Monday, 10 April 2017

‘Bakal Orang terkaya’ kembali aktif jual syiling, Skim Ponzi Terbaru?


Organisasi haram itu dilaporkan menawar gaji lumayan sehingga 30,000 yuan (kira-kira RM19,300) untuk mengambil 'pembantu wanita botak' bagi mempromosikan 'syiling 5 elemen'.


PETALING JAYA: Warganegara China yang mengisytiharkan dirinya sebagai “bakal orang terkaya” – Zhang Jian kini dilaporkan kembali aktif dengan kegiatan pemasaran pelbagai tingkat haram di China.
Menurut laporan China Press, kali ini dia kembali dengan penipuan “syiling 5 elemen” dan polis China mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak terperangkap dengan skim penipuan terbaru itu pada 24 Mac lalu.

Difahamkan, organisasi “syiling 5 elemen” itu mengumpan orang ramai melabur 5,000 yuan untuk mendapatkan pulangan sekurang-kurangnya 40 juta yuan (RM25.69 juta) setahun.

Polis di daerah Shangnan, Shaanxi, melalui kenyataan dimuat naik ke Weibo berkata, jika benar “syiling 5 elemen” mengandungi 10.1g emas di dalamnya, maka nilai pasarannya sekadar 3,000 yuan (RM1,927) dan tidak sampai 5,000 yuan (RM3,212).

Polis China mengingatkan orang ramai yang “syiling 5 elemen” itu bukan mata wang sah dan tidak akan bertambah nilainya kerana tidak diiktiraf kerajaan China. Ia sekadar menyerupai token permainan dan merupakan penipuan skim piramid.

Menurut laporan Sin Chew Daily, polis Malaysia belum menerima aduan berhubung “syiling 5 elemen” atau Zhang menjalankan aktiviti di negara ini, tetapi beliau akan ditahan sebaik sahaja memasuki Malaysia.

Dalam pada itu, China Press dan Sin Chew Daily melaporkan organisasi haram itu menawarkan gaji lumayan sehingga 30,000 yuan (kira-kira RM19,300) bagi mengambil “pembantu wanita botak” untuk “penjenamaan peribadi”.

Salah seorang “pembantu wanita botak” bernama Zhu Yan Hong (terjemah) menerusi sebuah video promosi berkata, beliau tidak perlu melakukan apa-apa kecuali “mempromosi di kalangan kawannya” dan akan dibayar 360,000 yuan (RM231,246) setiap tahun.

Organisasi haram itu turut mencari pembantu “mengagihkan angpau”, pembantu ahli tua, pembantu audio, visual, menyanyi dan senaman dengan gaji 3,000 yuan serta pengawal peribadi wanita bergaji 30,000 yuan sebulan.

Pada 2 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis sudah memulakan siasatan terhadap sebuah program amal anjuran YSLM – syarikat milik Zhang, susulan laporan berita menunjukkan seakan-akan beliau mengaktifkan semula perniagaan MLM atau pemasaran berbilang tingkat di Malaysia.

China Press dalam laporannya yang memetik sumber berkata, program amal anjuran YSLM atau “Yun Shu Mao” itu diadakan di sebuah hotel di Selangor pada 29 Disember 2016 dan acara itu dilaporkan menampilkan poster hampir serupa dengan papan iklan besar gambar Zhang yang dipasang di Pulau Pinang pada 2014.

YSLM mula terkenal pada 2014 apabila didakwa memperdaya orang ramai untuk mendapatkan wang menerusi skim piramid dan cepat kaya.

Pada tahun sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendakwa YSLM ialah syarikat jualan langsung tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan beroperasi tanpa lesen kementerian.

Zhang dilaporkan ditahan di Thailand pada akhir 2014 kerana didakwa menipu RM605 juta daripada ribuan orang di China, Malaysia dan Thailand.


EmoticonEmoticon