Selepas ditahan reman selama tujuh hari, Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi dibebaskan dengan deposit RM200,000 hari ini.
Menurut peguamnya, Abdul Rahim Ali, dia dibebaskan dengan deposit RM200,000 dan dengan jaminan lisan.
Jika melanggar ikat jamin itu, dia akan perlu membayar RM500,000 lagi, kata Abdul Rahim Ali kepada Malaysiakini.
Abdul Latif Bandi sebelum ini ditahan berhubung siasatan mengenai isu-isu perumahan dan tanah.
Dia ditahan pada 9 Mac di bawah Seksyen 17 Akta SPRM dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Abdul Rahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengenakan apa-apa syarat tambahan ke atas anak guamnya.
Semalam, Abdul Rahim dilaporkan berkata beliau menjangka SPRM mungkin memohon untuk melanjutkan tempoh reman ke atas Abd Latif Bandi.
Sebelum ini, SPRM menahan enam individu berhubung dengan kes itu. Mereka termasuk anak lelaki Abd Latif dan pegawai khas ahli exco itu.
SPRM turut merampas 26 kenderaan mewah dan membekukan 45 akaun bank berkaitan dengan kes itu.
EmoticonEmoticon