Friday, 6 January 2017

Mereka Yang Belajar Tak Tinggi Paling Terkesan Kepada Peningkatan Kos Sara Hidup

Kerajaan tawar banyak bantuan pendidikan, kata Najib

Perdana menteri berkata bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup, rakyat perlu mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.


najib-razakKUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menawarkan pelbagai bantuan kewangan untuk rakyat terutama golongan muda melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Perdana menteri berkata bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup, rakyat perlu mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

“Memang di Malaysia rakyatnya terpelajar, namun masih ramai lagi yang tidak melanjutkan pengajian di peringkat menara gading,” katanya dalam rakaman ucapan di laman blog beliau, hari ini.

Najib berkata golongan yang tidak melanjutkan pengajian di menara gading adalah mereka yang paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup kerana tidak mampu mendapat kerja berpendapatan lebih tinggi.

“Kebanyakan mereka turut mengalami masalah sumber kewangan dan juga kurang kesedaran tentang kepentingan melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi,” katanya.

Najib berkata secara amnya bagi institusi pendidikan tinggi, kerajaan menanggung 90% kos pendidikan dan pelajar hanya perlu membayar 10% saja.

“Bagi golongan berpendapatan rendah, kerajaan menyediakan banyak pembiayaan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi antaranya Bantuan Kewangan Asasi, Tabung Pinjaman Pelajaran, Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti dan Bantuan Kewangan OKU.

“Di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi juga, kerajaan menyediakan pembiayaan untuk semua golongan tidak kira tahap pendapatan seperti MyBrainSc, Sub-Kepakaran/Post-Doktoral dan banyak lagi,” katanya.

Najib berkata bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman pula, kerajaan sebenarnya menjelajah ke seluruh negara bagi mencari mereka untuk dimasukkan ke universiti melalui program seperti “Mengubah Destini Anak Bangsa”.

“Oleh itu, dapatkanlah bantuan ini kerana hanya dengan meningkatkan tahap pendidikan, kita dapat meningkatkan pendapatan serta taraf hidup warga kita,” katanya.


EmoticonEmoticon