Walaupun pelik, tindakan pemimpin akar umbi Umno Datuk Jamal Yunus berdemonstrasi terhadap pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali mendapat pujian pemimpin pusat parti itu.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau tidak hairan jika akhirnya Jamal semakin popular dan rakyat akan merujuknya untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Cara Jamal kreatif, pandai memilih isu, memang isu rakyat, berani dan bersahaja.
“Lebih baik daripada demonstrasi BERSIH yang tidak ke mana,” katanya yang juga ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Jamal, ketua Umno bahagian Sungai Besar hari ini membawa sepuluh katil bujang ke bangunan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam, selepas mendakwa terdapat banyak rumah urut haram di negeri itu.
Di atas tilam itu pula beralas cadar tertera dengan perkataan “DAP - Dapat Aiskrim Percuma”, seorang wanita dilihat menjalankan demonstrasi mengurut badan pelanggan.
Beliau kemudiannya mengagihkan aiskrim yang dibawanya dengan motosikal bertong bertulis "Azmin Ais Krim, sekali rasa pasti nak lagi" – dipercayai merujuk dakwaan skandal seks Azmin yang telah dinafikan.
Menulis di Facebook, Puad berkata walaupun cara Jamal itu dianggap pelik dan luar biasa, tetapi ia didakwa membuka mata dan memberi tekanan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Cara Jamal menyebabkan kerajaan Selangor tidak boleh menutup mata terutamanya sikap double standard (pilih bulu) kerana tidak berani bertindak terhadap rumah urut haram dan tidak berlesen,” katanya.
EmoticonEmoticon