Sunday 8 January 2017

Banjir punca bekalan kurang, harga ikan meningkat – Hamzah


TUMPAT – Bekalan ikan di pasaran berkurangan ketika ini berikutan sebahagian nelayan, terutama di Kelantan dan Terengganu, terjejas banjir, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata sekalipun harga ikan meningkat sedikit ekoran kekurangan bekalan, harganya masih terkawal.

“Saya telah arahkan penguat kuasa membuat pemantauan agar harga ikan di pasaran tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Pengguna (Bantuan Mangsa Banjir) 2017 di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tumpat 2, di sini hari ini.
Advertisement
Beliau mengulas mengenai harga ikan yang dilapor melambung di pasaran ketika ini susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak awal bulan ini.

Ditanya mengenai dakwaan harga ikan akan semakin meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini, Hamzah berkata kementeriannya akan melancarkan Skim Kawalan Harga Sempena Musim Perayaan pada 18 Jan ini.

“Kita akan letakkan harga siling bagi ikan. Walaupun barangan itu berkurangan ketika ini peniaga tetap perlu mengikut harga yang telah ditetapkan kementerian.

“Kita akan ambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan di bawah peraturan sedia ada,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan berupa minyak masak dan barangan kering kepada 584 mangsa banjir daripada 154 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir berkenaan.

— BERNAMA


EmoticonEmoticon