PETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Yunos, hari ini mengaku ditawarkan wang RM1 juta oleh kumpulan judi haram dengan tujuan menghentikannya daripada terus menimbulkan kekacauan terhadap kegiatan mereka.
Selain itu, beliau juga mendakwa ditawarkan duit bulanan sebanyak RM200,000 yang disifatkannya sebagai satu cara bagi kumpulan berkenaan melindungi perniagaan mereka daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
“Saya menerima banyak panggilan daripada tauke mesih judi untuk berjumpa dengan saya. Mereka menawarkan wang ringgit dan bayaran setiap bulan dengan jumlah yang sangat memeranjatkan.
“Dan baru sebentar tadi saya tersempak atau diekori dan diberikan sebuah beg yang dikatakan berisi RM1 juta. Saya mencampakkan kembali beg tersebut kepada tauke judi itu,” kata beliau ketika dihubungi FMT.
Pada 29 Disember tahun lalu, Jamal tampil lagi dengan jubah dan kopiah putih, menyerbu 2 pusat perjudian haram di Ampang Jaya.
Beliau tampil bersama 100 pemuda bermotor pada 3.45 petang tadi, dan replika gambar menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta exco kerajaan tempatan, Ean Yong Hian Wah untuk “bersama” meninjau operasi hari itu.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa premis itu antara 400 pusat perjudian dan 600 rumah urut yang beroperasi di Ampang.
Namun, menurut Jamal selepas tindakan menyerbu 2 premis judi di Ampang, beliau mendapati premis itu sebenarnya bukan pusat hiburan keluarga mengikut lesen dikeluarkan Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ), tetapi pusat slot judi.
Jamal turut mempersoalkan tindakan MPAJ yang membiarkan 2 premis yang diserbu sebelum ini di Ampang di buka seperti biasa.
“Lepas 24 jam kita buat serbuan, mereka beroperasi kembali dan ini menandakan mereka kebal dan ada sesuatu tidak kena dengan agensi penguat kuasa.
“Mereka yang keluarkan lesen kepada premis itu, mereka meminta saya buat laporan dan buktikan. Jadi saya nak lapor apa lagi. Sudah lapor Bukit Aman, MPAJ dan wakilnya.
“Jadi saya alu-alukan pengerusi penguat kuasa MPAJ, ahli majlis dilantik daripada pakatan kerajaan negeri (Selangor), saya boleh bawa mereka pusing satu Ampang ini. Kita pusing satu persatu, kalau mereka sibuk sangat tak tahu jalan, saya boleh tunjuk satu persatu,” katanya.
Jamal berkata selain sogokan duit, beliau juga dihubungi seorang perempuan Cina yang ingin berjumpanya. Katanya, tindakan itu adalah satu kaedah “menguruskan” penguat kuasa.
“Insha Allah saya bukan orang yang mereka sangkakan. Kegiatan kedai mesin judi di Selangor dan seluruh negara perlu dihapuskan. Saya akan buat laporan polis mengenai rasuah ini,” katanya.
“Saya harap perjuangan ini bukan saya seorang, dan saya menyeru semua masyarakat membanteras pusat judi. Kalau saya sahaja melakukan perkara sedemikian, perkara ini tidak akan dapat dicegah.
EmoticonEmoticon