Thursday 16 March 2017

Model sambilan mengaku tidak bersalah ambil dadah Lesen Tidak Digantung


Ng Pei Ven mengaku tidak bersalah ambil dadah jenis Amphetamine. - Foto Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM - Seorang model sambilan yang sebelum ini dilaporkan memandu melawan arus hingga menyebabkan kematian, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis Amphetamine di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, pagi tadi.


Tertuduh, Ng Pei Ven, 19, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap selepas didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan, Pei Ven didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, kira-kira jam 5 petang, Selasa lalu.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Mahkamah Asisten Superitendan Md Azman Kadir menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memohon perintah lapor diri di Jabatan Narkotik seminggu sekali.

Selain itu, Md Azman turut memohon kepada mahkamah agar lesen memandu tertuduh digantung sementara sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.

"Ia berikutan kes ini sudah menjadi perhatian umum dan mendapat liputan meluas, sekali gus menyebabkan orang ramai ingin tahu perkembangan status tuduhan.

"Malah, kejadian itu berlaku kerana tertuduh memandu di lorong bertentangan hingga menyebabkan kematian seorang lelaki, serta lima kenderaan lain turut terbabit dalam kejadian ini," katanya.

Jamaliah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua orang penjamin dan membenarkan permohonan supaya tertuduh melapor diri seminggu sekali di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, Jamaliah mengetepikan permohonan menggantung lesen memandu tertuduh susulan pendakwaan hari ini dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain menetapkan 12 Mei depan sebagai sebutan semula.


EmoticonEmoticon