Tuesday 31 May 2016

Prof Abdullahi: Tidak Berdosa Tolak Hudud Memandangkan ia Tidak Terkandung Dalam Al-Quran.


Professor Undang-undang Universiti Emory, AS Prof Abdullahi A An Na’im berkata, tidak berdosa untuk seseorang menolak hukum hudud memandangkan ia tidak terkandung dalam al-Quran.

Katanya, hudud itu sendiri kini sedang dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi kepentingan diri atau kelompok tertentu.

“Siapa kata menolak hudud adalah satu dosa? Apabila ada orang brkata begitu, minta mereka nyatakan sumbernya datag dari mana.

“Kamu akan dapati bahawa ia adalah spekulasi peribadi. Jika hudud ada dinyatakan dalam teks al-Quran, berikan saya (petikan) teks itu,” katanya dalam wawancara di Hotel Concord Kuala Lumpur sebentar tadi.

Abdullahi membuat wawancara itu bersama kumpulan G25.

Minggu lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat untuk meminda Akta 355 dalam perlembagaan persekutuan bagi "memperkasa mahkamah syariah" di Kelantan.

Usul itu dibentangkan selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Bagaimanapun Abdul Hadi sendiri meminta perbahasan usul berkenaan ditangguhkan ke sidang akan datang.

Ia kemudian mendapat bantahan daripada parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan Gerakan.

Jenayah, dosa berbeza

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula menafikan usul berkenaan akan membawa kepada pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Abdullahi berkata kerajaan seharusnya melaksanakan undang-undang sekular yang bersifat sama rata kepada semua rakyat di negara ini.

“Sifat negara ini adalah, kita hidup dalam sebuah negara bangsa, dengan semua rakyat adalah sama. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang tunggal untuk semua rakyat secara sama rata.

“Undang-undang itu hendaklah dibawa oleh Parlimen, melalui proses demokrasi, dalam sebuah negara sekular.

“Apabila ia begitu, kamu boleh mengubahnya jika ia tidak sesuai. Jenayah dan dosa adalah perkara yang berbeza. 

"Sesuatu jenayah tidak sepatutnya dijadikan jenayah kerana perbuatan itu dianggap dosa oleh kepercayaan sesetengah orang," katanya.

Sementara itu, Abdullahi berkata sekiranya PAS ingin melaksanakan hudud di Kelantan, negeri-negeri lain berkemungkinan akan mengikut mengikuti langkah berkenaan.

Justeru katanya sebelum bagi melaksanakan sesuatu perkara kerajaan seharusnya benar-benar faham apa yang mereka ingin lakukan.

"Ya, melaksanakan hudud di Kelantan akan membuat negeri lain ikuti (langkah berkenaa). Apabila kamu buat (hudud), ia tidak dapat menghalang negeri-negeri lain untuk menggubal undang-undang dan hukum dengan apa jua cara sekalipun.

"Sistem politik Malaysia memungkinkan mereka (wakil rakyat) ingin melakukan apa saja yang mereka mahu kerana sudah dipilih (oleh rakyat), tapi mereka perlu jelas dengan apa yang akan dilakukan,” katanya


EmoticonEmoticon