Dalam salah satu kecaman paling keras pernah dibuat kepada DAP, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap parti berkenaan sebagai "butir tahi" PAP Singapura.
Berucap di Rusila malam tadi, Abdul Hadi berkata, Singapura adalah "bapa DAP" dan di negara berkenaan parti yang memerintah ialah PAP (Parti Tindakan Rakyat).
"Dulu (semasa) Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar daripada Malaysia, PAP tukar jadi DAP.
"Jadi DAP ini anak butir taik PAP. (Saya) sebut dengan bahasa yang kasar sikit, ini dia," katanya di majlis ceramah perdana sempena kejayaan pembentangan rang undang-undang meminda Akta 355 (RUU355).
Usul persendirian dibawa Abdul Hadi itu dibentang di Dewan Rakyat pada 6 April lalu sebelum Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku speaker menangguhkan perbahasan ke sesi akan datang.
Abdul Hadi membawa usul berkenaan bagi membolehkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - nama lain bagi Akta 355 - mempunyai had hukuman lebih tinggi.
Cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak. Selain DAP, parti komponen BN juga tidak bersetuju dan sebahagiannya menganggap rang undang-undang berkenaan akan membuka jalan kepada pelaksanaan hukuman hudud di Malaysia.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan usul yang dibawa itu bukan bertujuan untuk melaksanakan hudud di negara ini.
Katanya, ia juga tidak ia akan memberi kesan kepada orang bukan Islam.
Abdul Hadi menjelaskan, PAS mendapat maklumat, ada "ejen asing" di belakang penentang RUU355 itu, khususnya kumpulan mubaligh yang ingin mengembangkan agama mereka di negara ini.
Anggota parlimen Marang itu juga mendakwa, penentang usul itu juga bimbang jika syariat Islam dilaksanakan, orang bukan Islam akan melihat kebaikan hukum Islam.
Sementara itu, Abdul Hadi juga menjelaskan kewajaran PAS berunding dengan Umno dan tidak sepatutnya menjadi isu kepada DAP.
Katanya, jika kerajaan Pulau Pinang boleh berunding dengan kerajaan pusat mengenai jambatan Pulau Pinang atau projek di negeri itu, tidak ada sebab mengapa PAS dilarang berunding dengan Umno.
Menurut Abdul Hadi, pihak yang tidak bersetuju dengan RUU355 PAS juga berunding dengan negara luar untuk mengubah politik Malaysia.
"Kita boleh berunding dengan Umno, berunding dengan siapa sahaja untuk melaksanakan Islam, sedangkan dia dengan Amerika pun berunding, dengan negara asing pun dia berunding, dengan kedutaan asing pun dia berunding.
"(Mereka) berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia.
"Kita tak sampai tangga (ke tahap) itu, nak suruh negara asing campur tangan negara kita.
"Kita berunding dengan Umno saja, sama-sama Melayu Islam, itu. Salah? Dia berunding dengan Amerika tak apa, berunding dengan negara asing tak apa, bincang tentang politik Malaysia.
"Politik Malaysia biar orang Malaysialah yang buat perubahan, tak perlu jemput Amerika mari, tak perlu jemput negara asing mari.
"Biar saya dedah di sini, kalau ada pemberita, siar, biar orang tahu," katanya.
EmoticonEmoticon