Thursday, 12 January 2017

Mahkamah arah NSTP bayar Guan Eng RM300,000



Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengarahkan News Straits Times Press Berhad membayar Ketua Menteri Lim Guan Eng ganti rugi sebanyak RM300,000 berhubung laporan ‘yang tidak tepat’ yang diterbitkan pada 20 Ogos 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop turut mengarahkan NSTP membayar RM35,000 sebagai kos kepada Lim.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata mahkamah berpuas hati bahawa laporan yang ditulis oleh wartawan Berita Harian Siti Sofea Md Nasir itu diputarbelitkan, tidak tepat dan berunsur fitnah.

Katanya, wartawan berkenaan tahu mengenai penghakiman persetujuan yang dicapai di mahkamah.

“Pembelaan perlindungan bersyarat tidak diguna pakai kerana ia laporan prosiding kehakiman yang tidak adil dan tidak tepat,” katanya ketika membacakan keputusannya.

Menurut Rosilah, ralat yang disiarkan di akhbar itu susulan surat guaman Lim juga “tidak memuaskan hati secara keseluruhannya”.

“Mahkamah juga melihat kenyataan yang tertaksir oleh akhbar itu sebagai sangat serius,” katanya.

Advertisement
Lim menyaman NSTP, penerbit BH, susulan terbitan laporan bertajuk “Guan Eng tarik balik saman terhadap bekas Ketua Pemuda Umno Negeri” dalam edisi cetakan akhbar itu pada 20 Ogos 2015.

Shaik ialah ketua Pemuda Umno Pulau Pinang ketika membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Lim.

Lim dalam tuntutannya meminta supaya permohonan maaf terhadapnya disiarkan dalam BH di halaman “paling mudah dilihat” dalam akhbar itu, dan jumlah ganti rugi yang ditentukan mahkamah.

Dalam penyata tuntutannya, Lim berkata artikel itu tidak melaporkan prosiding di Mahkamah Tinggi secara adil dan tepat.

Tindakan terhadap BH itu diambil selepas Lim mencapai penyelesaian penghakiman persetujuan dengan Shaik berhubung dua kenyataan berunsur fitnah yang dibuat Shaik pada 5 Oktober 2012.


EmoticonEmoticon