Monday 24 April 2017

Pulau Pinang Naikkan Caj Bil Air Untuk Mengajar Rakyat Supaya Jangan Membazir


Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd akan menghantar permohonan menaikkan SPA kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dalam tempoh terdekat dan surcaj baru tersebut dijangka dikenakan penghujung tahun ini.

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menaikkan surcaj pemuliharaan air (SPA) bagi penggunaan domestik sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan penggunaan air secara bijak dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, SPA akan dinaikkan daripada 48 sen kepada RM1 setiap 1,000 liter air untuk penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan kadar pembaziran air di Pulau Pinang.

Katanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan menghantar surat permohonan menaikkan SPA itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam tempoh terdekat dan surcaj baru tersebut dijangka dikenakan penghujung tahun ini.
“Kerajaan negeri menerima banyak kritikan berkenaan tarif air yang sangat rendah sehingga menyebabkan pembaziran air yang teruk. Banyak pihak meminta kami menaikkan tarif air dan saya akui, setiap kritikan itu ada logiknya.

“Selama 9 tahun kerajaan negeri bertahan dengan tarif air paling rendah dan ia agak keberatan untuk menaikkan tarif air namun ia tidak boleh dibiarkan.

“Oleh itu, kita mengambil keputusan agar menaikkan SPA kepada RM1 untuk setiap 1,000 liter air yang digunakan melebihi 35,000 liter air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Air Sedunia Pulau Pinang 2017, di sini hari ini.

Kata beliau, kenaikan itu juga merupakan langkah terakhir kerajaan negeri untuk mengelakkan pembaziran air dalam kalangan pengguna domestik di Pulau Pinang.

“Jika usaha ini (menaikkan SPA) tidak berjaya, kami tiada pilihan lain melainkan menaikkan tarif air. Permohonan kenaikkan surcaj ini mungkin akan mengambil masa 3 hingga 6 bulan untuk diluluskan. Mungkin ia akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.

“Kerajaan negeri sebolehnya tidak mahu menaikkan tarif air kerana ia akan membebankan rakyat namun kita tidak ada cara lain. Saya harap dengan kenaikkan SPA ini, ia akan memberi kesedaran kepada rakyat,” katanya.


EmoticonEmoticon