Wednesday 15 June 2016

Bagaimana Isteri Ketua Kerajaan di Negara Lain Melakukan Perjalanan, Malaysia Paling Pelik


Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah menjadi sasaran kritikan berhubung penggunaan penerbangan kerajaan yang disewa khas untuk pergi menerima anugerah di Istanbul, Turki, bulan lepas.

Pesawat Airbus 319CJ yang beliau gunakan adalah atas pajakan dua bulan dari Emirates Airlines sebagai pengganti sebuah pesawat kerajaan sendiri, Airbus 320CJ, yang menjalani penyelenggaraan.

Tetapi bagaimanakah isteri ketua kerajaan di seluruh dunia melakukan perjalanan?

Amerika Syarikat

Mungkin contoh yang paling ikonik untuk pengangkutan udara VIP ialah pesawat yang hampir serupa Boeing VC-25A Tentera Udara AS (USAF) yang dikenali sebagai 'Air Force One'.

Wanita pertama AS dan anak-anaknya mendapat tempat untuk menaiki pesawat ini apabila dalam perjalanan bersama-sama dengan Presiden Amerika - sama ada ketika dalam urusan rasmi atau bercuti.

Bagaimanapun, apabila dia berjalan tanpa presiden, masih terdapat kumpulan pesawat pengangkutan eksekutif lain USAF untuk dipilih, seperti Gulfstream C-37B, atau Boeing C-32 yang dia guna untuk percutian kotroversi ke Eropah pada Ogos 2010.

Ini bagaimanapun tidak bermakna dia menggunakannya percuma atas perbelanjaan pembayar cukai, walaupun masih terdapat wang cukai yang akan dibelanjakan.

"Kos operasi pesawat tentera udara yang digunakannya ialah $11,351 sejam, menurut beberapa laporan, yang bermakna kos penerbangan pergi balik selama14 jam, akan menelan kos hampir $160,000.

"Wanita pertama itu akan hanya membayar balik kos bersamaan harga tiket komersial kelas pertama untuk dirinya dan anak perempuannya Sasha. Baki tempat duduk lain digunakan sebahagian besarnya oleh anggota perkhidmatan perisikan. Pegawai berkata, rakan-rakan mereka menaiki penerbangan komersial yang berasingan," lapor akhbar The New York Times pada 6 Ogos 2010.

Makanan di atas pesawat juga dilaporkan bukan percuma, dan dicaj terus dari kad kredit peribadi penumpang sama ada mereka memilih untuk makan atau tidak.

United Kingdom

Tentera Udara Diraja (RAF) mempunyai dua pesawat jarak dekat BAe 146 yang disediakan untuk pengangkutan VIP, dan ini digunakan untuk keluarga diraja British dan ahli politik kanan.

Anggota kabinet British termasuk perdana menteri lebih gemar menggunakan campuran pesawat RAF, penerbangan berjadual komersil dan penerbangan sewa khas, dan bukannya bergantung semata-mata kepada RAF dan bergantung kepada keperluan perjalanan mereka.

Bagaimanapun, pada tahun 1998, Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair mencetuskan kontroversi apabila dia
membawa keluarganya menaiki salah sebuah pesawat RAF untuk bercuti di Tuscany, Itali.

Pejabatnya menjustifikasikan perjalanan itu dengan berkata Tony mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Itali ketika itu, Romano Prodi sebelum memulakan percutian, oleh itu dia tidak perlu membayar untuk tempat duduknya.

Tambang untuk anggota keluarganya telah pun dibayar, katanya.

Pada masa ini, kerajaan UK kerap menerbitkan data lawatan ke luar negara anggota kabinetnya, termasuk sama ada ada rakan atau keluarga mereka mengikut mereka atas perbelanjaan awam.

Penyandang Perdana Menteri Britain, David Cameron, bagaimanapun, dilaporkan memilih untuk menaiki pesawat penerbangan tambang murah apabila pergi bercuti.

Isterinya Samantha Cameron, melakukan perkara yang sama.

Australia

Kelayakan pegawai Australia dinyatakan secara terperinci di lamanweb Jabatan Kewangannya.

Antara lain, ia berkata perjalanan ke luar negara para menteri hendaklah dilakukan hanya dengan penerbangan komersil sahaja. Pesawat VIP Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) atau penerbangan sewa khas tidak dibolehkan kecuali "benar-benar perlu" dan penerbangan komersial tidak ada.

Garis panduan ini menyatakan bahawa isteri menteri (jika atas urusan rasmi), anak-anak, atau ahli keluarga, boleh menaiki penerbangan kelas perniagaan yang ditanggung oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, ia berulangkali menyatakan bahawa pengecualian diberikan dalam keadaan tertentu.

"Perdana menteri hanya akan meluluskan perjalanan isteri menteri atau pasangan de facto di mana negara tuan rumah telah membuat jemputan kepada isteri atau pasangan de facto dan di mana satu program rasmi telah dianjurkan untuk disertai isteri atau pasangan de facto," katanya.

Buku panduan ini tidak menyebut tentang perjalanan isteri perdana menteri sendiri, dan sama ada ia juga tertakluk kepada kelulusan perdana menteri.

Untuk perjalanan domestik, para isteri dibenarkan mengiringi menteri dalam penerbangan sewa khas atau penerbangan RAAF jika pasangan mereka turut ada urusan rasmi, dengan syarat bahawa ini tidak membabitkan perbelanjaan tambahan seperti memerlukan pengangkutan yang lebih besar.

Kanada

Apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan keluarganya menggunakan jet kerajaan untuk pergi bercuti ke Saint Kitts dan Nevis, dilaporkan bahawa beliau akan membayar balik wang pembayar cukai Kanada bersamaan dengan penerbangan kelas ekonomi bagi setiap ahli keluarga yang mengiringi beliau.

Menurut laporan CBC News pada bulan Januari, perdana menteri Kanada tidak dibenarkan untuk menaiki penerbangan komersil atas sebab-sebab keselamatan, dan undang-undang yang menetapkan membayar untuk penerbangan itu telah dilaksanakan sejak 2011.

"Bekas Perdana Menteri Stephen Harper sebelum ini juga membayar harga tambang ekonomi untuk perjalanan peribadi dengan keluarganya. Harper mengeluarkan arahan pada tahun 2011, yang menyebut beliau menjangkakan semua pegawai kanan untuk membayar balik kepada pembayar cukai untuk kos penerbangan peribadi dengan pesawat kerajaan, selepas dokumen-dokumen menunjukkan bekas Ketua kakitangan Pertahanan Walter Natynczyk telah membelanjakan lebih C$1 juta menaiki pesawat Challenger tentera udara sejak 2008, termasuk penerbangan ke St Maarten," demikian menurut laporan itu.

Malaysia

Dalam jawapan Parlimen bertarikh 27 Mei tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, perdana menteri dan timbalan perdana menteri layak menggunakan pesawat VIP kerajaan.


Menurut beliau, kerajaan mempunyai empat pesawat - sebuah pesawat Dassault Falcon 900, sebuah pesawat Bombardier BD-700, sebuah pesawat Airbus 319 CJ, dan sebuah pesawat Airbus 320 CJ.

Bagaimanapun, memandangkan pendedahan-pendedahan baru-baru ini, nampaknya Rosmah juga layak untuk menggunakan pesawat-pesawat tersebut, walaupun tidak jelas apakah syarat-syarat penggunaannya.


EmoticonEmoticon