Sunday 8 January 2017

Najib Razak Dalam Sejarah, Dua Jam Setengan Di Soal SPRM

NAJIB DALAM CATATAN SEJARAH


Sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media, Perdana Menteri Najib Razak telah diambil keterangannnya selama dua jam setengah oleh SPRM semalam berhubung wang RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd yang didakwa masuk ke akaun peribadinya.

Dalam pendedahan WSJ sebelum ini, daripada sejumlah kira-kira RM2,600 juta yang didakwa mengalir masuk ke akaun peribadi Najib, RM42 juta daripadanya ialah daripada SRC International yang ketika itu merupakan anak syarikat 1MDB tetapi kini telah dipindahkan di bawah Kementerian Kewangan.

Hasil siasatan mengenai kedudukan sebenar wang daripada SRC International itu amat dinanti-nantikan oleh semua orang memandangkan sejumlah besar daripada keseluruhan RM2,600 juta itu yang dikatakan diterima daripada Timur Tengah sudah pun ditakrifkan oleh SPRM sebagai derma dan "halal" dari segi undang-undang.

Hanya isu berkaitan RM42 juta ini saja lagi yang tersangkut dan menyebabkan Najib terus dalam siasatan SPRM.

Apakah RM42 juta ini akan dikategorikan sebagai derma juga akhirnya atau ia akan berpanjangan hingga ke mahkamah?

Mungkinkah pula wang itu akan dianggap sebagai sumbangan sosial korporat oleh SRC International?

Tetapi, bolehkah sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang?

Dalam hal ini, tidak dinafikan SPRM sedang berhadapan tugas berat dalam tugasnya, apatah lagi beberapa tangkapan turut sudah dibuat sebelum ini berkaitan perkara itu.

Jika kita masih ingat, antara yang pernah ditahan reman oleh SPRM dalam siasatannya ialah Dr Shamsul Anwar Sulaiman, CEO Ihsan Perdana, sebuah syarikat yang bertanggungjawab terhadap khidmat sosial 1MDB serta seorang despatch.

Selain itu, satu kertas pertuduhan yang masih diperdebatkan kesahihannya berkaitan pendakwaan perkara yang sama juga turut didedahkan oleh Sarawak Report selepas berlakunya penyingkiran Gani Patail sebagai Peguam Negara.

Namun selepas pertukaran Peguam Negara dan beberapa rombakan yang dilakukan kerajaan, semunya bagaikan terhenti begitu saja, termasuk pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini turut tidak kedengaran lagi khabar beritanya.

Baru-baru ini, SPRM mendedahkan bahawa mereka  juga sudah menemui dan mengambil keterangan bekas Pengarah SRC International, Suboh Mohd Yasin serta Jho Low di luar negara.

Dengan semua perkembangan ini, rakyat hakikatnya tidak sabar lagi menanti hasil siasatan SPRM tentang perkara ini serta justifikasi mengenainya.

Tidak dinafikan, di sebalik kenyataan SPRM bahawa keterangan daripada Najib sudah diambil selama dua jam setengah, masih kedengaran mereka yang pesimis dan ragu-ragu lagi.

Bagaimanapun, sesuatu yang harus disedari ialah inilah pertama kami seorang Perdana Menteri negara kita disiasat dan diambil keterangannya oleh sebuah agensi penguatkuasaan berkaitan pertuduhan mengenai dirinya sendiri.

Selain SPRM yang menjalankan siasatan dan mengambil keterangan, peranan Peguam Negara yang menentukan pendakwaan turut menjadi sorotan ramai.

Jika didakwa, ia tentunya merupakan sejarah baru bagi negara kita. Kiranya tiada apa-apa yang berlaku pula, ia turut merupakan sejarah baru kerana sekurang-kurangnya seorang Perdana Menteri ada failnya sendiri di SPRM.

Tidak pernah sebelum ini, mana-mana Perdana Menteri mempunyai rekod dan sejarah seperti itu. Ini adalah sejarah yang hanya dicatat oleh Najib saja. Sama-sama kita menunggu kebenarannya.


EmoticonEmoticon