KUALA LUMPUR – Sentimen negatif dari dalam negara seperti usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pelbagai lagi fitnah lain yang disebarkan pembangkang adalah antara faktor kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) ujar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Beliau berkata sentimen negatif tersebut menyebabkan timbul rasa ketidakpastian kepada pelabur asing untuk terus membuat pelaburan di dalam negara.
“Bank negara juga memberikan beberapa faktor kejatuhan nilai ringgit, diantaranya puncanya adalah sentimen negatif,
“Sentimen negatif bukan sahaja isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi juga isu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang disensasikan pembangkang.” Kata Johari semasa menjelaskan faktor keempat kejatuhan nilai ringgit di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata siasatan 1MDB sedang berjalan dan masih tidak lengkap, namun segala spekulasi negatif telah disebarkan pembangkang sehingga menimbulkan rasa bimbang pelabur asing tentang keharmonian dan masa depan negara
Katanya lagi, penyusutan kadar pertukaran nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding US dollar dalam tempoh September 2014 hingga 16 oktober 2015 ialah sebanyak 21.6%
“Penyusutan ringgit ini terutamanya didorong oleh aliran keluar pelabur. Di samping itu, matawang serantau yang lain juga turut mengalami penyusutan nilai iaitu diantara 5.9% hingga 19.5% berbanding AS dollar dalam tempoh yang sama.” Kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.
Sebelum itu, Johari menerangkan tentang faktor pertama kejatuhan nilai ringgit, menurut beliau jangkaan pelabur-pelabur tentang kemungkinan kadar faedah di amerika dinaikkan telah menarik minat mereka untuk menyimpan aset dalam unit AS dollar.
“Jadi tumpuan pelabur asing ke Amerika Syarikat telah menyebabkan aliran keluar pelabur dalam negara.” Ujarnya.
Menerangkan faktor kedua kejatuhan ringgit, Johari berkata kebimbangan pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi serantau yang dicetuskan oleh prospek pertumbuhan lebih perlahan negara Cina.
“Ketidaktentuan dan kebimbangan terhadap ekonomi Cina yang merudum turut menjejaskan ekonomi serantau dan Malaysia. Penurunan matawang Yuan pada ogos turut menjejaskan ringgit.
Manakala faktor ketiga kejatuhan ringgit, Johari berkata kejatuhan harga minyak menyebabkan pendapatan negara telah berkurang daripada RM 64 bilion pada 2014 jatuh kepada RM 43 bilion pada 2015 dan dijangka terus jatuh sebanyak RM31 bilion pada 2016 nanti.
“Malaysia menerima kesan daripada kejatuhan harga minyak dunia, kerana negara turut mengesksport minyak.” Ujarnya.
Johari menegaskan bahawa kejatuhan nilai ringgit bukan disebabkan isu 1MDB, kerana isu penyusutan matawang adalah isu global yang melanda sebahagian besar negara di seluruh dunia.
“Russia, New Zealand, Australia, Brazil dan banyak lagi negara lain turut mengalami kejatuhan matawang, namun mereka tiada 1MDB.” katanya.
EmoticonEmoticon