Monday, 13 March 2017

Ceramah PAS semakin sarat dengan cercaan, kata Prof Agus

PAS perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan



PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata PAS perlu mengubah pendekatan politik mereka sekarang ini kerana ceramah anjuran mereka nampaknya sarat dengan cercaan.
“Dengan pendekatan politik PAS sekarang, saya tengok politik PAS seperti hilang arah,” kata Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff, pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“PAS perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan,” katanya di Facebook hari ini.

“Perhatikan keinginan anak muda dan perantau di luar Kelantan yang akan balik mengundi nanti. Mereka antara penentu besar kerajaan yang akan memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.”

Pertelagahan dalam Pakatan Rakyat akhirnya membawa kepada terkuburnya pakatan pembangkang itu, bahkan terbentuk parti serpihan PAS, iaitu Amanah.

Pada 20 Februari lalu, PAS mengadakan ceramah “Husam Lari Dari Debat Baiah” di Kota Bharu selepas mendakwa penasihat Amanah Kelantan itu “penakut” apabila gagal memberi tarikh debat mengenai isu baiah.

Suasana bertukar riuh apabila Husam tiba-tiba muncul di ceramah yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV. Kehadirannya membawa kepada kata-kata tidak sopan dilemparkan beberapa hadirin.
Agus berkata pendekatan PAS berbeza dengan pendekatan Umno, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang lebih lembut, memujuk dan kemas.

“Politik Kelantan sering berubah. Jika pun setiap parti ada penyokong tegar masing-masing, sikap pengundi Kelantan tidak statik,” katanya.

“Mereka akan mengundi menukar kerajaan apabila kerajaan sedia ada tidak lagi dapat menunjukkan imej perpaduan yang baik,” tambahnya.

Agus juga membangkitkan persoalan parti mana yang akan memerintah Kelantan jika PAS hilang kuasanya di negeri itu.

“Apakah yang menggantikan itu kerajaan Umno-Barisan Nasional atau Amanah-Pakatan Harapan,” katanya.


EmoticonEmoticon