Pemberian wang tunai secara "one-off" melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diamalkan Putrajaya sejak beberapa tahun sebelum ini perlu selari dengan usaha kerajaan menstruktur semula subsidi demi memastikan ia sampai kepada golongan berpendapatan rendah dengan efisyen, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Mengulas kenaikan harga bahan api RON95 sebanyak 20 sen semalam, Khairy berkata, kesan kenaikan harga minyak akibat dasar pengurangan subsidi di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan ditampung melalui pemberian BR1M.
"Kita tampung apa yang kita buat (kenaikan harga petrol) melalui BR1M. BR1M perlu dibina bersama dengan subsidi.
"Kita kurangkan subsidi yang menyeluruh dan beri BR1M yang bersasar," kata Khairy kepada pemberita selepas merasmikan program "Kopiko Purple League" di Petaling Jaya, hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, bagi menampung kenaikan yang dirasai golongan berpendapatan sederhana, Putrajaya berhasrat mengurangkan kadar cukai pendapatan untuk golongan itu.
"Terlalu banyak subsidi akan diterima mereka yang tidak sepatutnya," kata Khairy lagi.
Khairy berkata, kenaikan harga minyak itu kembali kepada perkara pokok di negara ini iaitu untuk membolehkan subsidi dinikmati golongan sasaran.
Beliau berkata dengan sistem sedia ada, subsidi lebih banyak dinikmati golongan berada yang memiliki kenderaan lebih banyak berbanding mereka yang kurang berkemampuan.
"Isu subsidi bukan kita tidak mahu membantu, tetapi orang yang tidak layak, semua orang membayar harga sama untuk RON95, tidak kira (jumlah) rumah dan kereta mereka," katanya.
"Dengan logik itu, mereka berpendapatan tinggi terima subsidi lebih banyak," katanya.
Ekoran pengumuman Putrajaya semalam subsidi minyak dikurangkan sebanyak 20 sen, rakyat Malaysia kini perlu membayar RM2.30 seliter bagi petrol RON95, berbanding RM2.10 sebelum ini.
Manakala, diesel pula turut mengalami kenaikan 20 sen menjadikan kadar baru sebanyak RM2.20 seliter berbanding RM2.00 sebelum ini.
Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam kenyataannya semalam berkenaan kenaikan itu berkata, langkah pengurangan subsidi itu adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.
"Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan tidak bertanggungjawab.
"Pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal di mana bukan warganegara Malaysia termasuk pelancong asing turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut berkata, langkah rasionalisasi subsidi itu juga akan dilaksanakan dengan berhati-hati dan secara berperingkat bagi memastikan kesan minimum kepada ekonomi dan tidak membebankan rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana. –
1 comments so far
yang tak dapat brim apa cerita,, gaji tak naik-naik pun
EmoticonEmoticon