Thursday 16 June 2016

Kementerian Kesihatan cadang kenakan cukai kepada minuman bergula - menteri


KUALA LUMPUR, Khamis – Kementerian Kesihatan bercadang untuk mengenakan cukai kepada minuman bergula (SSB) yang diimport atau diproses di kilang dalam usaha mengurangkan jumlah penghidap penyakit kencing manis di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ia merupakan satu daripada strategi yang dikenal pasti untuk mengawal penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan.

“Walau bagaimanapun, cadangan cukai ini adalah tertakluk kepada persetujuan pihak Kementerian Kewangan,” katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman yang ingin tahu cadangan kerajaan untuk melaksanakan cukai gula seperti yang dilaksanakan di Britain, pada sesi soal jawab sidang Dewan Negara, di sini hari ini.

Dr Hilmi berkata cadangan itu juga termasuk dalam strategi yang dirangka oleh kementerian melalui Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III dan ‘Policy Options’ bagi tahun 2016-2025 untuk menangani masalah obesiti.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga mengadakan program Kelab Doktor Muda bagi pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk di universiti yang menekankan cara pemakanan yang sihat serta kebersihan.

Katanya, kira-kira 3,000 sekolah rendah, 100 sekolah menengah dan tujuh universiti terlibat dengan program berkenaan.

“Di sekolah, memang ada program menu sihat dan kantin dilarang menjual makanan yang tidak berkhasiat termasuk kantin yang berada 40 meter dari kawasan luar sekolah,” katanya. – Bernama


EmoticonEmoticon