Ketua polis negara itu berkata, siasatan sudah dibuat berdasarkan laporan yang diterima dan dibawa ke Jabatan Peguam Negara.
PETALING JAYA: Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan dakwaan penyalahgunaan kuasa terhadap bekas pengarah operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zain pada tahun lepas.
Ketua polis negara itu berkata, siasatan sudah dibuat dan dibawa ke Jabatan Peguam Negara.
“Laporan terhadap Bahri kita terima di Kelantan.
“Seperti biasa, kita akan jalankan siasatan kerana ada laporan dan apa jua penemuan akan kemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang medianya selepas melancarkan Op Selamat 10/2017 bagi Perayaan Tahun Baru Cina di Persada PLUS, Subang hari ini.
Pada 18 Januari, FMT melaporkan Bahri yang menimbulkan kekecohan dengan bersara awal, didakwa terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.
Bahri didakwa menyekat siasatan polis ke atas isterinya dalam pertikaian wasiat dan menyalahgunakan kuasa bagi memastikan tiada tindakan diambil ke atas laporan polis yang dibuat terhadap isterinya.
Isteri Bahri didakwa terbabit dalam pertikaian wasiat abangnya, Zamri Abdullah yang juga bekas presiden Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist).
Sementara itu, sumber yang rapat dengan Bahri memberitahu FMT ia adalah usaha jelas untuk memfitnah bekas pengarah SPRM itu, selepas pendedahannya ketika mengumumkan persaraan awalnya, baru-baru ini.
“Bahri menafikan dakwaan ini (salah guna kuasa).”
Ditanya sama ada Bahri akan mengambil tindakan terhadap mereka yang memfitnah beliau, sumber itu berkata: “Beliau tidak mahu membuat laporan balas terhadap kakak iparnya kerana menghormati si mati (Zamri).
EmoticonEmoticon