Thursday, 12 January 2017

'Saya bukan pencuri harta rakyat' - Najib Razak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.

"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.

"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya di majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di Kuantan hari ini.

Advertisement



Himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Najib dan dihadiri lebih 5,000 anggota dan pemimpin Umno dan BN daripada 14 Umno bahagian di negeri ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selain itu, perdana menteri turut meminta rakyat di negara ini khasnya anggota parti supaya tidak memperdulikan kerjasama politik bekas pemimpin Umno dan pihak pembangkang kerana ia tidak mendatangkan manfaat berbanding langkah kerajaan selama ini yang telah banyak membuat kebajikan untuk rakyat.

"Kita (pemimpin kerajaan) buat kerja, kita jaga ekonomi, kita nak orang muda ada pekerjaan, memperkembangkan ekonomi, kita nak jaga orang kampung, kita nak bangunkan kawasan bandar, pinggir bandar, pesisiran pantai, gunung, semua kita kena jaga," katanya.

Dr M dulu kata lain, sekarang lain

Dalam masa yang sama Najib turut menempelak tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan deklarasi bersama-sama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinannya.

Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan prinsip yang dipegang oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara apabila cuba menjatuhkan kerajaan dan menukar perdana menteri dipilih rakyat dengan cara tidak demokrasi.

"22 tahun kutuk parti DAP... kata Kit Siang (veteran DAP Lim Kit Siang) rasis...kata DAP parti cauvinis, menidakkan hak orang Melayu, menekan Islam, kita dah dengar ucapan-ucapan dia.

"Ini bukan saya kata, ini Dr Mahathir sendiri kata selama 22 tahun ... hari ini dia duduk sebelah siapa, dia 'sign' (tandatangan) deklarasi rakyat dengan siapa?" soalnya.

Najib berkata Dr Mahathir, beberapa bekas pemimpin UMNO dan pembangkang tidak wajar menjatuhkan kerajaan dengan cara demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan seperti yang dirancang oleh pihak berkenaan sebelum ini.

"Dulu (Dr Mahathir) kata demonstrasi jalanan salah di sisi undang-undang. Dulu kata salah dari segi prinsip demokrasi. Tapi sekarang ini lain pula," katanya.

Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dan Lim adalah antara lebih 50 individu menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir.

I'm not alone

Dalam pada itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pahang yang hadir pada Himpunan Solidariti hari ini untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya.

Perdana Menteri berkata beliau berasa gembira dengan keadaan itu kerana ia menggambarkan beliau tidak keseorangan dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam memimpin negara.

"Sebagai anak watan Pahang hati ini terubat hari ini. Walaupun diserang daripada mana-mana pun, tetapi kalau 'askar' saya ini seperti hari ini, saya tidak keseorangan, I'm not alone," katanya.


EmoticonEmoticon