Friday 5 August 2016

Harga Ayam Di Malaysia Paling murah di Asia


Harga ayam: Malaysia paling murah di Asia Hamzah (tiga, kiri) bersama pemimpin Umno Pengkalan Chepa semasa sidang media, hari ini.

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan mengakui harga ayam di Malaysia lebih murah berbanding negara Asia lain.

Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, prihatin dengan dakwaan pembangkang pihaknya terpaksa membuat tinjauan harga di beberapa negara berdekatan termasuk di Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura.

"Pada musim perayaan baru-baru ini harga ayam di Kelantan meningkat mendadak dan dikenalpasti berpunca daripada beberapa masalah  termasuk ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan segera, namun perkara ini dapat diselesaikan PPDNKK Kelantan dalam masa dua hari sahaja.

"Berbanding luar negara, harga ayam di Indonesia, Filipina dan Thailand secara purata RM15 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pengkalan Chepa, di Bahagian Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, rakyat harus sedar pengguna itu terdiri dalam kalangan mereka yang berniaga, malah peniaga juga ada yang menjadi pengguna, jadi mereka dinasihatkan berlaku adil untuk keselesaan bersama.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hamzah  berkata, kementeriannya akan mencari kaedah baru terhadap Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan untuk membolehkan peniaga negara ini tidak sewenang-wenangnya menaikan harga barangan di luar musim perayaan.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak persatuan pemborong, peniaga , peruncit dan pengguna bagi membincangkan kaedah baru supaya semua pihak selesa dengan kepentingan masing-masing.

"Saya akan bawa hasil perjumpaan dengan pihak berkenaan untuk dibincangkan dalam kabinet sebelum membuat keputusan dan membaharui kandungan akta itu  sebelum akhir Disember ini,"  katanya.


EmoticonEmoticon