Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Monday, 15 May 2017

Khairy sambut baik kerjasama Umno-PAS tapi bimbang hubungan BN


Ketua Pemuda Umno juga berkata BN sentiasa bersedia pertandingan 1 lawan 1 walaupun pembangkang berpecah.


PUTRAJAYA: Khairy Jamaluddin berkata beliau menyambut baik cadangan kerjasama Umno-PAS tetapi mahu ia dikaji secara mendalam terlebih dahulu.

Ketua Pemuda Umno itu berkata 2 perkara utama yang perlu dilihat adalah asas kerjasama dan sama ada ia menjejaskan hubungan dengan parti komponen BN.
“Ia mesti diperhalusi dari segi apakah asas kerjasama – ini paling utama.

“Jika ia untuk kita terus berjuang atas isu besar membabitkan negara yang ada kaitan dengan orang Melayu dan Islam, dan tidak menjejaskan hubungan dengan rakan dalam BN, kita boleh bincang dan terokai cadangan itu,” katanya ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin baru-baru ini tidak menolak kemungkinan Umno dan PAS menjalinkan “tahaluf siyasi”, istilah yang digunakan pemimpin PAS untuk menggambarkan kerjasama antara parti politik berlainan ideologi.

“Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan Umno tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) yang telah menunjukkan minat,” katanya semalam merujuk sebuah parti kecil berpengkalan di Pulau Pinang.

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata Umno tetap mengutamakan hubungan sedia ada dengan parti komponen BN.

“Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan PAS, walaupun positif namun menjejaskan hubungan kita dengan parti komponen,” katanya.

Sebelum ini, parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan beberapa sekutu BN di Sabah dan Sarawak dilihat tidak senang dengan hubungan mesra Umno dengan PAS, terutama dalam menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

PAS dan Umno sejak kebelakangan ini berkongsi pentas dalam beberapa isu sejagat, termasuk dalam membantu etnik Rohingya akhir tahun lalu.

Minggu lalu, PAS secara rasmi memutuskan segala hubungan dengan PKR, menjadikan parti itu tidak ada apa-apa hubungan dengan parti yang menerajui kerajaan negeri Selangor yang turut disertai PAS.

Ketika ditanya tentang kemungkinan berlaku 3 penjuru dalam PRU akan datang ekoran perkembangan itu, Khairy berkata BN menjadikan “1 lawan 1” sebagai asas membuat persediaan.
“Jika kita buat simulasi tiga penjuru, kita berada dalam situasi terlalu selesa (berdasarkan keputusan PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ia akan memberikan maklumat yang salah.

“Saya percaya persiapan BN adalah untuk 1 lawan 1. Jika berlaku 3 penjuru, ia tiada kaitan dengan kita,” katanya.

Dituduh Punca Perpecahan Pakatan Rakyat, PAS Senaraikan Pengkhianatan PKR - Berikut Senarai Penuh.

Senarai khianat PKR kepada PAS


LANCANG sekali Pakatan Harapan (PH) melemparkan fitnah dan menuding jari kepada PAS sebagai penyebab dalam pelbagai hiruk-pikuk politik dengan memangsakan serta meletakkan PAS di kandang pesalah. PKR yang merupakan rakan tahaluf PAS paling lama turut bersorak dan bertepuk tangan membuli PAS supaya akur dan mengikut telunjuk angkuh DAP dan PAN.

Malah, PKR tergamak bersekongkol dengan mereka itu yang cuba mencampuri urusan dasar, termasuk menyerang dan melemahkan PAS. Sedangkan, PAS atas kesabaran, kejujuran dan semangat setiakawan sanggup jatuh bangun bersama demi dakwah dan membimbing rakannya agar dapat membawa perubahan dalam politik dan pemerintahan negara.

Sedari awal tersingkirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, pimpinan PAS paling awal mengatur kebangkitan rakyat menerusi Gerak dan memberdayakan parti itu. Malah, dibela Anwar untuk diadili secara enar dari pelbagai pertuduhan berkait salah laku moral dan tuduhan agen asing termasuk penganiayaan atas dirinya.

Malangnya PKR begitu cepat lupa diri, angkuh dan pragmatik hingga memerlukan PAS menilai semula pertimbangan syariat berkaitan ‘Tahaluf Siyasi’ setelah berlaku pelanggaran syarat oleh PKR. Maka sebagai menjawab tuduhan dan gambaran buruk pernah diberikan, dinyatakan di sini hakikat sebenar tindak tanduk PKR terhadap PAS:

April 2013: Bersikap keras terhadap PAS dalam pembahagian beberapa kerusi hingga berlaku pertembungan dan sewenang-wenangnya meletakkan calon daripada parti lain yang bukan merupakan rakan dalam Pakatan Rakyat tanpa perbincangan dan persetujuan bersama.

April 2013: Laksamana Pertama (B) TLDM, Mohamad Imran Abd Hamid yang menyertai PAS pada 7 Oktober 2011 diambil PKR sebagai calon PRU13 Parlimen Lumut. Tindakan ‘mencuri’ ahli PAS juga berlaku di negeri lain melibatkan pengambilan sebagai calon PRU.

Disember 2013: PKR kononnya telah menasihati, tetapi dilihat sekadar membiarkan bekas calonnya di Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin menyaman Presiden PAS. Malah, perkara itu digembar-gemburkan Shamsul ketika PAS mahu memberi tumpuan kepada PRK Kuala Besut yang dilihat cuba menjejas dan mensabotaj PAS.

Januari 2014: ‘Langkah Kajang’ adalah konspirasi menjatuhkan MB Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dan digerakkan tanpa pengetahuan PAS. PAS melihat tiada alasan syarak untuk TSKI digantikan dan ia berunsur manipulasi yang boleh menggoyah kestabilan kerajaan negeri. Mandat rakyat bagai dipermainkan dan tumpuan masa serta wang dihabiskan untuk ‘politiking’ pilihan raya yang disengajakan.

Mac 2014: Hasrat awal memicu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi ‘loncatan’ ke Putrajaya bertukar ‘tragedi’ oleh kes mahkamah. Pencalonan diganti dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (WAWI) dan beliau memenangi PRK itu. PAS walaupun tidak bersetuju dengan tindak tanduk PKR tapi tetap menurunkan jentera atas tuntutan tahaluf.

Julai 2014: Detik krisis politik Selangor memuncak dan pelbagai skandal dihadapkan terhadap TSKI oleh partinya sendiri dan Dun digambarkan menyokong WAWI. Namun, syarak mengikat PAS untuk tidak bersetuju WAWI dirintis ke jawatan MB.

Ogos 2014: Istana juga tidak memperkenan, menyebabkan berlaku ‘penderhakaan’ terhadap titah yang mengundang murka Sultan. Tetapi akhirnya TSKI menawarkan meletak jawatan. Tindakan PAS menamakan beberapa calon dikhianati ‘agen’ pro-PKR di dalam PAS.

September 2014: Berada di kedudukan baharu sebagai MB Selangor, Mohamed Azmin Ali bertindak mengurangkan kouta PAS dari seramai empat Exco yang diperuntukkan sebelum itu kepada hanya tiga Exco. Malah, penggiliran jawatan Senator kepada PAS untuk penggal itu juga tidak diberikan.

September 2014: PKR banyak dilihat beriringan dengan DAP yang menunjukkan sikap keras parti cauvinis itu kepada PAS khususnya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang termasuk dilihat membayangi beberapa pimpinan PAS yang jelas menunjukkan sikap pro-Anwar/PKR dan DAP. Banyak kenyataan dan tindakan yang sengaja mencampuri atau mempengaruhi urusan dalaman PAS.

12 Oktober 2014: Pesta arak Octoberfest tetap dilangsungkan di Selangor dengan turut dihadiri oleh pimpinan dari DAP dan PKR yang seolah-olah mencabar sensitiviti agama dan bantahan dikemukakan oleh PAS.

17 Mac 2015: PKR menggunakan alasan ‘Fiqh al-Awlawiyat’ untuk tidak menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan mengarahkan Adun PKR Guchil, Roslan Puteh supaya tidak menyertai perbahasan dan mengundi. PKR memberi alasan rasmi bahawa memperbetul ketidakadilan dan membela kebajikan lebih utama dari melaksana undang-undang hudud.

11 September 2015: Kejadian ‘curi’ ahli berulang apabila WAWI mengumumkan penyertaan bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan mantan MB Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam PKR. Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat dilantik sebagai Pengarah Politik & Dasar PKR.

22 September 2015: PKR turut bersama DAP dan PAN membentuk koalisi baru iaitu PH dan mengabaikan PAS. Bahkan, banyak menyertai gabungan itu dalam memberikan reputasi negatif terhadap PAS dalam pelbagai tindakan dan rentak politik. Juga memanipulasi dan mensensasikan pendekatan-pendekatan politik PAS hingga mengundang salah faham.

Januari 2016: PKR dan PAN mengatur siri ceramah bersama di Kelantan yang kandungannya berkisar gugatan, ancaman dan serangan ke atas kedudukan PAS di negeri itu serta Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS antaranya melibatkan:
• 15 Januari > Dato’ Kamaruddin Jaafar, Azan Ismail dan Siti Aishah Shaik Ismail (Tumpat);
• 16 Januari > Rafizi Ramli (Pasir Mas & Ketereh);
• 20 Januari > Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid dan Wan Ji Wan Husin (Tumpat).
Walhal pada 13 Januari, Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Md Nawi mengutus surat rasmi kepada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli supaya PKR tidak menerima jemputan ceramah bersama PAN di Kelantan kerana pendirian berterusan PAN untuk menjatuhkan PAS di Kelantan.

April 2016: PRN Sarawak menyaksikan persekutuan PH melibatkan DAP, PKR dan PAN turut sinikal dan mensasarkan PAS seolah-olah musuh mereka sebagaimana BN. PKR sedikitpun tidak menunjukkan diri mereka sebagai rakan tahaluf PAS.

Mei 2016: Pemimpin PKR mempertikai Usul RUU Persendirian Pindaan Akta 355 dengan skeptikal bahawa ia bermotif politik apabila mengaitkannya dengan kempen PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar serta Muktamar PAS. Lidah rasmi PKR, Suara Keadilan pula meletuskan persepsi apabila mengaitkannya sebagai usaha PAS melepaskan BN dari belenggu isu 1MDB. Perlekehan dan sinikal itu sekali gus meremehkan usaha PAS untuk memartabatkan perundangan berkaitan.

Jun 2016: PKR bukan sahaja memberi sokongan dan bantuan penuh kepada PAN dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang merupakan kerusi tradisi ditandingi PAS, malah memburuk-burukkan PAS dalam kempen. MB Selangor juga melontarkan nada amaran dan mengambil tindakan berbentuk ugutan kepada Exco PAS. Suara Keadilan pula memainkan sentimen secara batu api bernada ancaman terhadap hubungan dengan PAS. Memperlekehkan usaha memperjuangkan hudud dan merendah-rendahkan Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 14/5/2017

Friday, 12 May 2017

Pelajat UiTM Mengaku dikerah ke acara Umno Cara 'KOTOR'

 
Semalam merupakan ulang tahun Umno yang ke-71. Dalam ribuan hadirin yang menghadiri upacara penuh bersejarah itu, siapa sangka ada hati yang terluka.

Itulah yang dihadapi oleh sesetengah mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pada awalnya didakwa dimaklumkan mereka diwajibkan hadir ke “Program Sukarelawan Patriotisme Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Seawal jam 10 pagi sebanyak 110 buah bas dengan ke muatan 44 orang mahasiswa mereka bergerak ke Bukit Jalil secara berperingkat, namun setibanya di situ, tiada program seperti yang dimaklumkan sebaliknya ia adalah sambutan ulang tahun Umno yang ke-71.

Menurut mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, UiTM mewajibkan mahasiswa yang mengikuti kelas kokurikulum untuk menghadiri program itu dan sekiranya ingkar, mereka akan diambil tindakan.

“Pihak UiTM kata ini program sukarelawan tapi kami kena tipu. kami datang dari pagi lagi duduk bawah pokok, dah dua kali periksa darah dan sekarang duduk balik bawah pokok.

“Sekarang ni dah letih sangat, tak tahu nak buat apa-apa dah sekarang ni,” katanya kepada Malaysiakini.



Seorang anggota lembaga pengarah UiTM Datuk Irmohizam Ibrahim menyifatkan dakwaan itu sebagai “fitnah” yang boleh mencemarkan nama institusi itu.

Sementara Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa juga dilapor menafikan dakwaan itu, dengan berkata sambutan malam tadi "terbuka" kepada sesiapa yang berminat.

Ia bagaimanapun selari dengan dakwaan Pemuda PKR dan Pemuda DAP yang mendedahkan dakwaan rakaman skrin WhatsApp dan surat menyurat berkaitan.

Kesemua mahasiswa yang ditemui Malaysiakini semalam enggan nama penuh mereka disiarkan.

'Kami ada parti sendiri'

Mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Razak pula mempersoalkan mengapa kerajaan sebelum ini melaungkan mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik namun bertindak sebaliknya.

“Sudahlah macam program yang dia kata pada awalnya itu tak ada. Saya rasa program hari ni kurang sesuai, sebab kerajaan kata pelajar tak boleh terlibat dengan politik tapi ini dah lain dah ni,” katanya.

Bagi Ismail, UiTM tidak boleh memaksa pelajar yang sudah berusia 21 tahun ke atas ke program Umno memandangkan mereka sudah boleh mengundi.

“Kami dah berusia 21 tahun, tak bolehlah paksa macam ini. Kami pun ada parti yang kami pilih dan lebih-lebih lagi undi ini rahsia,” kesalnya.



Namun lain pula yang dihadapi oleh pelajar sebuah kolej apabila mereka pada awalnya hanya diberitahu untuk hadir ke program “Kadet Pispa” dalam program sukarelawan bersama menteri.

Menurut pelajar yang mahu dikenali sebagai Faiz, beliau dan rakan-rakannya tidak menyangka akan dikerah ke program ulang tahun Umno.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil hari ini, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai urus setia majlis ulang tahun Umno ke-71 tiba-tiba memberi baju parti yang berwarna merah untuk dipakai.

Malah lelaki tersebut turut mengingatkan semua pelajar supaya tidak mengambil gambar dengan memakai baju Umno serta memuat naiknya di laman sosial.

“Pada awalnya dia kata datang program lain, tapi rupanya program Umno. Kami dari pagi lagi ini, penat sangat dah dan tak tahu dah nak pergi mana, kalau tahu program macam ini kami tak datang,” katanya yang mendakwa dibekalkan wang sebanyak RM10 setiap seorang.

Pelajar tahfiz baca Yasin

Selain mahasiswa turut kelihatan juga pelajar tahfiz yang berusia dalam lingkungan 13 tahun yang turut diawasi oleh gurunya.

Menurut Ketua warden Sekolah Tahfiz Imtiyaz Ulul Albab Alor Gajah Melaka, Anuar Ismail kedatangan seramai 230 pelajarnya yang berusia 13,14 dan 16 tahun itu sekadar menghadiri undangan dari Rimbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.



Katanya, mereka dipanggil untuk membacakan Yasin sempena Nisfu Syaban dan menafikan terlibat dengan politik.

“Kita tak terlibat dengan politik, kita datang untuk baca yasin sebab Nisfu Syaban. Bagi saya kita tak boleh campur aduk politik, ini jemputan Datuk Seri Ahmad Zahid nak sambut Nisfu Syaban,” katanya yang menambah tidak memaklumkan kepada ibu bapa pelajar itu.

Mengikut tinjauan Malaysiakini, pelajar-pelajar ini hanya duduk berkeliaran sejak tengah hari tadi sebelum menunggu kedatangan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Pengunjung ke acara itu berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Umno berkaitan perkara ini.

Pelajar UiTM Disuruh Menyanyi Lagu 'Love Najib' pada Sambutan Ulang Tahun Umno



Sambutan ulang tahun ke-71 Umno dikatakan yang terbesar pernah diadakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mei, 2017.

SAMBUTAN ulang tahun Umno ke-71 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil hari ini turut dihadiri pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menerima arahan wajib hadir.

The Malaysian Insight difahamkan pelajar tersebut merupakan pelajar kokurikulum  tahun satu hingga tiga, serta turut melibatkan pelajar badan beruniform tahun satu.

Seorang pelajar UiTM Shah Alam yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata arahan untuk menghadiri acara ini datangnya daripada pengurusan tertinggi universiti.

"Kami dapat arahan ini masa (pada hari) Selasa dan Rabu yang kata kami wajib hadir sebagai sukarelawan," katanya semasa ditemui di stadium hari ini.


Pelajar itu mendakwa arahan tersebut di hantar menerusi aplikasi whatsapp sambil menunjukkan kiriman pesanan tersebut kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, pelajar tahun satu itu berkata setakat ini mereka tidak diberikan sebarang tugas.

"Tidak ada pulak, tidak ada susun kerusi ke apa, apa ke jadi kita cuma jalan- jalan di sini."

Tambahnya lagi, mereka juga diberi pengecualian kuliah selain dijanjikan sijil sukarelawan. Makan minum akan turut disediakan seperti dinyatakan dalam kiriman whatsapp tersebut.
Sementara itu sekumpulan pelajar UiTM yang ditemui The Malaysian Insight merungut kerana dipaksa hadir

"Kita cuma dapat arahan wajib datang, jadi kita datang, kata diberi makan minum kupon tapi kami tak dapat apa-apa pun.

"Dari pagi tadi kami tunggu dan duduk tak buat apa- apa, kami macam nak balik," kata mereka yang enggan memberikan nama.

Ada juga pelajar UiTM yang enggan memberi komen apabila ditanya dan memberi alasan tidak dibenarkan menjawab soalan media.

"Kita cuma pelajar kak, ini arahan daripada universiti kita tak boleh bercakap, " kata pelajar itu.

Selain itu, pelajar juga memberitahu The Malaysian Insight yang mereka terpaksa menunggu sehingga jam 11.30 malam dan tidak dibenarkan pulang kerana perlu menandatangani kehadiran.

"Kita nak balik tadi, tapi kawan kata tak boleh sebab ada ada tandatangan kehadiran, kalau kita balik takut dianggap ponteng," keluh kumpulan pelajar terbabit.

Difahamkan sebanyak 110 buah bas membawa pelajar UiTM untuk menghadiri sambutan ulang tahun Umno berada di Stadium Bukit Jalil sejak jam 10 pagi.

Sambutan ulang tahun 71 tahun Umno ini dikatakan acara terbesar pernah dianjurkan setakat ini. Antara acara yang dirancang ialah cabutan bertuah RM1 juta kepada ahli Umno. – 11 Mei, 2017.

Ahli-ahli Umno jerit 'boo' dan 'kita ditipu' di Stadium Bukit Jalil semalam

 

PUNCA jeritan 'boo' dan 'kita ditipu' berulang kali yang bergema di Stadium Bukit Jalil semalam ketika berlangsungnya Perhimpunan 71 Tahun Umno didedahkan oleh salah seorang peserta yang hadir.



Dalam salah satu catatan di Facebook, Zaki Abdul Sani yang juga merupakan salah seorang penyokong tegar Umno yang hadir mendakwa, mereka merasa tertipu dengan cabutan bertuah yang dijalankan.

Dakwanya, tiada sebarang cabutan bertuah dijalankan semalam, sebaliknya nama pemenang utama sebuah kereta Perdana tiba-tiba diumumkan.

Selain itu pengerusi majlis hanya memberitahu bahawa pemenang-pemenang lain akan dihubungi kemudian.

Inilah punca yang menimbulkan kemarahan di kalangan ahli-ahli Umno yang hadir sehingga mereka menunjukkan protes dengan jeritan 'boo' dan 'kita ditipu' sebelum bertindak keluar dari stadium secara beramai-ramai.



"Tanpa mereka sedari, selepas majlis memotong kek oleh PM, semua nama pemenang telah dipaparkan di skrin Utama (Stadium) Bukit Jalil, tanpa dilakukan pengumuman MC majlis," tulisnya.

Zaki turut mempersoalkan adakah Umno tidak faham erti cabutan bertuah, ataupun cabutan bertuah tersebut hanyalah satu gimik sahaja.

Beliau turut menyebut seseorang yang bernama Dato Rauf yang didakwa telah mencemarkan nama baik perdana menteri.

"Apa-apa pun abe (abang) mewakili 100 ribu yang merasa telah ditipu mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada dato Rauf yang telah mencemarkan nama baik Presiden
Umno, Dato Seri Haji Najib Razak," sindirnya lagi dalam kiriman itu.

"Abe rasa isu ini akan 'back fire' kepada semangat ahli-ahli Umno yang telah hadir ke Bukit Jalil," tambahnya.

Program Cabutan bertuah dilaporkan sebagai salah satu tarikan kepada ahli-ahli Umno supaya hadir ke Perhimpunan 71 Tahun Umno yang diadakan di Stadium Bukit Jalil semalam.

Difahamkan jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan berjumlah melebihi RM1 juta dengan hadiah utama sebuah kereta Proton Perdana.

Sumber — Zaki Abdul Sani

Thursday, 11 May 2017

Stesen minyak bakal lingkup?


PENURUNAN harga minyak dalam tempoh tiga minggu terakhir ini menyebabkan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian sehingga ada yang mungkin terpaksa mengambil keputusan menamatkan perniagaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz ketika menjelaskan kepada China Press, pengusaha stesen minyak biasanya menjual minyak petrol dan diesel mengikut kadar harga pembelian.

"Namun masalah yang berlaku kepada pengusaha stesen minyak pada hari ini ialah stok lama yang dibeli mereka dengan harga lebih tinggi perlu dijual harga murah apabila harga diturunkan.

"Adalah mustahil bagi sesebuah stesen minyak dapat menghabiskan bekalan stok lama dalam tempoh beberapa hari. Secara purata, RON95 memerlukan empat hingga lima hari untuk dijual sehingga habis, manakala RON97 memerlukan masa lebih daripada seminggu," katanya.


Menurut Khairul Annuar, sekiranya harga minyak dan diesel menurun secara berterusan, ini bermakna pengusaha stesen minyak terpaksa menanggung perbezaan harga antara masa pembelian dan penjualan kepada pengguna.

Dalam pada itu, seorang pengusaha stesen minyak memberitahu, apabila harga minyak terus menurun dan ditambah pula ketidakstabilan harga minyak dunia, ia akan menyaksikan lebih banyak stesen minyak sukar meneruskan operasi perniagaan masing-masing.

"Bagi jualan minyak, kadar keuntungan yang diperoleh hanyalah lebih kurang 10 sen untuk setiap liter manakala diesel pula ialah enam sen untuk setiap liter. Sama ada harga naik atau jatuh, kadar keuntungan ini tetap kekal sampai bila-bila.

"Sekiranya harga minyak jatuh, selain terpaksa tanggung kos operasi, semua pengusaha stesen minyak juga tertekan dengan kerugian yang dialami akibat perbezaan harga ketika pembelian dengan penjualan kepada pengguna," katanya.

Mengenai promosi memberi diskaun kepada pengguna, beliau berkata, semua pengusaha stesen minyak wajib membuat permohonan awal kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kelulusan.

"Proses mendapatkan kelulusan mengadakan promosi diskaun daripada kementerian tentunya memakan masa. Harga minyak berbeza-beza setiap minggu, macam mana nak buat promosi bila kerajaan lambat meluluskannya?," soalnya.

'Ulang tahun Umno yang ke-71 paling best, dapat macam-macam'



Pengunjung yang hadir ke majlis sambutan ulang tahun Umno yang ke-71 di Bukit Jalil berasa seronok apabila diberikan pelbagai sumbangan seperti roti, air kotak, pakaian dan beg malam tadi.

Mereka kelihatan tidak pulang dengan tangan kosong apabila dilihat setiap seorang membawa pulang sekotak roti dengan isian 40 paket serta air kotak yang diberikan secara percuma.

Rohana Abdul Razak yang datang dari Bandar Hilir Melaka dengan menaiki bas, melahirkan rasa gembiranya dengan sumbangan yang diberikan itu.

“Umno memang selalu bagi sumbangan macam ni, tapi yang ni paling best lah sebab dapat banyak-banyak. Ni anak-anak kena tolong lah angkat naik bas.

“Saya dah siapkan ambil untuk jiran, semua saya dah tulis nama ni” katanya kepada Malaysiakini.

Rohana yang menghadiri bersama tiga anaknya turut berkata beliau mendapat wang saku RM30 serta baju-T tulisan Ulang tahun Umno yang ke-71.

Manakala Rohani Yakob yang hadir bersama keluarganya turut melahirkan kesyukuran apabila mendapat pelbagai sumbangan malam tadi.

“Semua dapat roti, air kotak, baju, beg dan ni semua nanti akan bawa naik bas ke Melaka,” katanya sambil memegang kotak roti.

Mengikut tinjauan Malaysiakini, pengunjung ke program itu beratur di bahagian sumbangan untuk mengambil roti dan air kotak.

Turut diadakan ialah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.