Thursday 12 January 2017

Hina Kematian Adenan: Kakitangan Awam Kem. Luar Dikenakan Tindakan Tatatertib



KUALA LUMPUR – Seorang Pengawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Luar dikenakan tindakan tatatertib setelah mengeluarkan kenyataan berbaur hinaan terhadap kematian Ketua Menteri Sarawak, allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Sumber dalaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dihubungi SuaraTV sebentar tadi berkata, Nazrul Imran Mohd Nor yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Filipina telah digantung tugas dan diarahkan pulang.

Advertisement

“PTD ini telah dikenakan tindakan tatatertib hari ini termasuk digantung tugas di bawah peraturan PU(A)395/1993 berkuatkuasa serta merta.

“Wisma Putra juga telah mengeluarkan satu surat arahan untuk memanggil beliau pulang,” ujar sumber itu yang meminta agar namanya dirahsiakan.

Selain mengeluarkan kenyataan menghina allahyarham Adenan, Nazrul melalui ruangan komen sebelum ini turut dilihat seperti memperlekeh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu pihak polis memaklumkan seorang suspek telah ditahan manakala 13 laporan polis dibuat terhadap empat pemilik akuan Facebook kerana memuatnaik komen berupa penghinaan dan fitnah terhadap kematian Adenan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato’ Dev Kumar, polis telah menjalankan siasatan terhadap empat pemilik akuan Facebook, berikutan 13 laporan polis yang di buat di lapan daerah.

Beliau turut mengesahkan penahanan seorang suspek lelaki berusia 54 tahun di Landeh dekat sini tengah malam tadi.

“Salah seorang pemegang akaun facebook, seorang lelaki berusia 54 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuching di rumahnya, manakala telefon bimbitnya telah dirampas untuk tujuan penyiasatan,” katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.

Pihak polis turut memberi amaran kepada pengguna internet agar menjaga tingkah laku semasa tempoh berkabung ini.

“Kami sedang memantau laman media sosial dan tidak akan teragak-agak untuk menangkap sesiapa sahaja memuatnaik komen fitnah atau bersifat hasutan terhadap Allahyarham Ketua Menteri,” tegasnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia sekitar jam 1.20 tengah hari semalam di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Kota Samarahan.

Allahyarham yang berusia 72 tahun merupakan ketua menteri kelima Sarawak selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Februari 2014.


EmoticonEmoticon