didapati mengenai kesan TPPA oleh pakar-pakar bebas menunjukkan bahawa potensi faedah perjanjian ini boleh diabaikan.

Cara di mana TPPA telah diilhamkan, dibangunkan dan dipaksa ke atas kita adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia secara amnya, dan untuk ahli-ahli parlimen khususnya; tanpa diberi masa dan peluang yang mencukupi untuk meneliti lebih 6,000 muka surat perjanjian perdagangan tersebut, ahli-ahli parlimen sedang diminta untuk meluluskan proses menandatangani perjanjian perdagangan oleh pihak kerajaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata bahawa 26 undang-undang negeri dan persekutuan, peraturan-peraturan dan pekeliling terutama yang berkaitan dengan hak harta intelek, buruh dan keperluan perolehan kerajaan akan dipinda dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagaimanapun pindaan ini hanya boleh dibuat selepas perjanjian perdagangan itu diluluskan oleh parlimen.

Ahli-ahli parlimen mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mengetahui apa sebenarnya pindaan ini, dan kesannya kepada rakyat, sebelum mereka diminta untuk mengundi untuk TPPA.

Tambahan pula, jika benar pindaan ini bermanfaat untuk negara, mengapa mereka perlu menunggu sehingga TPPA diluluskan oleh parlimen?

Apa yang lebih membimbangkan adalah walaupun menteri perdagangan antarabangsa dan industri merupakan salah satu daripada suara paling lantang mengenai TPPA adalah tidak jelas tentang apa kesan menandatangani perjanjian perdagangan itu terhadap amalan buruh di Malaysia.

TPPA ini memerlukan semua negara anggota untuk menerima pakai undang-undang yang melindungi hak-hak yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Asas dan Hak Asasi di Tempat Kerja, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), termasuk hak untuk membentuk kesatuan secara kolektif.

Mustapa bagaimanapun memberitahu pemberita bahawa pekerja asing tidak akan diberi hak yang sama seperti pekerja tempatan selepas TPPA ( Bernama , 18 Januari 2016).

Ini menunjukkan bahawa golongan atasan yang menyokong TPPA tidak dapat memahami sejauh mana makna perjanjian itu dan bagaimana Malaysia berhasrat untuk memenuhi komitmen terhadap perjanjian tersebut.

Terdapat terlalu banyak ketidakpastian dan soalan yang tidak dijawab berkaitan TPPA, manakala apa yang diketahui tentang perkara tersebut adalah lebih membimbangkan.

Benefisiari sebenar TPPA merupakan syarikat transnasional yang merupakan penaja utama perjanjian perdagangan itu.

Tenaganita menggesa kesemua ahli parlimen untuk tidak tergesa-gesa untuk meluluskan sesuatu yang boleh membawa kesan yang meluas, tanpa kajian yang teliti dan tanpa rundingan dengan rakyat.

Kami juga menyeru ahli-ahli parlimen untuk menuntut penilaian kesan TPPA terhadap hak asasi manusia sebelum mereka diminta untuk mengundi.

Satu-satunya pilihan yang ada pada mana-mana wakil yang bertanggungjawab adalah untuk tidak menyokong dan menentang, atau sekurang-kurangnya menahan diri daripada menyokong TPPA, jika fahaman politik mereka menghalang mereka daripada mengundi terhadap cadangan itu.


EmoticonEmoticon