Insiden dekat sebuah surau di Johor Bahru, Jumaat lalu memberi pengajaran sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tahu batas-batas sensitiviti sesama kita yang tidak tertera dalam mana-mana undang-undang.
KOMEN
Insiden di mana seorang lelaki dipukul gara-gara membunyikan hon kenderaan ketika solat Jumaat sedang berlangsung di sebuah surau di Johor Bahru telah membedah 1 ruang untuk kita melihat kemarahan yang terbenam di dalam sanubari rakyat Malaysia.
Ada 2 perkara di sebalik insiden tersebut yang tidak sepatutnya berlaku.
Pertama, ketidaksedaran bahawa sembahyang Jumaat sedang diadakan lalu dibunyikan hon kereta.
Kedua, kerana marah dan tersinggung lalu diterajang pemandu yang membuat bunyi hon ketika jemaah sedang bersembahyang.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tahu batas-batas sensitiviti sesama kita yang tidak tertera dalam mana-mana undang-undang.
Mari kita mengambil contoh kawasan pasar malam. Ada kawasan yang sudah dikhaskan sebagai kawasan pasar malam pada waktu dan hari tertentu.
Para peniaga pasar malam akan mula memasang gerai mereka bermula pada waktu yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan.
Sekiranya ketika itu masih ada kenderaan yang tidak mengosongkan tempat untuk para peniaga pasar malam berniaga, pemandu kenderaan tidak perlu terkejut mahupun berasa marah apabila mendapati kenderaan mereka telah disekat kiri, kanan, depan dan belakang oleh gerai-gerai yang dipasang oleh para peniaga ketika mereka ingin meninggalkan kawasan tersebut.
Dalam keadaan sedemikian, pemandu yang terlibat tiada pilihan. Dia terpaksa mengeluarkan kenderaan dalam keadaan yang sangat sempit, dan sukar tanpa melanggar mana-mana gerai.
Meskipun terasa marah, pemandu ini tidak akan membuat bunyi hon kerana dia tahu akan undang-undang senyap di kawasan sebegini. Bunyi hon keretanya hanya akan menimbulkan kemarahan yang tidak perlu dan meletakkan diri sendiri dalam bahaya.
Selain itu, para pemandu juga perlu menerima hakikat kesesakan akan berlaku jika mereka memilih jalan yang sedang digunakan untuk pasar malam.
Bukan itu sahaja. Pemandu juga tidak perlu berasa marah apabila melalui 1 lorong kawasan perumahan yang disekat untuk diadakan kenduri kahwin mahupun kematian. Pemandu yang terambil lorong yang tersekat itu tidak perlu membuat hon marah-marah.
Ia juga tidak perlu mempertikaikan apakah hak tuan rumah yang 1 daripada berpuluh rumah di lorong yang sama untuk menutup jalan semata-mata untuk majlis kenduri di rumahnya.
Selain kawasan-kawasan pasar malam, lorong kawasan perumahan, pemandu juga harus memahami hakikat kesesakan dan mematuhi undang-undang senyap di kawasan-kawasan yang diadakan himpunan politik, upacara-upacara keagamaan di tempat-tempat ibadat, pengebumian dan juga sekitar hospital.
Sudah tentu ia meliputi sembahyang Jumaat, di mana semua rakyat Malaysia tahu bahawa kawasan berdekatan masjid akan menjadi sesak dan ada laluan yang ditutup untuk memudahkan orang Islam menunaikan tanggungjawab mereka.
Mereka yang reti dan menghormati budaya Malaysia sudah tentunya tidak akan melakukan bunyi hon apabila berdepan dengan contoh-contoh di atas yang merentasi bangsa dan kaum.
Sebagai rakyat Malaysia, budaya ini difahami dan wajib dihormati. Dan kalau ada pemandu yang hon marah-marah juga, bukankah itu juga kerja mencari nahas?
Apabila undang-undang senyap ini dilanggar, sudah pasti ada orang yang akan terlanggar undang-undang tak senyap.
Jadilah rakyat yang sensitif terhadap budaya sesama kaum dan bangsa sendiri yang sudah diterima sebegitu lama. Terimalah ia sebagai 1 keindahan dan toleransi.
Insiden Jumaat lalu memberikan 1 amaran kepada kita semua – “kalau semua nak dipertikai, nahaslah negara!”
Timmy Say
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.
EmoticonEmoticon