Wednesday 3 May 2017

Cadang Buka UiTM untuk bukan Bumiputera



PADA tahun 2020, kerajaan menyasarkan seramai 250,000 orang pelajar akan mengikuti pengajian di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara.


Jumlah ini bertambah lebih 50 peratus berbanding jumlah pada 2014 iaitu 177,051 pelajar. Fakta ini menunjukkan peranan besar dimainkan UiTM dalam menyumbang pembangunan modal insan bagi negara khususnya di kalangan Bumiputera.

Walaupun Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arsyad Ayub pada minggu lalu ketika mencadangkan golongan bukan Bumiputera diberi peluang untuk mengikuti pengajian di universiti itu tidak memberikan angka peratusan kuota untuk bukan Bumiputera, cadangan itu tidak boleh diterima sama sekali.

Bayangkan sekiranya 10 peratus bukan Bumiputera dibenarkan belajar di UiTM, ini bermakna pada 2020 nanti, 25,000 pelajar Bumiputera terlepas peluang mengikuti pengajian di UiTM kerana tempat mereka diberikan kepada bukan Bumiputera dengan alasan ‘tidak mahu hanya melahirkan jaguh kampung’.

Sejak UiTM ditubuhkan, tidak pernah timbul istilah ‘jaguh kampung’ yang disandarkan kepada graduannya. Kualiti mereka setanding dengan universiti tempatan lain bahkan di peringkat antarabangsa.

Penubuhan UiTM bermula pada 1950 apabila British menubuhkan Rural Industry Development Authority (RIDA) sebagai agensi kerajaan bagi membangunkan taraf hidup bangsa Melayu.

Penubuhannya adalah sebagai ‘hadiah’ kerana bangsa Melayu bertolak ansur menerima prinsip jus soli atau hak kerakyatan kepada kaum Cina dan India yang lahir di Tanah Melayu selepas merdeka.

Pada 1956, RIDA menubuhkan Dewan Latihan RIDA bagi melatih orang Melayu luar bandar dalam bidang kemahiran supaya mereka tidak hanya menjadi petani atau nelayan.

Kemudian pada 1965 RIDA ditukar menjadi Majlis Amanah Rakyat (Mara). Serentak itu, Dewan Latihan Rida dijadikan Maktab MARA, sebelum pada 1967 Maktab MARA dinaikkan taraf sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) untuk menawarkan program sehingga peringkat diploma.

Pada 1976 ITM menjadi badan berkanun yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan menerusi Akta ITM dan pada 1996 akta itu dipinda bagi membolehkan ITM menawarkan program ijazah pertama (sarjana muda) dan pasca siswazah (sarjana dan kedoktoran).

Pada 1999, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan ITM dinaik taraf sebagai universiti penuh iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagi Pedang, apa yang nyata ialah UiTM adalah satu-satunya institusi yang memfokuskan pembangunan pendidikan Melayu dan Bumiputera.

Biarkanlah UiTM dengan agendanya yang khusus untuk Bumiputera. Jangan dibuka langsung peluang kepada bukan Bumiputera.


EmoticonEmoticon