Wednesday, 25 January 2017

Timbalan Menteri cadang pinjam wang Bank Dunia


PASIR SALAK, 26 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mencadangkan kerajaan supaya membuat pinjaman Bank Dunia atau Bank Pembangunan Asia jika ketiadaan wang untuk membangunkan infrastruktur di kawasan banjir dalam negara ini.

Katanya, bank-bank berkenaan boleh memberi pinjaman kepada negara-negara yang memerlukan dana untuk kepentingan negara tersebut.

“Dulu masa kita membangunkan Felda kita juga pinjam wang dari Bank Dunia dan selepas itu perlahan-lahan kita bayar kembali.

“Jadi sekiranya tidak ada duit kita cadangkan kepada kerajaan supaya meminjam wang Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia atau bank-bank lain yang boleh memberikan peruntukan kewangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara, Labu Kubong.

Mengambil kira keperluan untuk mengatasi masalah banjir di negara ini, Tajuddin berkata, ia dilihat sebagai satu projek besar yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan.

Ini kerana, setiap kali berlaku bencana banjir, bukan sahaja penghuni rumah dan petani yang mengalami kerugian, kerajaan juga turut menanggung kerugian berbilion ringgit apabila hasil pertanian dan penternakan musnah.

“Jadi pimpinan di peringkat atas perlu melihat ia sebagai satu agenda besar dan nasional dengan memberi peruntukan yang secukupnya membangunkan kawasan luar bandar.

“Kerajaan perlu ingat, di sinilah penyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada petani dan penduduk luar bandar, jadi jangan terlepas pandang pembangunan di sini,” katanya.

Tajuddin turut merayu kerajaan agar memberikan peruntukkan yang secukupnya walaupun ia menelan belanja yang besar.

“Kita tahu ada beberapa projek besar mampu dilaksanakan oleh kerajaan jadi maknanya ada cara dan jalan untuk kerajaan sediakan peruntukan bagi mengatasi masalah banjir ini,” katanya.


EmoticonEmoticon