Showing posts with label insurance. Show all posts
Showing posts with label insurance. Show all posts

Wednesday, 15 March 2017

JKM, polis sahkan remaja pandu Gen-2 lawan arus ialah OKU


Seorang pegawai JKM Pulau Pinang berkata, doktor mencadangkan remaja itu menyertai program pendidikan khas ketika dia memasuki tingkatan 1.


PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis mengesahkan pemandu remaja yang memecut melawan arah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan kelmarin sehingga menyebabkan seorang lelaki maut adalah orang kelainan upaya (OKU).

Seorang pegawai dari JKM Pulau Pinang mengesahkan kad OKU itu adalah asli dan dikeluarkan kepada remaja itu pada 2011.

“Doktor mencadangkan dia menyertai program pendidikan khas ketika dia memasuki tingkatan 1,” kata pegawai itu tanpa mengulas lanjut kepada FMT hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Ab Hamid yang dipetik China Press turut mengesahkan pemandu berusia 19 tahun itu mempunyai kad OKU.
Menurut laporan akhbar itu, seorang mangsa cedera turut mendakwa ibu suspek ada memaklumkan anaknya mempunyai kad OKU ketika membuat laporan polis pada hari kejadian.

Bagaimanapun, ketika kemalangan berlaku, kereta Gen-2 yang dipandu remaja itu tidak mempunyai pelekat OKU.

Pengguna Internet memuat naik gambar kad OKU yang mirip pemandu remaja itu, di mana kad terbabit dikeluarkan JKM pada 9 September 2011.

Tambahan, kad OKU itu turut tertera masalah pembelajaran dalam ruangan kategori ketidakupayaan.

Pada jam 7.50 pagi Selasa lalu, remaja yang memandu Proton Gen-2 itu melanggar 3 kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Km 134 Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa yang dipandu pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Kereta dipandu remaja itu turut merempuh 5 kenderaan lain, termasuk sebuah van kilang dan motosikal.
Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Bagaimanapun, polis semalam berkata “ia bukan methamphetamine, sebaliknya hanya amfetamina”.
Amfetamina ialah ubat yang lazim digunakan untuk gangguan defisit perhatian (ADD).
Semalam, Mahkamah Majistret membenarkan polis mereman remaja itu selama 4 hari sehingga Sabtu ini bagi menyiasatnya memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia turut disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Merbahaya 1952 kerana salah guna dadah.

Free Malaysia Today

Sunday, 5 March 2017

Misteri Penculikan Paderi Raymond - Kenapa Kes Ini Sangat Misteri, Dan Anda Patut Tahu

Nama Paderi Raymond Koh Keng Joo secara tiba-tibanya menjadi tular sejak 2 minggu yang lepas berikutan beliau diculik secara terbuka di waktu siang hari di kawasan perumahan.



Apa yang kita tahu setakat ini?

Siapakah Paderi Raymond Koh Keng Joo?

1. Seorang paderi yang disenangi ramai orang, bukan dari kalangan orang yang kaya raya atau mempunyai banyak aset/harta

2. Tiada mempunyai musuh 

3. Berusia 62 tahun

4. Mempunyai pusat Harapan Komuniti

5. Giat membantu orang ramai terutamanya yang kesusahan juga terlibat dalam aktiviti mengembangkan ajaran Kristian.

6. Pusat tersebut juga menganjurkan kelas percuma untuk pelajar dan kelas bahasa inggeris percuma untuk orang dewasa.

7. Pada tahun 2011, nama Paderi Raymond pernah menjadi highlight di media berikutan satu serbuan yang dilakukan oleh JAIS. JAIS telah menyerbu satu majlis makan malam bagi mengutip dana di Damansara Utama Methodist kerana kehadiran beberapa orang muslim dalam majlis berkenaan. Kononnya majlis itu bertujuan untuk memurtadkan muslim namun dakwaan tersebut gagal dibuktikan JAIS berikutan kekurangan bukti (sumber).

8. Ketika itu juga Paderi Raymond telah menerima ancaman peluru menerusi surat dan membuat laporan polis namun pihak kami tidak mengetahui perkembangan susulan tentang hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.

Bagaimana beliau diculik?

1. Secara terbuka di waktu siang hari pada 13 Februari 2017, iaitu pada hari yang sama Kim Jong Nam mati dibunuh.

2. Penculikan Paderi Raymond berlaku pada jam 10 pagi.

3. Penculikan tersebut ialah penculikan terancang melihatkan kepada CCTV yang mulai tersebar sejak kelmarin. Dan paling penting ia adalah kerja dari kumpulan yang terlatih dan mahir dalam mengendalikan operasi khas.

4. Dalam CCTV tersebut, jelas menunjukkan 7 kenderaan dan 15 orang lelaki bertopeng bagi menjalankan satu operasi menculik Paderi Raymond.

5. Paderi Raymond diculik di jalan SS4B/10, Petaling Jaya.

Baca : CCTV Penculikan Raymond Koh Tersebar

Bukan kerja UTK - Blogger Steadyaku

Dalam satu analisis yang pihak kami baca di blog Steadyaku, operasi penculikan itu jelas dilakukan oleh sekumpulan pihak yang mahir namun masih belum cukup terlatih. Jika ianya kerja UTK, operasi penculikan akan berjaya ditamatkan kurang dalam masa 20 saat tanpa saksi, tanpa bukti tanpa rakaman.

Operasi penculikan yang dilaporkan mengambil masa sepanjang 40 saat itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan pihak yang terlatih dalam operasi ketenteraan.

Adakah militan?

Itu yang menjadi spekulasi umum kini. Adakah satu kumpulan yang mempergunakan agama merancang satu penculikan bagi melakukan desakan ke atas pihak tertentu atas nama menakut-nakutkan orang awam atas sesuatu sentimen? Orang ramai berteka-teki.

Jangan buat tangapan sendiri - PDRM

PDRM dalam pada itu akan menyiasat rakaman CCTV yang mulai tular sejak kelmarin. Menurut laporan media, PDRM menyatakan sumber dan kesahihan video berkenaan akan diteliti dalam satu respon kepada soalan wakil media.

PDRM juga menasihati orang ramai agar jangan membuat sebarang spekulasi bagi menimbulkan kekacauan dan kebimbangan umum.

Polis sebelum ini memaklumkan telah menubuhkan satu siasatan khas bagi menyiasat misteri kehilangan Paderi Raymond Koh. Terdapat tanggapan bahawanya tindakan penculikan tersebut ada kaitan dengan unsur keagamaan. 

Bapa saya mungkin telah mati dibunuh oleh muslim kata anak.

Jonanthon Koh pada 3 Mac lepas telah membuat satu lagi laporan polis yang mengatakan dia berpendapat bapanya telah mati dibunuh oleh kumpulan Islam (militan) dalam satu percubaan untuk menekan kumpulan non-muslim di negara ini.

Ada kaitankah Raymond Koh dengan RUU355?

GospelHerald turut melaporkan minggu ini parlimen Malaysia akan bersidang bagi membahaskan satu pindaan berhubung akta RUU355 ketika menulis satu laporan tentang kehilangan Raymond Koh.

Hasil semakan kami, terdapat beberapa komen dan respon netizens yang mempunyai pemikiran yang serupa di laman sosial. Membayangkan jika terdapat percubaan bagi menekan kelompok minoriti di Malaysia.

Pulangkan Paderi Raymond Koh, jangan bunuh dia, jangan bunuh dia atas nama Islam atau apa juga sebabnya.

Dalam pada itu respon netizens terutamanya muslim berharap agar Paderi Raymond dipulangkan kembali ke pangkuan keluarganya dalam keadaan selamat.

Di kalangan mereka juga berharap agar pihak yang mahu mencederakan Paderi Raymond Koh tidak meneruskan perbuatan tersebut terutamanya sekali mengaitkan Islam dalam tindakan itu.

Ratusan Berhimpun Doakan Keselamatan Pastor Raymond
Ratusan Berhimpun Doakan Keselamatan Pastor Raymond
Di mana Paderi Raymond Koh?

Persoalannya bukan sekadar siapa dan mengapa tetapi adakah masih hidup? Adakah Paderi Raymond Koh masih bernyawa dan bernafas? Paderi Raymond Koh telah diculik lebih dari 2 minggu dan sepanjang 2 minggu itulah tiada sebarang berita dari penculik termasuklah panggilan meminta wang tebusan. Isteri beliau dilaporkan tidak mampu tidur dan terlalu risau akan keadaan suaminya. Meskipun jumlah wang ganjaran telah dinaikkan pihak keluarga masih tidak menerima sebarang petunjuk tentang kejadian tersebut.

Di mana Paderi Raymond Koh? Adakah beliau masih bernafas? Ya, itulah persoalan yang difikirkan oleh masyarakat dan ahli keluarganya kini.

Saturday, 25 February 2017

Gambar Dyana Sofya hisap rokok di tempat awam tersebar


TIADA angin tiada ribut tiba-tiba beberapa keping gambar seorang wanita Melayu yang juga Ahli DAP, saudari Dyana Sofya sedang merokok disebarkan oleh blogger dan cybertrooper Umno di internet.

Difahamkan, ketika Dyana Sofya sedang menghisap rokok, gambarnya telah diambil secara curi-curi oleh individu tertentu lalu menyebarkannya di internet terutamanya di laman sosial facebook.



Gambar itu kemudiannya menjadi viral di laman sosial, dan sedang rancak disebarkan di dalam pelbagai group di facebook.

Tidak jelas apa isu yang cuba diketengahkan dengan penyebaran gambar tersebut, namun dakwa mereka, sebagai seorang wanita Melayu, yang pernah menjadi calon DAP, di Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya tidak patut menghisap rokok di tempat awam.



Jika benar mereka mahu mengetengahkan isu bahawa wanita Melayu tidak patut merokok di tempat awam, aku tidak menyokong dan tidak juga membantah.

Tapi harap mereka jangan lupa juga untuk menasihatkan seorang menteri wanita BN (Barang Naik) yang begitu bangga berkongsi dan menayangkan aksinya menghisap cerut di akaun instagram miliknya.



Datuk Azalina Othman sebelum ini begitu bangga memperlihatkan aksinya menghisap cerut bersama rakan-rakan di akaun Instagram, sambil menggelarkan dirinya dan rakan-rakan sebagai mafia.

Dyana Sofya sedang hisap rokok, gambarnya diambil secara curi-curi dan disebarkan oleh cybertrooper Umno, manakala Azalina sengaja menayangkan perbuatannya menghisap cerut kepada orang ramai, kerana beliau sendiri yang memuat naik gambar itu di akaun Instagram miliknya.


Read more: http://www.milosuam.net/2017/02/gambar-dyana-sofya-hisap-rokok-di.html#ixzz4ZjVJegNy

Thursday, 16 February 2017

Yayasan anak yatim saman Jamil Khir, Yapeim RM20 juta


 
Menteri agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan enam pihak lagi disaman Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN).

Pengasas Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fazli Hashim memfailkan saman RM20 juta itu atas dakwaan salah laku dan usaha menuntup yayasan itu.

Pihak plaintif mendakwa Yapeim menggunakan dana PEMANGKIN untuk menaja program Jamil ke Eropah, Amerika Syarikat dan program-program Yapeim di Ausralia.

Defendan-defendan lain dinamakan adalah anggota lembaga pemegang amanah PEMANGKIN Shahlan Ismail, Mohd Yusof Abd Rahman, Mokhtar Abd Razak, ketua pengarah Yapeim yang juga ketua pegawai eksekutif Abibullah Samsudin, pengarah undang-undang Yapeim Sharina Ramli dan bekas setiausaha syarikat itu Normala Embi.

Plaintif-plaintif mendakwa Yapein dan defendan-defendan itu bertindak bersama untuk menjadikan PEMANGKIN tidak aktif, digulung secara rahsia tanpa memaklumkan atau dibincangkan dengan pengasas-pengasasnya.

Mereka juga mendakwa terhadap usaha menutup kelemahan, salah laku dan salah tadbir oleh sesetengah defendan seperti laporan media berkaitan PEMANGKIN.

Tahun lalu NGO diasaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW), mendakwa Jamil menggunakan dana PEMANGKIN untuk bermain golf dan membeli-belah.

Jamil menyaman pengarahnya Akmal Nasir, tetapi ia kemudian ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Friday, 10 February 2017

Ringgit Malaysia Tidak Lagi Diterima Untuk Tukaran Asing Di Jepun?




Adakah Ringgit Malaysia kini tiada nilai di Jepun? Itulah yang menjadi tanda-tanya apabila salah seorang rakyat Malaysia yang dikenali dengan nama Salman Rozi berkongsikan pengalamannya ketika melancong ke Jepun baru-baru ini.

Berdasarkan laporan blog Amenoworld, pelancong bernama Salman berkata ketika dia mahu menukarkan wang miliknya ke dalam nilai Yen, permintaan itu ditolak oleh pengurup wang tempatan.

Alasannya adalah kerana Ringgit Malaysia tidak tersenarai dalam matawang yang boleh ditukarkan kepada matawang Jepun.



Kakitangan yang bertugas mengesahkan bahawa syarikat itu tidak menerima sebarang pertukaran matawang dari Malaysia ke Jepun ujar Salman dalam kenyataannya yang dipetik menerusi Facebook.



Dalam kenyataan yang sama, Salman turut mempersoalkan di manakah maruah Ringgit Malaysia berbanding Thailand dan Filipina?

Ini kerana kedua-dua matawang dari negara terbabit masih diterima untuk ditukarkan oleh pengurup wang tempatan manakala Ringgit Malaysia langsung tidak tersenarai dalam jadual matawang sama sekali.

Sebelum ini, Ringgit Malaysia dilaporkan menghadapi kejatuhan mendadak pada awal tahun ini sehingga memaksa peniaga-peniaga tempatan di Thailand menampal notis menolak sebarang urusniaga dalam Ringgit Malaysia.

Ini menyebabkan perniagaan mereka rugi kerana apabila ditukarkan kepada nilai Bath, mereka tidak dapat kembali harga jualan yang sepatutnya.

Juga tersebar dakwaan bahawanya Arab Saudi menolak pertukaran dari Ringgit Malaysia ke wang tempatan namun spekulasi itu pantas dinafikan oleh kerajaan tetapi hasil tinjauan yang dilakukan di laman sosial mendapati terdapat beberapa jemaah haji pada masa itu mengesahkan dakwaan.

Pun begitu kerajaan bertegas menafikan penyebaran tersebut dengan mengatakan ia satu lagi fitnah terancang bagi menimbulkan kekacauan.

Thursday, 9 February 2017

Melayu kembali dijajah jika Umno kalah pilihan raya, kata wakil Wanita



Ketua Wanita Umno Bahagian Ledang, Johor Khairin Nisa Ismail ketika mencadangkan usul ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Dis ― Seorang perwakilan Wanita Umno semalam menyifatkan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai ‘bapa pilihan raya’  yang akan menentukan masa depan Umno, yang jika diambil ringan boleh menjurus kepada ‘kiamat politik Melayu’.

Justeru itu, Ketua Wanita Umno Ledang Khairin Nisa’ Ismail mahu mentality menang dipahatkan dalam sanubari setiap anggota pergerakan itu kerana segala jasa selama pemerintahan Umno sudah tentu memberi kesan mendalam kepada rakyat.

Namun, katanya, Wanita Umno tidak boleh ‘terlebih yakin’ kerana kegagalan mencerap usaha sendiri boleh mengakibatkan ‘perasaan rendah diri” yang kemudiannya memudaratkan parti.

“Pertarungan itu kelak akan membawa kepada jatuh bangunnya kerajaan (Barisan Nasional) yang ditunjangi Umno selain menentukan masa depan sebuah bangsa.

“Masa semakin suntuk dan hampir dengan peperangan PRU14 nanti, hindari perpecahan kerana kitalah penentu mengelak ‘kiamat politik’, yang andainya terjadi, Melayu akan dijajah kembali dan tidak akan mampu bangkit lagi,” katanya ketika mencadang usul politik pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2016 di sini, semalam.

Ketua Wanita Umno Bahagian Silam Mizma Appehdullah pula mengingatkan Barisan kepimpinan Umno supaya memperjelaskan ungkapan ‘Wanita tulang belakang parti’ dalam bentuk tindakan dan realiti.

“Zaman didodoi dalam politik semakin berlalu, Wanita mahu melihat sejauh mana pembelaan dan keutamaan diberikan,” kata beliau ketika menyokong ucapan dasar ketua sayap itu.

Menurutnya, menjelang PRU14, Wanita Umno mahu penyertaan dan penglibatan wanita diperluaskan dengan pencalonan 30 peratus wanita sebagai calon pilihan raya.

“Bukan kerana jumlah pengundi wanita itu, tetapi kita yakin wanita juga berkelayakan,” katanya. ― Bernama


Tuesday, 7 February 2017

Syarikat China sah beli Proton?

 
Syarikat China sah beli Proton? Kilang pengeluar kereta Proton di Tanjung Malim akan menjadi milik Geely sekiranya Proton sah dibeli oleh syarikat China.
SYARIKAT Proton Holdings Bhd (Proton) telah lama mencari rakan kongsi dari syarikat negara asing bagi meneruskan perniagaan ketika kedudukan kewangannya mencatatkan kerugian setiap tahun.

Berita Proton untuk mencari rakan niaga sebenarnya bukan rahsia lagi kepada sesiapa yang sentiasa mengikut perkemba-ngan urus niaganya. Namun sehingga hari ini, masih belum ada perjanjian hitam putih dimeterai antara syarikat pengeluar kereta nasional kita ini dengan mana-mana syarikat.

Bagaimanapun, laporan terbaru daripada kebanyakan portal berita dari China menyebut, syarikat pengeluar kereta terbesar dari negara mereka, iaitu Geely Automobile Holdings Ltd. (Geely) difahamkan berpeluang cerah untuk memiliki Proton, selain beberapa syarikat asing turut mengadakan perbincangan kerjasama sebelum ini, antaranya Renault, PSA dan Suzuki.  


Media sosial China ini yang memetik sumber dalaman Proton memberitahu, Proton hanya akan mengumumkan secara rasmi nama syarikat rakan kongsi terbarunya pada April depan. Namun, difahamkan Geely telah menjadi pilihan Proton, sekali gus menyaksikan kereta nasional kita bakal diambil alih syarikat dari negara komunis itu.

Spekulasi pembelian Geely ke atas Proton turut diyakinkan pelabur China apabila harga saham Geely di bursa saham China naik sembilan peratus ketika dibuka pada hari pertama selepas cuti panjang Tahun Baharu Cina, minggu lalu.

Geely adalah sebuah perusahaan automotif swasta pertama dan terbesar di China, berpusat di Taizhou, Zhejiang. Pada 2009, Geely membuat kejutan dengan membeli Volvo dari Ford Motors pada harga USD1.3 bilion (RM5.7 bilion).

Kereta Geely dikatakan menjadi jenama kereta paling laris di China beberapa tahun kebelakangan ini, lebih-lebih lagi setelah mengadakan kerjasama dengan Volvo. Pada tahun lalu, jumlah pengeluaran kereta Geely dan Volvo telah mencecah sejuta unit.

Sekiranya Geely berjaya membeli 51 peratus pega-ngan saham Proton dan mengambil alih kilang pemasangan di Tanjung Malim, Perak, tidak mustahil usaha sama ini turut membuahkan hasil seperti mana kejayaan bersama dengan Volvo.

Kemasukan Geely ke dalam industri pembuatan kereta negara kita juga dipercayai mempunyai perancangannya tersendiri. Ini kerana, syarikat ini bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat utama pembuatan dan penjualan kereta keluarannya di rantau Asia Tenggara.

Dengan memiliki Proton, Geely akan memindahkan lokasi operasi pengeluarannya dari Zhejiang ke Tanjung Malim sebelum memasarkan ke Asia Tenggara. Sebagai 'balasan', Geely akan membantu Malaysia mengeksport jenama kereta Proton untuk dijual di China.

Mungkin inilah satu-satunya jalan yang terpaksa dipilih oleh Proton ketika sudah menjadi 'nyawa-nyawa ikan' ketika ini!

Sebelum ini, ada ura-ura menyatakan wakil Geely akan berunding dengan Proton di Malaysia Ogos tahun ini. Namun, pihak Geely dan Proton tidak memberikan sebarang maklumat rasmi mengenainya.

Kedudukan kewangan Proton dilihat semakin tenat apabila pada April tahun lalu, kerajaan mengumumkan kelulusan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada syarikat GLC ini.

Antara syaratnya ialah Proton harus mendapatkan rakan kongsi terkemuka yang akan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Selain laporan berita dari China, media-media tempatan di negara kita turut tidak ketinggalan melaporkan bahawa Geely mempunyai kelebihan memiliki Proton, berbanding dengan syarikat-syarikat lain.

"Sebagai bukti, bagi membuat persediaan bekerjasama dengan rakan kongsi baharu, Proton melakukan rombakan jawatan ke atas pegawai pengurusan tertinggi apabila Ketua Pegawai Teknikal (CTO), Abdul Rashid Musa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Edar Sdn Bhd awal bulan ini," lapor sebuah akhbar Inggeris tempatan, baru-baru ini.

Proton dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion (atau 72 sen sesaham) pada tahun kewangan ketiga 2016 sehingga mempengaruhi rugi bersih yang dialami oleh DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) berjumlah RM821.3 juta.

Bagi tahun kewangan berakhir Mac 2016, DRB-Hicom merekodkan rugi bersih berjumlah RM991.90 juta, juga disebabkan prestasi Proton yang lemah.

Ketika berita Proton bakal dibeli oleh syarikat pengeluar kereta China tersebar secara meluas, kerajaan masih belum bersedia memberikan jawapan secara jelas.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani kelmarin mengakui, pada masa ini terdapat tiga hingga empat syarikat dari negara asing telah menyatakan minat mereka untuk menjadi rakan kongsi Proton, namun Kementerian Kewangan masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kata Johari, sekiranya Proton mempunyai ranca-ngan mengembangkan perniagaannya ke pasaran luar negara, ia perlu mencari rakan pelabur asing yang sesuai.

Bagi rakyat Malaysia, ia tidaklah begitu mengejutkan Proton menjadi milik China satu hari nanti, memandangkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan China semakin meningkat sejak akhir-akhir ini,

Dari segi dunia perniagaan, daripada terus menanggung kerugian ratusan juta ringgi setiap tahun, adalah lebih baik dijual kepada orang lain sahaja.

Tetapi harus diingat yang dijual bukan sahaja syarikat semata-mata, maruah negara pun turut terpalit!