Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Monday, 15 May 2017

Khairy sambut baik kerjasama Umno-PAS tapi bimbang hubungan BN


Ketua Pemuda Umno juga berkata BN sentiasa bersedia pertandingan 1 lawan 1 walaupun pembangkang berpecah.


PUTRAJAYA: Khairy Jamaluddin berkata beliau menyambut baik cadangan kerjasama Umno-PAS tetapi mahu ia dikaji secara mendalam terlebih dahulu.

Ketua Pemuda Umno itu berkata 2 perkara utama yang perlu dilihat adalah asas kerjasama dan sama ada ia menjejaskan hubungan dengan parti komponen BN.
“Ia mesti diperhalusi dari segi apakah asas kerjasama – ini paling utama.

“Jika ia untuk kita terus berjuang atas isu besar membabitkan negara yang ada kaitan dengan orang Melayu dan Islam, dan tidak menjejaskan hubungan dengan rakan dalam BN, kita boleh bincang dan terokai cadangan itu,” katanya ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin baru-baru ini tidak menolak kemungkinan Umno dan PAS menjalinkan “tahaluf siyasi”, istilah yang digunakan pemimpin PAS untuk menggambarkan kerjasama antara parti politik berlainan ideologi.

“Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan Umno tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) yang telah menunjukkan minat,” katanya semalam merujuk sebuah parti kecil berpengkalan di Pulau Pinang.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata Umno tetap mengutamakan hubungan sedia ada dengan parti komponen BN.

“Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan PAS, walaupun positif namun menjejaskan hubungan kita dengan parti komponen,” katanya.

Sebelum ini, parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan beberapa sekutu BN di Sabah dan Sarawak dilihat tidak senang dengan hubungan mesra Umno dengan PAS, terutama dalam menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

PAS dan Umno sejak kebelakangan ini berkongsi pentas dalam beberapa isu sejagat, termasuk dalam membantu etnik Rohingya akhir tahun lalu.

Minggu lalu, PAS secara rasmi memutuskan segala hubungan dengan PKR, menjadikan parti itu tidak ada apa-apa hubungan dengan parti yang menerajui kerajaan negeri Selangor yang turut disertai PAS.

Ketika ditanya tentang kemungkinan berlaku 3 penjuru dalam PRU akan datang ekoran perkembangan itu, Khairy berkata BN menjadikan “1 lawan 1” sebagai asas membuat persediaan.
“Jika kita buat simulasi tiga penjuru, kita berada dalam situasi terlalu selesa (berdasarkan keputusan PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ia akan memberikan maklumat yang salah.

“Saya percaya persiapan BN adalah untuk 1 lawan 1. Jika berlaku 3 penjuru, ia tiada kaitan dengan kita,” katanya.

Dituduh Punca Perpecahan Pakatan Rakyat, PAS Senaraikan Pengkhianatan PKR - Berikut Senarai Penuh.

Senarai khianat PKR kepada PAS


LANCANG sekali Pakatan Harapan (PH) melemparkan fitnah dan menuding jari kepada PAS sebagai penyebab dalam pelbagai hiruk-pikuk politik dengan memangsakan serta meletakkan PAS di kandang pesalah. PKR yang merupakan rakan tahaluf PAS paling lama turut bersorak dan bertepuk tangan membuli PAS supaya akur dan mengikut telunjuk angkuh DAP dan PAN.

Malah, PKR tergamak bersekongkol dengan mereka itu yang cuba mencampuri urusan dasar, termasuk menyerang dan melemahkan PAS. Sedangkan, PAS atas kesabaran, kejujuran dan semangat setiakawan sanggup jatuh bangun bersama demi dakwah dan membimbing rakannya agar dapat membawa perubahan dalam politik dan pemerintahan negara.

Sedari awal tersingkirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, pimpinan PAS paling awal mengatur kebangkitan rakyat menerusi Gerak dan memberdayakan parti itu. Malah, dibela Anwar untuk diadili secara enar dari pelbagai pertuduhan berkait salah laku moral dan tuduhan agen asing termasuk penganiayaan atas dirinya.

Malangnya PKR begitu cepat lupa diri, angkuh dan pragmatik hingga memerlukan PAS menilai semula pertimbangan syariat berkaitan ‘Tahaluf Siyasi’ setelah berlaku pelanggaran syarat oleh PKR. Maka sebagai menjawab tuduhan dan gambaran buruk pernah diberikan, dinyatakan di sini hakikat sebenar tindak tanduk PKR terhadap PAS:

April 2013: Bersikap keras terhadap PAS dalam pembahagian beberapa kerusi hingga berlaku pertembungan dan sewenang-wenangnya meletakkan calon daripada parti lain yang bukan merupakan rakan dalam Pakatan Rakyat tanpa perbincangan dan persetujuan bersama.

April 2013: Laksamana Pertama (B) TLDM, Mohamad Imran Abd Hamid yang menyertai PAS pada 7 Oktober 2011 diambil PKR sebagai calon PRU13 Parlimen Lumut. Tindakan ‘mencuri’ ahli PAS juga berlaku di negeri lain melibatkan pengambilan sebagai calon PRU.

Disember 2013: PKR kononnya telah menasihati, tetapi dilihat sekadar membiarkan bekas calonnya di Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin menyaman Presiden PAS. Malah, perkara itu digembar-gemburkan Shamsul ketika PAS mahu memberi tumpuan kepada PRK Kuala Besut yang dilihat cuba menjejas dan mensabotaj PAS.

Januari 2014: ‘Langkah Kajang’ adalah konspirasi menjatuhkan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dan digerakkan tanpa pengetahuan PAS. PAS melihat tiada alasan syarak untuk TSKI digantikan dan ia berunsur manipulasi yang boleh menggoyah kestabilan kerajaan negeri. Mandat rakyat bagai dipermainkan dan tumpuan masa serta wang dihabiskan untuk ‘politiking’ pilihan raya yang disengajakan.

Mac 2014: Hasrat awal memicu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi ‘loncatan’ ke Putrajaya bertukar ‘tragedi’ oleh kes mahkamah. Pencalonan diganti dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (WAWI) dan beliau memenangi PRK itu. PAS walaupun tidak bersetuju dengan tindak tanduk PKR tapi tetap menurunkan jentera atas tuntutan tahaluf.

Julai 2014: Detik krisis politik Selangor memuncak dan pelbagai skandal dihadapkan terhadap TSKI oleh partinya sendiri dan Dun digambarkan menyokong WAWI. Namun, syarak mengikat PAS untuk tidak bersetuju WAWI dirintis ke jawatan MB.

Ogos 2014: Istana juga tidak memperkenan, menyebabkan berlaku ‘penderhakaan’ terhadap titah yang mengundang murka Sultan. Tetapi akhirnya TSKI menawarkan meletak jawatan. Tindakan PAS menamakan beberapa calon dikhianati ‘agen’ pro-PKR di dalam PAS.

September 2014: Berada di kedudukan baharu sebagai MB Selangor, Mohamed Azmin Ali bertindak mengurangkan kouta PAS dari seramai empat Exco yang diperuntukkan sebelum itu kepada hanya tiga Exco. Malah, penggiliran jawatan Senator kepada PAS untuk penggal itu juga tidak diberikan.

September 2014: PKR banyak dilihat beriringan dengan DAP yang menunjukkan sikap keras parti cauvinis itu kepada PAS khususnya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang termasuk dilihat membayangi beberapa pimpinan PAS yang jelas menunjukkan sikap pro-Anwar/PKR dan DAP. Banyak kenyataan dan tindakan yang sengaja mencampuri atau mempengaruhi urusan dalaman PAS.

12 Oktober 2014: Pesta arak Octoberfest tetap dilangsungkan di Selangor dengan turut dihadiri oleh pimpinan dari DAP dan PKR yang seolah-olah mencabar sensitiviti agama dan bantahan dikemukakan oleh PAS.

17 Mac 2015: PKR menggunakan alasan ‘Fiqh al-Awlawiyat’ untuk tidak menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan mengarahkan Adun PKR Guchil, Roslan Puteh supaya tidak menyertai perbahasan dan mengundi. PKR memberi alasan rasmi bahawa memperbetul ketidakadilan dan membela kebajikan lebih utama dari melaksana undang-undang hudud.

11 September 2015: Kejadian ‘curi’ ahli berulang apabila WAWI mengumumkan penyertaan bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan mantan MB Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam PKR. Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat dilantik sebagai Pengarah Politik & Dasar PKR.

22 September 2015: PKR turut bersama DAP dan PAN membentuk koalisi baru iaitu PH dan mengabaikan PAS. Bahkan, banyak menyertai gabungan itu dalam memberikan reputasi negatif terhadap PAS dalam pelbagai tindakan dan rentak politik. Juga memanipulasi dan mensensasikan pendekatan-pendekatan politik PAS hingga mengundang salah faham.

Januari 2016: PKR dan PAN mengatur siri ceramah bersama di Kelantan yang kandungannya berkisar gugatan, ancaman dan serangan ke atas kedudukan PAS di negeri itu serta Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS antaranya melibatkan:
• 15 Januari > Dato’ Kamaruddin Jaafar, Azan Ismail dan Siti Aishah Shaik Ismail (Tumpat);
• 16 Januari > Rafizi Ramli (Pasir Mas & Ketereh);
• 20 Januari > Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid dan Wan Ji Wan Husin (Tumpat).
Walhal pada 13 Januari, Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Md Nawi mengutus surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli supaya PKR tidak menerima jemputan ceramah bersama PAN di Kelantan kerana pendirian berterusan PAN untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.

April 2016: PRN Sarawak menyaksikan persekutuan PH melibatkan DAP, PKR dan PAN turut sinikal dan mensasarkan PAS seolah-olah musuh mereka sebagaimana BN. PKR sedikitpun tidak menunjukkan diri mereka sebagai rakan tahaluf PAS.

Mei 2016: Pemimpin PKR mempertikai Usul RUU Persendirian Pindaan Akta 355 dengan skeptikal bahawa ia bermotif politik apabila mengaitkannya dengan kempen PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta Muktamar PAS. Lidah rasmi PKR, Suara Keadilan pula meletuskan persepsi apabila mengaitkannya sebagai usaha PAS melepaskan BN dari belenggu isu 1MDB. Perlekehan dan sinikal itu sekali gus meremehkan usaha PAS untuk memartabatkan perundangan berkaitan.

Jun 2016: PKR bukan sahaja memberi sokongan dan bantuan penuh kepada PAN dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang merupakan kerusi tradisi ditandingi PAS, malah memburuk-burukkan PAS dalam kempen. MB Selangor juga melontarkan nada amaran dan mengambil tindakan berbentuk ugutan kepada Exco PAS. Suara Keadilan pula memainkan sentimen secara batu api bernada ancaman terhadap hubungan dengan PAS. Memperlekehkan usaha memperjuangkan hudud dan merendah-rendahkan Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 14/5/2017

Friday, 12 May 2017

Pelajat UiTM Mengaku dikerah ke acara Umno Cara 'KOTOR'

 
Semalam merupakan ulang tahun Umno yang ke-71. Dalam ribuan hadirin yang menghadiri upacara penuh bersejarah itu, siapa sangka ada hati yang terluka.

Itulah yang dihadapi oleh sesetengah mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pada awalnya didakwa dimaklumkan mereka diwajibkan hadir ke “Program Sukarelawan Patriotisme Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Seawal jam 10 pagi sebanyak 110 buah bas dengan ke muatan 44 orang mahasiswa mereka bergerak ke Bukit Jalil secara berperingkat, namun setibanya di situ, tiada program seperti yang dimaklumkan sebaliknya ia adalah sambutan ulang tahun Umno yang ke-71.

Menurut mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, UiTM mewajibkan mahasiswa yang mengikuti kelas kokurikulum untuk menghadiri program itu dan sekiranya ingkar, mereka akan diambil tindakan.

“Pihak UiTM kata ini program sukarelawan tapi kami kena tipu. kami datang dari pagi lagi duduk bawah pokok, dah dua kali periksa darah dan sekarang duduk balik bawah pokok.

“Sekarang ni dah letih sangat, tak tahu nak buat apa-apa dah sekarang ni,” katanya kepada Malaysiakini.



Seorang anggota lembaga pengarah UiTM Datuk Irmohizam Ibrahim menyifatkan dakwaan itu sebagai “fitnah” yang boleh mencemarkan nama institusi itu.

Sementara Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa juga dilapor menafikan dakwaan itu, dengan berkata sambutan malam tadi "terbuka" kepada sesiapa yang berminat.

Ia bagaimanapun selari dengan dakwaan Pemuda PKR dan Pemuda DAP yang mendedahkan dakwaan rakaman skrin WhatsApp dan surat menyurat berkaitan.

Kesemua mahasiswa yang ditemui Malaysiakini semalam enggan nama penuh mereka disiarkan.

'Kami ada parti sendiri'

Mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Razak pula mempersoalkan mengapa kerajaan sebelum ini melaungkan mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik namun bertindak sebaliknya.

“Sudahlah macam program yang dia kata pada awalnya itu tak ada. Saya rasa program hari ni kurang sesuai, sebab kerajaan kata pelajar tak boleh terlibat dengan politik tapi ini dah lain dah ni,” katanya.

Bagi Ismail, UiTM tidak boleh memaksa pelajar yang sudah berusia 21 tahun ke atas ke program Umno memandangkan mereka sudah boleh mengundi.

“Kami dah berusia 21 tahun, tak bolehlah paksa macam ini. Kami pun ada parti yang kami pilih dan lebih-lebih lagi undi ini rahsia,” kesalnya.



Namun lain pula yang dihadapi oleh pelajar sebuah kolej apabila mereka pada awalnya hanya diberitahu untuk hadir ke program “Kadet Pispa” dalam program sukarelawan bersama menteri.

Menurut pelajar yang mahu dikenali sebagai Faiz, beliau dan rakan-rakannya tidak menyangka akan dikerah ke program ulang tahun Umno.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil hari ini, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai urus setia majlis ulang tahun Umno ke-71 tiba-tiba memberi baju parti yang berwarna merah untuk dipakai.

Malah lelaki tersebut turut mengingatkan semua pelajar supaya tidak mengambil gambar dengan memakai baju Umno serta memuat naiknya di laman sosial.

“Pada awalnya dia kata datang program lain, tapi rupanya program Umno. Kami dari pagi lagi ini, penat sangat dah dan tak tahu dah nak pergi mana, kalau tahu program macam ini kami tak datang,” katanya yang mendakwa dibekalkan wang sebanyak RM10 setiap seorang.

Pelajar tahfiz baca Yasin

Selain mahasiswa turut kelihatan juga pelajar tahfiz yang berusia dalam lingkungan 13 tahun yang turut diawasi oleh gurunya.

Menurut Ketua warden Sekolah Tahfiz Imtiyaz Ulul Albab Alor Gajah Melaka, Anuar Ismail kedatangan seramai 230 pelajarnya yang berusia 13,14 dan 16 tahun itu sekadar menghadiri undangan dari Rimbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.



Katanya, mereka dipanggil untuk membacakan Yasin sempena Nisfu Syaban dan menafikan terlibat dengan politik.

“Kita tak terlibat dengan politik, kita datang untuk baca yasin sebab Nisfu Syaban. Bagi saya kita tak boleh campur aduk politik, ini jemputan Datuk Seri Ahmad Zahid nak sambut Nisfu Syaban,” katanya yang menambah tidak memaklumkan kepada ibu bapa pelajar itu.

Mengikut tinjauan Malaysiakini, pelajar-pelajar ini hanya duduk berkeliaran sejak tengah hari tadi sebelum menunggu kedatangan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Pengunjung ke acara itu berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Umno berkaitan perkara ini.

Pelajar UiTM Disuruh Menyanyi Lagu 'Love Najib' pada Sambutan Ulang Tahun Umno



Sambutan ulang tahun ke-71 Umno dikatakan yang terbesar pernah diadakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mei, 2017.

SAMBUTAN ulang tahun Umno ke-71 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil hari ini turut dihadiri pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima arahan wajib hadir.

The Malaysian Insight difahamkan pelajar tersebut merupakan pelajar kokurikulum  tahun satu hingga tiga, serta turut melibatkan pelajar badan beruniform tahun satu.

Seorang pelajar UiTM Shah Alam yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata arahan untuk menghadiri acara ini datangnya daripada pengurusan tertinggi universiti.

"Kami dapat arahan ini masa (pada hari) Selasa dan Rabu yang kata kami wajib hadir sebagai sukarelawan," katanya semasa ditemui di stadium hari ini.


Pelajar itu mendakwa arahan tersebut di hantar menerusi aplikasi whatsapp sambil menunjukkan kiriman pesanan tersebut kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pelajar tahun satu itu berkata setakat ini mereka tidak diberikan sebarang tugas.

"Tidak ada pulak, tidak ada susun kerusi ke apa, apa ke jadi kita cuma jalan- jalan di sini."

Tambahnya lagi, mereka juga diberi pengecualian kuliah selain dijanjikan sijil sukarelawan. Makan minum akan turut disediakan seperti dinyatakan dalam kiriman whatsapp tersebut.
Sementara itu sekumpulan pelajar UiTM yang ditemui The Malaysian Insight merungut kerana dipaksa hadir

"Kita cuma dapat arahan wajib datang, jadi kita datang, kata diberi makan minum kupon tapi kami tak dapat apa-apa pun.

"Dari pagi tadi kami tunggu dan duduk tak buat apa- apa, kami macam nak balik," kata mereka yang enggan memberikan nama.

Ada juga pelajar UiTM yang enggan memberi komen apabila ditanya dan memberi alasan tidak dibenarkan menjawab soalan media.

"Kita cuma pelajar kak, ini arahan daripada universiti kita tak boleh bercakap, " kata pelajar itu.

Selain itu, pelajar juga memberitahu The Malaysian Insight yang mereka terpaksa menunggu sehingga jam 11.30 malam dan tidak dibenarkan pulang kerana perlu menandatangani kehadiran.

"Kita nak balik tadi, tapi kawan kata tak boleh sebab ada ada tandatangan kehadiran, kalau kita balik takut dianggap ponteng," keluh kumpulan pelajar terbabit.

Difahamkan sebanyak 110 buah bas membawa pelajar UiTM untuk menghadiri sambutan ulang tahun Umno berada di Stadium Bukit Jalil sejak jam 10 pagi.

Sambutan ulang tahun 71 tahun Umno ini dikatakan acara terbesar pernah dianjurkan setakat ini. Antara acara yang dirancang ialah cabutan bertuah RM1 juta kepada ahli Umno. – 11 Mei, 2017.

Ahli-ahli Umno jerit 'boo' dan 'kita ditipu' di Stadium Bukit Jalil semalam

 

PUNCA jeritan 'boo' dan 'kita ditipu' berulang kali yang bergema di Stadium Bukit Jalil semalam ketika berlangsungnya Perhimpunan 71 Tahun Umno didedahkan oleh salah seorang peserta yang hadir.



Dalam salah satu catatan di Facebook, Zaki Abdul Sani yang juga merupakan salah seorang penyokong tegar Umno yang hadir mendakwa, mereka merasa tertipu dengan cabutan bertuah yang dijalankan.

Dakwanya, tiada sebarang cabutan bertuah dijalankan semalam, sebaliknya nama pemenang utama sebuah kereta Perdana tiba-tiba diumumkan.

Selain itu pengerusi majlis hanya memberitahu bahawa pemenang-pemenang lain akan dihubungi kemudian.

Inilah punca yang menimbulkan kemarahan di kalangan ahli-ahli Umno yang hadir sehingga mereka menunjukkan protes dengan jeritan 'boo' dan 'kita ditipu' sebelum bertindak keluar dari stadium secara beramai-ramai.



"Tanpa mereka sedari, selepas majlis memotong kek oleh PM, semua nama pemenang telah dipaparkan di skrin Utama (Stadium) Bukit Jalil, tanpa dilakukan pengumuman MC majlis," tulisnya.

Zaki turut mempersoalkan adakah Umno tidak faham erti cabutan bertuah, ataupun cabutan bertuah tersebut hanyalah satu gimik sahaja.

Beliau turut menyebut seseorang yang bernama Dato Rauf yang didakwa telah mencemarkan nama baik perdana menteri.

"Apa-apa pun abe (abang) mewakili 100 ribu yang merasa telah ditipu mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada dato Rauf yang telah mencemarkan nama baik Presiden
Umno, Dato Seri Haji Najib Razak," sindirnya lagi dalam kiriman itu.

"Abe rasa isu ini akan 'back fire' kepada semangat ahli-ahli Umno yang telah hadir ke Bukit Jalil," tambahnya.

Program Cabutan bertuah dilaporkan sebagai salah satu tarikan kepada ahli-ahli Umno supaya hadir ke Perhimpunan 71 Tahun Umno yang diadakan di Stadium Bukit Jalil semalam.

Difahamkan jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan berjumlah melebihi RM1 juta dengan hadiah utama sebuah kereta Proton Perdana.

Sumber — Zaki Abdul Sani

Thursday, 11 May 2017

Stesen minyak bakal lingkup?


PENURUNAN harga minyak dalam tempoh tiga minggu terakhir ini menyebabkan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian sehingga ada yang mungkin terpaksa mengambil keputusan menamatkan perniagaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz ketika menjelaskan kepada China Press, pengusaha stesen minyak biasanya menjual minyak petrol dan diesel mengikut kadar harga pembelian.

"Namun masalah yang berlaku kepada pengusaha stesen minyak pada hari ini ialah stok lama yang dibeli mereka dengan harga lebih tinggi perlu dijual harga murah apabila harga diturunkan.

"Adalah mustahil bagi sesebuah stesen minyak dapat menghabiskan bekalan stok lama dalam tempoh beberapa hari. Secara purata, RON95 memerlukan empat hingga lima hari untuk dijual sehingga habis, manakala RON97 memerlukan masa lebih daripada seminggu," katanya.


Menurut Khairul Annuar, sekiranya harga minyak dan diesel menurun secara berterusan, ini bermakna pengusaha stesen minyak terpaksa menanggung perbezaan harga antara masa pembelian dan penjualan kepada pengguna.

Dalam pada itu, seorang pengusaha stesen minyak memberitahu, apabila harga minyak terus menurun dan ditambah pula ketidakstabilan harga minyak dunia, ia akan menyaksikan lebih banyak stesen minyak sukar meneruskan operasi perniagaan masing-masing.

"Bagi jualan minyak, kadar keuntungan yang diperoleh hanyalah lebih kurang 10 sen untuk setiap liter manakala diesel pula ialah enam sen untuk setiap liter. Sama ada harga naik atau jatuh, kadar keuntungan ini tetap kekal sampai bila-bila.

"Sekiranya harga minyak jatuh, selain terpaksa tanggung kos operasi, semua pengusaha stesen minyak juga tertekan dengan kerugian yang dialami akibat perbezaan harga ketika pembelian dengan penjualan kepada pengguna," katanya.

Mengenai promosi memberi diskaun kepada pengguna, beliau berkata, semua pengusaha stesen minyak wajib membuat permohonan awal kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kelulusan.

"Proses mendapatkan kelulusan mengadakan promosi diskaun daripada kementerian tentunya memakan masa. Harga minyak berbeza-beza setiap minggu, macam mana nak buat promosi bila kerajaan lambat meluluskannya?," soalnya.

'Ulang tahun Umno yang ke-71 paling best, dapat macam-macam'



Pengunjung yang hadir ke majlis sambutan ulang tahun Umno yang ke-71 di Bukit Jalil berasa seronok apabila diberikan pelbagai sumbangan seperti roti, air kotak, pakaian dan beg malam tadi.

Mereka kelihatan tidak pulang dengan tangan kosong apabila dilihat setiap seorang membawa pulang sekotak roti dengan isian 40 paket serta air kotak yang diberikan secara percuma.

Rohana Abdul Razak yang datang dari Bandar Hilir Melaka dengan menaiki bas, melahirkan rasa gembiranya dengan sumbangan yang diberikan itu.

“Umno memang selalu bagi sumbangan macam ni, tapi yang ni paling best lah sebab dapat banyak-banyak. Ni anak-anak kena tolong lah angkat naik bas.

“Saya dah siapkan ambil untuk jiran, semua saya dah tulis nama ni” katanya kepada Malaysiakini.

Rohana yang menghadiri bersama tiga anaknya turut berkata beliau mendapat wang saku RM30 serta baju-T tulisan Ulang tahun Umno yang ke-71.

Manakala Rohani Yakob yang hadir bersama keluarganya turut melahirkan kesyukuran apabila mendapat pelbagai sumbangan malam tadi.

“Semua dapat roti, air kotak, baju, beg dan ni semua nanti akan bawa naik bas ke Melaka,” katanya sambil memegang kotak roti.

Mengikut tinjauan Malaysiakini, pengunjung ke program itu beratur di bahagian sumbangan untuk mengambil roti dan air kotak.

Turut diadakan ialah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.

Friday, 5 May 2017

Berdosa ahli Umno kalau tak sokong Perdana Menteri



“Berdosa” jika ahli Umno tidak memberikan sokongan penuh mereka kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bercakap semasa mesyuarat Umno bahagian Pekan hari ini yang dirasmikan Najib, Adnan berkata, presiden Umno itu sudah berbuat banyak kepada parti dan ahli wajib berdiri di belakangnya.

Najib berdepan dengan tekanan untuk meletakkan jawatan disebabkan kontroversi “derma” RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Adnan berkata, Najib menggunakan RM2.6 bilion itu utuk parti dan bukan untuk kegunaan peribadi.

“Bagi saya, berdosa jika kita biarkan dia berseorangan sekarang.

“Saya ingin beritahu dia, kita akan bersama, kita akan berdepan dengan masalah ini bersama,” kata Adnan.

Adnan juga mengatakan Najib “ikhlas” dalam menguruskan RM2.6 bilion tersebut.

“Ia bukan sahaja digunakan untuk pilihan raya tetapi juga untuk parti. Saya yakin berapa sahaja bakinya akan digunakan untuk parti juga,” katanya.

Jamal Dedah 4 Adun PKR Keluar

Dakwaan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR akan keluar parti bagi menubuhkan kerajaan campuran baharu di Selangor adalah strategi Menteri Besar Selangor untuk menutup isu pemecatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah.

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak demikian setelah kepimpinan tertinggi PKR ingin memecat Adam Rosly daripada jawatan politiknya susulan beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kekayaan ‘luar biasanya’.

Jamal berkata beliau menerima makluman Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli membawa usul untuk memecat atau menggantung Adam Rosly daripada AMK Ampang.

“Tetapi Azmin Ali terlebih dahulu memainkan isu bahawa ada empat orang wakil rakyat dari Selangor akan melompat parti yang mana kerajaan negeri Selangor akan kehilangan kerajaan apabila PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

“Jadi apabila Azmin membawa perkara tersebut, maka senyaplah agenda untuk memecat saudara Adam atau menggantungnya kerana menghadapi pertuduhan oleh SPRM,” kata Jamal, yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, kepada pemberita di lobi Mahkamah Ampang, Rabu.

Jamal dan sembilan pengikutnya hadir di Mahkamah Ampang bagi prosiding sebutan semula kes yang dihadapi mereka, iaitu menggunakan kekerasan dalam satu kejadian di Ampang Point, November lalu.

Sehubungan itu Jamal menasihatkan Umno Selangor agar tidak mempercayai dakwaan lompat parti itu kerana ia tidak benar dan hanyalah strategi pembangkang yang cuba membuat Umno berasa selesa dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ini sebenarnya sengaja direka oleh Azmin nak bagi orang Umno, orang Barisan Nasional (BN) ‘syok’ supaya mereka ni lalai, alpa daripada kerja, tanggungjawab yang sepatutnya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya nak ingatkan rakan-rakan daripada BN, Umno jangan termakan dengan perkara ini,” katanya. -Bernama

Thursday, 4 May 2017

Berakhirnya Drama RUU 355 - Khalid Samad


Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya. Pada peringkat kesudahannya UMNO/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat. Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke 13 pada 2013 sudah jelas hilang. Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan UMNO/BN untuk mensasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu ‘master-stroke’ yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak. Melaluinya bukan sahaja PR berpecah, namun ketidak-tentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindakbalas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh. Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS secara muktamad walaupun itulah apa yang dituntut keadaan dan kebijaksanaan.

Dengan itu, tindakan AMANAH untuk turun sebagai pengganti kepada PAS terpaksa mengharungi jalan yang lebih sukar dari sepatutnya. Walaupun begitu, ianya semakin menunjukkan hasil. Namun itu kisah lain.

PERMULAAN DRAMA

Drama ‘perundangan Islam’ ini bermula pada bulan Oktober 2014, apabila DS Jamil Khir mencadangkan supaya seorang ahli parlimen PAS dari Kelantan membawa usul persendirian memohon kebenaran dari Dewan Rakyat untuk Kelantan melaksana undang-undang yang berbeza dengan undang-undang persekutuan. DS Jamil Khir, sebagai Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, telah membuat cadangan tersebut di dalam Dewan Rakyat sambil menjanjikan bahawa Ahli Parlimen UMNO akan menyokong usul persendirian tersebut sekiranya ianya dibawa. Mengikut beliau, usul persendirian ini hendaklah dibawa atas perkara 76 (1) A perlembagaan persekutuan dan kerajaan sanggup membantu ke arah itu melalui penubuhan Jawatan kuasa teknikal bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

Cadangan DS Jamil disambut baik oleh PAS, khususnya PAS Kelantan, yang melihatnya sebagai peluang keemasan untuk melaksanakan hudud dan oleh itu mesti diambil dan tidak boleh dilepas.

PEMBENTUKAN JK TEKNIKAL

Hasil dari cadangan tersebut maka sebuah JK Teknikal bersama antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Pusat telah ditubuhkan. Dalam perbincangan JK Teknikal ini telah dipersetujui pindaan terhadap Akta 355 sebagai tindakan awal ke arah pencapaian matlamat perlaksanaan perundangan Islam di Kelantan. Ini adalah atas alasan pindaan terhadap Akta 355 hanya memerlukan majoriti mudah sedangkan permohonan atas perkara 76 (1) A memerlukan sokongan dua pertiga ahli dewan.

Terbentuknya JK Teknikal ini dan keberlangsungan mesyuaratnya beberapa kali telah menyebabkan PAS Kelantan yakin dengan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Pusat dalam usaha membantunya ke arah perlaksanaan syariah Islam. MB Kelantan begitu yakin dengan janji UMNO/BN sehingga sanggup berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya undang-undang Islam tidak dilaksanakan di Kelantan pada tahun 2015!

Cadangan untuk PAS membawa usul persendirian untuk meminda Akta 355 telah dibawa ke mesyuarat bulanan PAS Pusat. Dalam mesyuarat tersebut ada beberapa ahli mesyuarat yang menyuarakan pandangan supaya usul itu dibawa oleh kerajaan. Cadangan itu ditolak atas alasan kredit terhadap usul tersebut hendaklah menjadi milik PAS dan bukan milik UMNO/BN.

MESYUARAT MAJLIS PRESIDEN PR FEB 2015

Pada Februari 2015, berita mengenai usul persendirian yang akan dibawa oleh PAS telah menjadi pengetahuan umum. Oleh itu, apabila mesyuarat Majlis Presiden PR diadakan pada bulan tersebut, maka pimpinan DAP telah bertanya mengenainya. Presiden PAS telah mengesahkannya dan apabila diminta supaya deraf usul berkenaan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden terlebih dahulu sebelum dibawa ke Parlimen, Presiden PAS telah bersetuju.

Soal samada parti-parti rakan PR bersetuju dengan isi kandungan Usul Persendirian tersebut atau sebaliknya adalah persoalan kedua. Yang penting adalah supaya dimaklumkan terlebih dahulu supaya semua mengetahui isi kandungannya dan boleh menetapkan pendirian berhubungnya. Malangnya persetujuan untuk membawanya terlebih dahulu ke mesyuarat Majlis Presiden telah diabaikan Presiden PAS.

Pada bulan Mac Parlimen bersidang untuk sesi pertamanya bagi tahun 2015. Pada hari pertama sidang Parlimen berkenaan didapati bahawa usul persendirian YB Marang ia itu Presiden PAS telah tertulis dalam peraturan mesyuarat persidangan! ini menyebabkan pimpinan DAP mengeluarkan kenyataan “tidak boleh berkerjasama dengan seorang Presiden PAS yang sebegini”. Kenyataan DAP adalah atas sebab Presiden PAS ‘cakap tidak serupa bikin’.

PERBALAHAN PAS DAN DAP

Melalui peristiwa ini maka perbalahan PAS dan DAP mula mengambil pentas utama politik negara. Presiden PAS mula menyerang DAP sebagai musuh Islam walaupun sebenarnya beliau yang tidak berpegang pada janji. Hubungan antara PAS dan DAP menjadi semakin renggang dan golongan dalam PAS yang berusaha menyelamatkan hubungan tersebut turut diserang sebagai ‘khadam DAP’.

Pada masa sama, Usul Persendirian tersebut tidak diberi laluan untuk dibentangkan pada sesi berkenaan. Ianya kekal atas kertas sebagai peraturan mesyuarat tetapi tidak dapat walaupun dibaca oleh Hadi. Sambil PAS dan DAP berentap, usul itu terus menjadi alat permainan dan teka-teki UMNO/BN. Matlamat pertama sebalik cadangan Usul Persendirian yang dibawa oleh Jamil Khir telah mula membuahkan hasil.

MUKTAMAR ‘PEMBERSIHAN’ 2015

Pada muktamar PAS 2015 maka pimpinan yang mempertahankan kebersamaan PAS dalam PR telah dijatuhkan secara setandan oleh perwakilan PAS. Ini adalah hasil usaha yang telah dimulakan sejak sebelum 2013 lagi. Pada masa sama usul supaya diputuskan hubungan dengan DAP telah diluluskan muktamar berkenaan tanpa bahas.

Melalui dua tindakan ini maka strategi UMNO untuk memecahkan PR telah tercapai. Tiada lagi pimpinan yang akan bersuara mempertahankan keberadaan PAS bersama PR. Pada masa sama hubungan PAS dan DAP telah terputus tanpa adanya harapan untuk dipulihkan kembali.

Sambil ini semua berlaku, Usul Persendirian masih tidak dibenarkan untuk dibawa di dalam Parlimen. Ia kekal tertulis di atas kertas peraturan mesyuarat tetapi tidak diberi laluan walaupun untuk dibaca.

SIDANG-SIDANG PARLIMEN SETERUSNYA

Usul Persendirian yang dibawa YB Marang terus tertulis di atas kertas peraturan mesyuarat tanpa diberi laluan untuk dibentang dan dibahas dari sejak sidang pertama 2015 sehingga sidang terakhir ia itu sidang bajet 2015. Sambil itu hubungan PAS dan DAP menjadi semakin parah dan pimpinan PAS yang pro-PR telah keluar PAS dan membentuk AMANAH.

Pada sidang pertama 2016, pada hari terakhir sesi berkenaan, YB Marang telah akhirnya dibenarkan untuk membaca usul persendirian untuk meminda Akta 355. Namun demikian, hanya sekadar membacanya dan seterusnya, meminta supaya perbahasan mengenainya ditunda ke sidang akan datang. Ramai yang menjangkakan beliau mengikuti skrip yang telah ditetapkan UMNO/BN dalam persoalan ini.

Pada sidang seterusnya sekali lagi usul tersebut didapati tertulis atas kertas peraturan mesyuarat tetapi sekali lagi ianya tidak diberi ruang untuk dibentang. Pada sidang bajet 2016, usul persendirian telah dipinda buat kali keduanya dan kali ini ianya mengandungi hukuman denda RM 100,000 dan penjara 30 tahun serta sebat syarii 100 sebatan. Pada sidang ini, YB Marang dibenarkan untuk membaca pindaan yang dibuat ke atas usulnya. Namun sekali lagi perbahasan ditunda ke sesi akan datang.

SIDANG PARLIMEN MAC 2017

Pada sidang Parlimen baru-baru ini, sekali lagi pada hari terakhirnya, YB Marang sekali lagi dibenarkan untuk membaca Usul Persendiriannya. Kali ini dia dibenarkan membentangnya dan pembentangannya mengambil masa dalam 15 ke 20 minit. Penyokong usul berkenaan, YB Kota Bharu, dibenarkan mensyarahkannya selama sejam setengah! Selepas sahaja YB Kota Bharu mengakhiri syarahannya maka Speaker Dewan, TS Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang melalui kata-kata yang telah menjadi masyur, ia itu, “If you have power, you are powerful. If you do not use the power, you are bloody fool”. Dengan kata-kata sedemikian maka sidang ditamatkan dan perbahasan ditunda hingga ke sesi akan datang.

Dengan itu usul berkenaan tetap kekal sebagai Usul Persendirian yang belum dibahas dan jauh sekali diluluskan. Walaupun disyarahnya selama hampir dua jam, hakikatnya tiada kemajuan dan statusnya seperti sejak asal.

KESIMPULAN

Strategi UMNO/BN menggunakan isu perlaksanaan syariat islam untuk mengumpan PAS telah berjaya sepenuhnya. PR telah berpecah sambil BN kekal bersatu.

Usul Persendirian YB Marang sekiranya dibenarkan dibahas dan seterusnya diundi akan menyebabkan BN sendiri berpecah. Maka dibenarkan setakat mana diperlukan oleh BN, ia itu cukup untuk memecahkan PR dan melaga-lagakan pembangkang tetapi tidak untuk dibahas kerana perbahasan akan menyebabkan BN sendiri berpecah. Oleh itu saya yakin bahawa kita telah melihat adegan terakhir drama Akta 355 ini. Tiada yang lebih yang perlu dilakukan UMNO/BN. Matlamat mereka telahpun tercapai.

Melalui drama ini pembangkang telah berpecah dan PRU ke 14 akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru di hampir semua kerusi, khususnya di Semenanjung dan di kerusi majoriti Melayu, ia itu kerusi yang ditandingi UMNO. Mengikut perkiraan UMNO, bila pertandingan 3 penjuru ini berlaku, maka UMNO akan menang hampir kesemua kerusi yang ditandinginya.

Saya berkeyakinan sekiranya PH dapat membina kekuatannya sebagai gabungan 4 parti, ia akan tetap merupakan pilihan bagi yang inginkan kerajaan baharu menggantikan BN. Maka perancangan UMNO/BN tetap masih boleh digagalkan.

PAS sebaliknya hampir pasti akan kehilangan semua kerusinya. Ini yang dikatakan pepatah Melayu, “menang sorak kampung tergadai”. Inilah hasilnya percaya pada UMNO dan melanggar pesanan almarhum TGNA.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Isu guna Jet Kerajaan, Ini jawapan Rosmah Mansor..



Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak terganggu dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya berikutan beliau menggunakan jet eksekutif milik kerajaan untuk menghadiri Persidangan Perniagaan Antarabangsa di Doha minggu lalu.

Rosmah yang ditemui di majlis pecah tanah di Sentul, Kuala Lumpur hari ini, berkata beliau sangat gembira dan tidak akan memberikan komen berhubung perkara itu.

“Saya tidak mahu bercakap tentang ini, saya tidak mempunyai komen dan tidak mahu merendahkan diri saya seperti mereka. Saya sangat gembira dan akan terus membuat kerja saya,” katanya.

Apabila diminta penjelasan lanjut Rosmah meminta pemberita mendapatkan penjelasan daripada Pegawai Khas, Datuk Siti Azizah Sheikh Abod.

Azizah berkata, lawatan Rosmah ke Qatar adalah atas kapasitinya sebagai isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau ke sana tidak mewakili kerajaan, tetapi untuk kepentingan kerajaan. Ini menjustifikasikan penggunaan jet itu,” katanya.

Azizah berkata, mereka menggunakan saluran betul untuk memohon jet itu termasuk memohon kepada Kementerian Luar sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk mendapatkan kebenaran.

“Permohonan dibawa kepada perhatian Kabinet dan diluluskan,” katanya dan memaklumkan bahawa jet eksekutif itu boleh digunakan oleh mana-mana VIP dengan kelulusan Kabinet.

Apabila ditanya apakah perdana menteri turut bersama ketika permohonan dibincangkan oleh Kabinet, Azizah berkata, ia tidak penting kerana kelulusan dibuat secara konsensus dan bukan atas kapasiti individu.

Minggu lalu Rosmah berada di Qatar menghadiri Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar ke- 4 yang dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan dan Rangkaian Interaktif Qatar.

Turut menemani Rosmah ialah Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil; isteri Menteri Luar, Datin Seri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad; isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah dan isteri Menteri Pendidikan II, Datin Seri Che Kamariah Zakaria.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman semalam mendedahkan bahawa jemputan Rosmah ke Persidangan Wanita di Qatar bukan atas urusan rasmi kerajaan sebaliknya jemputan yang dibuat secara peribadi.

"Jemputan berkenaan bukan berdasarkan daripada kerajaan kepada kerajaan, tetapi lebih secara peribadi," katanya di Parlimen semalam semasa pembentangan Bajet 2014.

Azalina turut mengakui beliau antara delegasi yang mengikuti Rosmah dalam rombongan tersebut selain berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu yang meluluskan penggunaan jet rasmi kerajaan dalam mesyuarat Kabinet dan bukannya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti yang didakwa sebelum ini.

Harga Barang Naik Kerana Sikap Pengguna Bukan GST


Jangan tuduh GST punca harga barang naik, kata ketua BTN

Ramai rakyat Malaysia membeli tiga kereta walaupun tidak ada duit dan bank tetap berikan pinjaman, kata ketua pengarah BTN.

Datuk-Ibrahim-Saad

SUNGAI BESAR: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak seharusnya dipersalahkan sebagai punca harga barangan di pasaran meningkat.

Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Datuk Ibrahim Saad berkata peningkatan harga barangan disebabkan sikap pengguna di Malaysia.

Beliau memberikan contoh mengenai situasi yang berlaku pada bulan Ramadan apabila ramai pihak yang membeli barangan lebih daripada keperluan.

“Pada hari biasa, kita hanya beli 3kg beras tetapi apabila tiba bulan puasa, semua orang beli 10kg. Biasa kita beli sepapan telur, tapi kita beli tiga papan telur.

“Kenapa kita perlu beli terlalu banyak barang pada bulan puasa sedangkan bulan ini kita tidak makan. Saya tahu sebab inilah apa yang isteri saya buat,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga yang berlaku kepada hutang negara kerana majoriti rakyat Malaysia berbelanja melebihi kemampuan.

“Ramai orang yang marah kerajaan kerana mereka anggap tidak tahu uruskan ekonomi. Tapi kita sendiri berbelanja melebihi kemampuan kita.

“Kerani mahu hidup seperti pegawai jabatan. Ramai rakyat Malaysia yang membeli tiga kereta walaupun tidak ada duit dan bank tetap berikan pinjaman,” katanya.

Ibrahim berkata demikian pada program Wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terrorism, PDRM Datuk Ayob Mydin Pitchay dan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur hidup di Malaysia dan bukannya sering mengkritik.
“Jika kamu tidak dapat tolong negara, jangan kata apa-apa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap di Jabatan Perdana Menteri menafikan wacana itu diadakan bersempena PRK di Kuala Kangsar.

Katanya, program itu sudah lama dirancang dan dipinda dua kali sebelum ia diadakan pada hari ini.

Penduduk berang mahu kirim air kencing kepada PM



"JANGAN sampai kami kirim kencing kepada Perdana Menteri gara-gara Shafie Apdal," kata Setiausaha JKKK Kg. Cenderawasih, Kunak, Ahmad Bin Andi Mangga menunjukkan aksi berani memasukkan kencingnya ke dalam botol minuman yang mempunyai gambar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan mengungkapkan kata-kata di atas sambil menunjukkan botol yang mengandungi kencingnya untuk rakaman video.

Ahmad menyatakan beliau terpaksa bertindak ‘kurang ajar’ untuk mengajar Shafie yang terlalu cuai dan kurang peka dengan aspirasi penduduk luar bandar terutama yang mengalami gangguan bekalan air disebabkan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang dilaksanakan tanpa pemantauan KKLW.

“Selama ini kita tidak pernah mengalami gangguan air, tetapi projek demi projek yang dilaksanakan KKLW telah dibuat tanpa sebarang notis sehingga mengganggu bekalan air ke kampung kami. Kadang-kadang satu bulan tiada air. Terpaksa beli daripada lori,” kata Ahmad yang berang kerana aduannya terhadap Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang dan Jabatan Air tidak diendahkan langsung.



Menurut Ahmad, bekalan air di Kunak cukup untuk tempoh tiga puluh tahun daripada sekarang, malah terpaksa dibuang setiap hari bagi membolehkan kontraktor (Lahad Datu water Supply) memenuhi kuota bekalan air bersih setiap hari.

“Kalau mau buat projek, buatlah. Maklumkan kepada JKKK atau penduduk. Sekarang zaman modern. Semua maklumat di hujung jari. Tetapi kenapa buat senyap-senyap dan pasang paip tanpa papantanda sehingga kerja-kerja berkenaan mengganggu bekalan air ke kampung kami,” kata Ahmad yang menuding jari kepada Shafie kerana ghairah meluluskan projek tanpa mengkaji kesesuaiannya.

Tegas Ahmad, hanya Sub-kontraktor yang menjalankan kerja memasang paip baru untuk projek BALB Tingkayu, namun kerja mereka tidak diselia oleh Jurutera Jabatan Air atau Juruperunding yang dilantik.

“Tetapi jangan jadikan kami mangsa projek. Mereka mau kayakah, mau telan itu wang projek, telanlah, tetapi kenapa bekalan air kami diputuskan? Bil kami bayar. Meter kami ada, tapi keluar angin saja. Mau bilang tangki simpanan Jabatan Air tiada air, penuh pula; sampai dibuang ke parit. Apa semuanya ini?,” tanya Ahmad yang kesal kerana KKLW melantik kontraktor yang tidak berkelayakan menjalankan kerja penting berkenaan.

Oleh itu kata Ahmad, sebelum mereka bertindak memboikot pilihanraya umum akan datang atau memberikan undi mereka kepada pembangkang, Shafie wajib turun padang untuk melihat masalah penduduk kampung yang sengsara akibat pelaksanaan NKRA menyusahkan rakyat dan mengkayakan kroni Shafie.[SabahKini]

Wednesday, 3 May 2017

100,000 Kakitangan Awam Akan Muflis Berpunca dari GST, Kos Sara Hidup Tinggi

DIANGGARKAN sejumlah 100,000 orang penjawat awam berdepan dengan risiko diisytiharkan muflis kerana membuat pinjaman terlalu banyak untuk mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda dilaporkan sebagai berkata, kakitangan awam daripada golongan rendah dan pertengahan mengambil langkah berhutang kerana menyangka ia mampu menyelesaikan masalah pembelanjaan mereka dalam keadaan inflasi yang semakin meningkat.


"Betapa silapnya mereka, anggaran kasar kami mendapati sehingga 100,000 kakitangan awam bakal diistiharkan bankrap tidak lama lagi, buat masa sekarang 3,000 daripada mereka sudah pun diistiharkan muflis,"

"Situasi ini akan menjadi bertambah buruk kerana lebih ramai lagi di kalangan mereka yang membuat pinjaman daripada lintah darat (Ah Long)," kata beliau kepada para wartawan ketika melancarkan seminar pekerja sempena Hari Buruh (1 Mei 2017) tempoh hari.

Menurut Azeh lagi, mereka ini mungkin akan kehilangan kerja ataupun digantung daripada tugas, mengundang kepada pelbagai lagi masalah lain seperti penceraian dan keruntuhan rumah tangga.

"Bayangkan jika separuh daripada 100,000 penjawat awam itu adalah terdiri daripada mereka yang sudah berkahwin dan memiliki anak-anak," katanya.

Menurut Azih, ketika ini terdapat sekurang-kurangnya 20 institusi kewangan termasuk koperasi-koperasi yang dilantik untuk menyediakan pinjaman-pinjaman kepada kakitangan awam dengan bayaran balik melalui pemotongan gaji bulanan.

Beliau menegaskan, badan-badan ini tidak memeriksa latar belakang setiap pemohon pinjaman.

Sambil memberikan contoh, Azih mendakwa seorang kakitangan awam yang hanya layak untuk membuat pinjaman sebanyak RM50,000 boleh pergi ke empat buah bank untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM200,000.

"Malah ada sesetengah daripada mereka memberikan slip gaji palsu, supaya permohonan pinjaman yang dibuat dapat diluluskan, dari sini lah segala masaalah bermula," 

"Kerajaan perlu mengadakan satu sistem untuk memantau situasi yang membimbangkan ini," katanya.

Tegasnya lagi, kakitangan awam perlu mengikat perut di dalam keadaan ekonomi hari ini dan bukannya mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah.

"Perbuatan ini bagaikan menggali lubang untuk menutup lubang yang lain, dan akhirnya terdapat terlalu banyak lubang-lubang," — EdisiRakyat.com, 4 Mei 2017

Mereka Yang Marah Kerajaan Wajar digelar Pengkhianat Negara - Menteri

Masyarakat yang mencerca kerajaan dianggap sebagai pengkhianat dan hanya mementingkan diri sendiri. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dunia luar begitu menghormati negara sedangkan rakyat dalam negara tidak begitu, lapor Sinar Harian.

“Mereka inilah sebenarnya pengkhianat negara, nak marah kepada kerajaan dengan melemparkan pelbagai kata-kata dusta.


“Mereka ini turun ke kampung-kampung memberitahu penduduk akan ditimpa susah dan sebagainya sedangkan semua itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dataran Dun Langkap, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh; Adun Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor dan barisan-barisan parti Umno.

Idris menyarankan, perbuatan itu dihentikan kerana menganggap ia sebagai membuang masa. Katanya, rakyat boleh melihat sendiri keadaan Malaysia di mata dunia.

“Malaysia sering mendapat kunjungan dari negara-negara hebat seperti Arab Saudi, China, India dan pelbagai lagi yang percaya dan menghormati negara kita.

“Kenapa kita sebagai rakyat di dalam negara termasuk di Dun Langkap sendiri tidak dapat menghormati kerajaan sedia ada,” katanya. Pilihan raya sudah hampir walaupun tidak tahu bila, tetapi perlu bersiap sedia.

Menurutnya, pastikan bukan sahaja di Dun Langkap malah seluruh negara, penduduk memilih Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

“Saya mahu melihat Umno menang dengan cemerlang dan mengembalikan semangat gelombang biru yang pernah mencipta sejarah suatu masa dahulu, bukan sahaja di Terengganu malah seluruh negara,” katanya.

Persoalan mengapa Rosmah tidak bertudung terjawab

 


Ramai yang mempertikaikan mengapa Rosmah Mansor isteri kepada Perdana Menteri Al-Fadhil Ustaz Haji Najib Tun Razak terlalu liat untuk bertudung. Malah tanpa segan silu menayangkan rambut gerbangnya sambil bergambar bersama First Lady of Malaysia yang tulen, Tuanku Permaisuri Agong baru-baru ini. Mungkin video di bawah ini boleh menjawab segala persoalan tersebut.


Rafizi dakwa penasihat PM, penganjur zikir terima wang akaun Najib

Beliau turut menyebut sebuah kedai menjual barang kemas mewah di Itali dalam dakwaanya yang lebih RM10 juta wang daripada akaun peribadi Najib.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini menamakan tiga pihak yang menurutnya menerima wang berkait 1MDB daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, sambil berkata pendedahannya supaya memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan terhadap perdana menteri.

“(Ia) sebagai tindakan nekad agar SPRM buka semula siasatan terhadap berhubung skandal 1MDB,” kata Rafizi kepada wartawan di badan kaji selidiknya Invoke Malaysia.
Memetik blog “SPRM Insider”, Rafizi menamakan Datuk Amhari Effendi Nazaruddin, yang menurutnya menerima sebanyak RM2 juta.

Rafizi berkata carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Amhari merupakan pengarah dan memegang 50% saham dalam Orb Solution Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi telefon pintar “Najib Razak” yang dilancarkan Oktober tahun lalu.

Rafizi berkata Amhari, yang merupakan rakan sekolahnya dahulu, merupakan penasihat kanan di Pejabat Perdana Menteri, dan turut terlibat dalam rundingan menyelesaikan hutang 1MDB dengan IPIC baru-baru ini.

“Sekiranya beliau penerima wang 1MDB, sudah tentu beliau tidak layak terlibat dalam rundingan penyelesaian hutang 1MDB, kerana wujud pertembungan kepentingan,” katanya sambil menyeru Amhari tampil menjawab dakwaan itu.

Pihak kedua dinamakan oleh Rafizi adalah Najib, di mana beliau mendakwa transaksi sebanyak RM449,586.95 berlaku daripada kad kredit di bawah akaun peribadi di Ambank Islamic kepada Amhari.

Satu lagi transaksi dibuat daripada kad kredit Najib sebanyak RM2,833,147.21, kata Rafizi.
Menurutnya, kedua-dua transaksi itu berjumlah RM3.28 juta dibelanjakan dalam hari sama di sebuah kedai barang kemas mewah di Itali.

Beliau mahu Najib tampil menjawab sama ada pembayaran itu berlaku dan untuk siapa.
“Ini soalan mudah. Kerana sudah tentu Najib tidak beli barang kemas di Itali.”

Pihak ketiga yang dinamakan Rafizi ialah Yayasan Al-Abrar, badan yang menganjurkan majlis zikir “Malaysia Bersalawat” di Kuala Lumpur pada 7 Disember, 2013.

Rafizi berkata yayasan tersebut menerima RM5 juta daripada akaun peribadi Najib di Am Islamic Bank Berhad.

Dakwaan Rafizi hari ini hampir sebulan selepas beliau menamakan bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharuddin Mat Isa, menerima sejumlah wang berkait 1MDB, menerusi peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun.

Nasharuddin bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Rafizi berjanji meneruskan pendedahan lebih ramai pihak yang menerima wang didakwa berasal dari dana 1MDB.

“Supaya SPRM tidak ada pilihan kecuali memberi maklum balas tentang perkara ini. SPRM tidak boleh berdiam diri.

“SPRM perlu berdepan dengan rakyat,” katanya.

Beliau mendakwa maklumat yang diperolehinya adalah sahih dan disemak balik dengan dokumen rasmi siasatan SPRM ke atas 1MDB.

Pada 2015, dokumen siasatan SPRM yang dipetik The Wall Street Journal mendedahkan sejumlah RM2.6 bilion mengalir masuk daripada akaun dan entiti berkait 1MDB ke akaun peribadi milik Najib pada 2013.

Najib bagaimanapun berkata wang tersebut merupakan derma keluarga diraja Arab Saudi kepada Umno untuk menjalankan kempen pilihan raya umum tahun itu.

Siasatan pasukan khas melibatkan SPRM itu bagaimanapun tidak diteruskan selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendapati Najib tidak bersalah.

Tuesday, 2 May 2017

Ramai hairan mengapa Najib tak saman Dr Mahathir kerana gelarnya ‘pencuri’



KIRA-KIRA 3,000 hadirin yang mendengar Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan terhadap Najib Razak pada siri ceramahnya di Muar malam tadi, tertanya-tanya mengapa perdana menteri tidak mengambil tindakan menyaman pemimpin veteran itu kerana memanggilnya “pencuri”.
Sama seperti sesi ceramah lain, Dr Mahathir tidak mengubah skripnya ketika di pinggir bandar Parit Yusof, Muar.

Beliau hanya mempunyai satu mesej kepada orang ramai – mereka mesti menghapuskan pentadbiran Najib yang dikatakannya rasuah.

Apabila pemimpin berusia 91 tahun itu selesai, ia hampir tengah malam, peniaga Ishak Mahmuda bertanya soalan penting ini:

"Tun kata Najib seorang penyangak, lanun dan sebagainya tapi beliau tidak dikenakan sebarang tindakan, mungkin kerana Najib mempunyai strateginya sendiri dan untuk memberi kebaikan kepada parti," kata lelaki berusia 61 tahun yang menghadiri ceramah tersebut bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku di negara ini.

Seorang lagi yang hadir pada ceramah itu, Mohd Aluan Salikun berkata mungkin Najib takut mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir.

"Mungkin sebab beliau takut. Kalau beliau (Najib) saman, banyak lagi perkara yang dilakukannya terbongkar dan sekali gus memberi impak negatif kepada Umno sendiri," katanya.
Aluan, yang hadir bersama keluarganya, pernah menjadi penyokong setia Umno tetapi beralih kesetiaannya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menyalahkan "pentadbiran rasuah" Umno kerana tindakannya itu.

"Kini saya taat setia kepada Bersatu. Memang ada yang cakap zaman Tun dahulu dulu pun ada rasuah, tetapi rasuahnya tidak seteruk sekarang," katanya kepada The Malaysian Insight.

Terdapat ramai khalayak seperti Aluan – bekas ahli Umno yang kini beralih arah kepada Bersatu.
Mereka semua menyanjung tinggi dan mempercayai setiap butir biacara Dr Mahathir, perdana menteri negara paling lama berkhidmat dan juga pengerusi Bersatu.

Ahli politik veteran itu kekal sebagai tokoh terkenal, jika dilihat daripada penerimaan yang diterimanya di ceramah malam tadi.

Meriah dan bersemangat. Itulah yang dapat digambarkan kira-kira sejam sebelum ceramah "Jelajah Semarak" bermula.

Gendang dipalu kuat dan penuh semangat pemuda Armada di hadapan perkarangan rumah penduduk di situ Zainudin Sayuti.

Orang ramai sanggup bersengkang mata sehingga hampir tengah malam untuk mendengar ucapan Dr Mahathir. Seperti biasa, beliau pemimpin Pakatan Harapan yang terakhir berucap.

Sama seperti dalam ceramahnya sebelum ini di lokasi lain, Dr Mahathir memanggil Najib pencuri dan mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “derma” RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun beliau.

Semasa berucap, beliau mempersendakan Najib dan disambut gelak ketawa orang ramai.
Katanya, beliau sebelum ini sudah sedaya upaya cuba menyingkirkan Najib tetapi tidak berjaya kerana “kulit Najib sangat tebal”.

Bagi bekas penyokong tegar PAS Nasir Abdul Hamid, ini bukan kali pertama beliau hadir ke ceramah Bersatu.
Nasir yang kini merupakan ahli parti Amanah berkata pernah hadir ceramah Bersatu di Melaka dan datang kali ini kerana ingin mendengar isu semasa.

"Ceramah selepas ini di Teluk Mas pun saya akan datang lagi. Saya hendak dengar isu semasa apa yang berlaku. Kita tidak akan dapat gambaran sebenar jika menonton berita di TV3, TV1 kerana ia banyak menyebelahi satu pihak sahaja.

"Kalau dengar, kerajaan sahaja yang betul, laksana pelbagai projek. Padahal semua itu duit rakyat dan sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan. Pembangkang semuanya salah," katanya kepada The Malaysan Insight.

Nasir dari Muar yang datang bersama enam lagi anaknya pernah bersama PAS selama 40 tahun tetapi kecewa dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkanya berbeza dengan bekas presiden Fadhil Noor.

"Hadi tolak bangsa Cina dan Melayu bersatu. Saya tidak mahu begitu. Saya mahu mereka bersatu padu," katanya.

PAS berbalah dengan parti pembangkang lain iaitu DAP, sejak 2015 kerana terus mendesak untuk melaksanakan kod jenayah syariah.

Ia menolak Amanah, parti serpihan yang diketuai bekas pemimpin progresif yang meninggalkan PAS selepas ia berpecah dengan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat. Kini, di saat muktamar berlangsung di Kedah, ia terus menyerang PKR dan pemimpinnya.

Pemimpin Pakatan Harapan lain yang hadir pada ceramah malam tadi termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada Bersatu Syed Sadiq Abdul Rahman.

Bukti blogger pro UMNO/BN diupah RM 5,000 sebulan

 

Kepada para pembaca yang berniat untuk menjadi pencacai gerombolan songkok tinggi, anda mungkin boleh menawarkan diri untuk menjadi blogger sepenuh masa menutup segala penyelewengan dan salah laku kerajaan Barisan Nasional, terutama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.


Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman web pro Barisan Nasional, pada 16 Disember 2010 yang lalu, para blogger yang dilihat berkelayakan, akan diberikan wang sebanyak RM30, 000, untuk membuka sebuah blog sama ada yang menggunakan hosting percuma ataupun berbayar. Malah diberikan upah sebanyak RM 5,000 sebulan untuk menutup bangkai gajah [SarawakTalk].


Kita sedia maklum, budaya gerombolan songkok tinggi adalah perjuangan demi perut demi duit, tiada siapa yang dapat menafikan fakta ini. Dari pencacai paling bawah (tukang pasang bendera masa pilihanraya) sampailah ketua yang paling atas, berjuang demi duit. Maka tidak hairanlah, dua orang antara terkaya di Malaysia adalah Nazir Tun Razak dan Mirzan Mahathir. Kalau nak harapkan keikhlasan penyokong UMNO untuk memasang bendera tanpa upah, jawapannya simpan jelah bendera dalam stor.

Gerombolan songkok tinggi tahu bagaimana pemimpin atasan mereka mengambil kesempatan untuk memperkayakan kaum kerabat dan anak beranak serta cukong (kroni). Mereka tahu, bukan mereka tak tahu. Namun tak banyak sedikit mereka juga ada bahagian, sebab itulah pemimpin perompak terus dibela, sebab itu jugalah blogger-blogger gerombolan songkok tinggi terus menulis setiap hari dengan pelbagai propaganda dan fitnah jahat.

Tarik Biasiswa Pelajar Yang Kritik Kerajaan


 
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu taklimat semalam memberi amaran kepada penerima biasiswa jabatan itu bahawa mereka mungkin kehilangan tajaan jika mengkritik kerajaan, lapor Sin Chew Daily.

Akhbar itu melaporkan, ia adalah antara enam amaran yang digariskan JPA kepada kira-kira 1,000 pelajar yang mendapat 9A + atau lebih dalam peperiksaan SPM dan menerima biasisiswa jabatan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dipetik sebagai berkata, kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima sekiranya mereka secara terbuka mengkritik kerajaan.

Tambahnya, kerajaan telah menyediakan dana kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran supaya dapat menimba ilmu dan menjadi profesional, oleh itu adalah tanggungjawab mereka untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.


Selain itu Zainal Rahim berkata kaedah-kaedah penajaan tahun ini kekal sama seperti biasiswa JPA yang lalu.

Pada tahun ini, biasiswa JPA hanya ditawarkan bagi pelajar dalam negara berikutan kekangan kewangan yang dikatakan berpunca daripada kejatuhan harga minyak.