Friday, 21 April 2017

Akibat Beli dan Jual Kenderaan Sambung Bayar, Saya Hadapi Ini


Pembiayaan kenderaan yang diberikan oleh pihak institusi kewangan kepada anda adalah untuk kemudahan anda memiliki kenderaan.

Selagi kenderan berkenaan masih di dalam pembiayaan, anda tidak berhak memindah atau memberi kenderaan anda kepada pihak lain tanpa persetujuan pihak bank. Pertukaran hak milik kenderaan hanya boleh dibuat selepas anda menjelaskan keseluruhan pembiayaan anda kepada institusi kewangan.



Sambung bayar merujuk kepada kenderaan milik kita dijual kepada pihak ketiga tanpa melibatkan pertukaran hakmilik dan juga penjelasan pinjaman sepenuhnya.

Kenderaan diberikan kepada pihak ketiga dengan syarat bayaran bulanan hendaklah dijelaskan oleh pihak ketiga kepada pihak institusi kewangan secara bulanan bagi pihak pemilik sah.

Proses sambung bayar ini selalunya disertakan dengan perjanjian tambahan antara pemilik yang sah dan pemilik yang baru dan sedikit deposit diberikan kepada pihak pemilik yang sah.

Bahana sambung bayar berlaku apabila:

1. Pemilik baru tidak menjelaskan bayaran bulanan kepada institusi kewangan.
2. Terdapat saman atas kenderaan yang dilakukan oleh pemilik baru.
3. Kenderaan terlibat dengan kes jenayah.
4. Pemilik asal meninggal.
5. Pemilik asal menuntut semula kenderaan.

Apabila perkara di item 1 berlaku, maka pemilik asal akan diminta oleh pihak bank menjelaskan bayaran tertunggak dan nama akan disenarai hitamkan oleh pihak institusi kewangan.

Cukup tempoh 3 bulan tertunggak, pihak institusi kewangan akan mengeluarkan surat kepada team REPO untuk mengambil semula kenderaan dari pemilik asal.

Bila ini berlaku pemilik asal perlu menanggung kos-kos yang terlibat. Pemilik asal hanya boleh mengambil kenderaan semula selepas pembayaran tunggakan di buat.

Kegagalan membayar tunggakan dalam tempoh yang ditetapkan akan membolehkan kenderaan berkenaan dilelong. Selepas lelongan sebarang kurangan dari hasil lelongan dan baki hutang perlu ditanggung oleh pemilik asal.

Sekiranya kenderaan gagal dikesan, pihak institusi kewangan akan mengeluarkan Notis Saman Tuntutan kepada pemilik asal bagi menjelaskan semua baki pinjaman. Kegagalan menjelaskan baki pinjaman akan membolehkan pihak institusi kewangan mendapatkan Notis Kebankrapan ke atas anda.

Walaupun terdapat perjanjian sambung bayar dibuat antara anda dan pihak pembeli baru, ianya tidak sah di sisi pihak institusi kewangan kerana pinjaman dan pemilikan kenderaan masih nama pemilik asal. Saman dan segala tindakan yang diambil adalah ke atas pemilik asal sahaja.

Kesimpulannya, kenderaan sambung bayar hanya akan memberikan kesusahan kepada pemilik asal kenderaan.

Manakala pemilik baru bukanlah pemilik yang sah kenderaan berkenaan dan tidak boleh dan tidak mempunyai hak untuk menuntut kenderaan berkenaan sekiranya pemilik asal mengambil kenderaan mereka semula.



Di atas ini adalah gambar proses negosiasi saya bersama pihak bank akibat kereta dijual dari sambung bayar.

Kereta ghaib, hutang kena bayar, rundingan dengan pihak bank dilakukan selepas kenderaan milik saya dan pembeli baru gagal dikesan.

Laporan polis dibuat untuk melindungi saya sebagai pemilik asal sekiranya kenderaan berkenaan digunakan untuk kes jenayah.

Pihak polis menjelaskan tiada tindakan boleh diambil ke atas pemilik baru kerana kita sebagai pemilik asal secara suci hati dan merelakan kenderaan kita diserahkan kepada pemilik baru.

Maka kitalah yang perlu membayar semua kos-kos yang terlibat.


EmoticonEmoticon