KAHERAH, 26 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Saudi Arabian Oil Co. atau Saudi Aramco, telah menarik balik pelan untuk menjadi rakan kongsi syarikat minyak negara, Petronas dalam satu projek di Johor.
Media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan projek itu adalah berkaitan penapisan dan petrokimia di selatan negeri Johor yang bernilai hampir RM89 bilion.
Syarikat minyak terbesar di dunia itu membuat kesimpulan bahawa projek yang diketuai oleh Petroliam Nasional Bhd atau Petronas, tidak akan menjana pulangan yang mencukupi selepas menjalankan kajian kemungkinan.
Sebelum ini, kedua-dua syarikat telah mengadakan perbincangan bagi mewujudkan perkongsian usaha sama untuk membina kilang penapisan dengan kapasiti memproses 300,000 tong minyak sehari, bersama sebuah kompleks petrokimia dengan keluaran kimia tahunan digabungkan sebanyak 7.7 juta tan metrik.
Petronas sebelum ini menganggarkan cadangan pembinaan kompleks di sebuah bandar nelayan di Johor yang bertentangan dengan Singapura dan ia bakal menelan kos RM53 bilion ringgit untuk dibina.
Jurucakap Petronas berkata, pihaknya tidak bertindak balas kepada spekulasi dan tidak akan memberikan apa-apa komen mengenai perkara ini.
Jurucakap Saudi Aramco pula berkata, Saudi Aramco secara berterusan menilai peluang-peluang perniagaan baru tetapi tidak mengulas mengenai khabar angin atau spekulasi.
Keputusan Saudi Aramco untuk tidak mengambil bahagian dalam projek ini adalah satu tamparan kepada Petronas.
Petronas sedang mengalami proses pemulihan susulan daripada kejatuhan harga minyak dalam tempoh dua tahun yang lalu dan sedang mencari cara-cara baru untuk meningkatkan pendapatan selepas memulakan program penurunan kos yang menyeluruh.
Ia mengumumkan pada Januari tahun lalu bahawa ia akan mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM50 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang selepas terkesan oleh harga minyak yang lebih rendah.
Petronas juga berkata pada tahun lepas ia akan mengurangkan 1,000 pekerjaan.
Dilaporkan keuntungan Petronas selepas cukai sebanyak RM6.1 bilion pada suku ketiga pada September, berbanding dengan keuntungan bersih sebanyak 1.6 bilion suku sebelumnya.
Syarikat itu juga dijadual mengumumkan keputusan suku keempat bulan hadapan.
EmoticonEmoticon