Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak akan melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan ketika menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan Sabtu dan Ahad ini di ibu negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata perhimpunan tersebut telah pun diharamkan oleh pihak polis dan menjadi satu kesalahan jika ada pekerja yang didapati menyertainya secara sukarela.
“Berdasarkan undang-undang yang ditetapkan, Perkeso hanya melindungi pekerja yang terbabit dalam kemalangan ketika bekerja selain ditimpa kecelakaan dalam perjalanan pergi serta pulang ke tempat kerja masing-masing. Melainkan jika mereka ditugaskan atau terperangkap dalam perhimpunan, itu kita akan lihat menerusi akta Perkeso.
“Jika mereka sengaja menyertai perhimpunan haram itu, Perkeso tidak akan melindunginya walaupun berada dalam waktu bekerja,” katanya.
Ismail dalam pada itu turut menegaskan pihak kementerian juga akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan kementerian tersebut yang didapati menyertai perhimpunan haram berkenaan.
“Saya nasihatkan kepada semua jangan sertai perhimpunan itu…banyak lagi perkara berfaedah yang boleh dilakukan,” katanya.
EmoticonEmoticon