Jamal Yunos hari ini tampil dengan gimik terbaru, dengan mengusung keranda dan perarakan van jenazah di luar bangunan pentadbiran Selangor dalam siri bantahan terbarunya terhadap kerajaan negeri itu.
Kali ini, Jamal yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar mendakwa berlaku penyalahgunaan dana untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor berjumlah RM200 juta.
Poster Oleh Cytro BN
“Saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali tentang peruntukan sebanyak RM200 juta. Di manakah jumlah peruntukan ini? Adakah ia dari sumber halal?
“Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, terdapat beberapa keraguan dalam penggunaan peruntukan SMUE ini yang dilakukan beberapa wakil rakyat atau penyelaras DUN Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Mereka menggunakan peruntukan ini untuk tujuan lain, bukan membantu rakyat Selangor, tetapi untuk kerja kahwin mereka,” dakwanya.
Kumpulan yang diketuai oleh Datuk Seri Jamal Md. Yunos itu tiba pintu masuk utama SUK kira-kira pukul 11 pagi ini sebelum mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan bangunan itu dengan 16 van jenazah tetapi dihalang oleh pasukan keselamatan.
Bagaimanapun, ketika Jamal membuat ucapan di depan pintu utama SUK, sekumpulan lelaki yang dipercayai penyokong kerajaan PKR Selangor bertindak balas terhadap ucapan Jamal sehingga menimbulkan kekecohan.
Sekumpulan lelaki itu kemudiannya memberi amaran kepada Jamal supaya tidak mengganggu kerajaan Selangor kerana rakyat sudah “muak” dengan tindakannya. Keadaan berjaya dikawal selepas polis hadir untuk menghentikan protes itu dan mengarahkan Jamal pulang.
SMUE ialah skim khairat kematian yang diberi percuma kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang layak. Apabila ahli meninggal dunia, penama berdaftar boleh menuntut dari Pusat Khidmat DUN dan sumbangan khairat kematian atau manfaat sebanyak RM2,500 akan disalurkan.
Ia ialah inisiatif kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada Ogos 2008 dan mula dilaksanakan sejak 1 Oktober 2008.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi menasihatkan Jamal berhenti melemparkan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa telus dan tahu cara terbaik mengurus dana tersebut. “Sudah-sudahlah cakap dekat Jamal. Kita tahu bagaimana urus kerajaan negeri. Kita di peringkat kerajaan tidak ada yang nak diselewengkan. Semua telus dan ada data. Saya akan periksa duit RM200 juta itu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung dakwaan itu.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama Kamisah Wan Boni berkata keluarganya kecewa melihat Jamal melakukan protes dengan menggunakan van jenazah.
Ini kerana arwah pakciknya telah meninggal dunia malam tadi dan keluarga mereka gagal menyewa van jenazah bagi tujuan pengurusan jenazah apabila dimaklumkan tiada kekosongan oleh pihak masjid.
Rupa-rupanya semua van jenazah itu telah digunakan bagi tujuan melakukan protes yang sia-sia dan tindakan Jamal itu menyusahkan keluarganya, kata Kamisah dalam satu status yang turut tersebar di laman sosial.
EmoticonEmoticon