Thursday, 5 January 2017

‘Penerima boleh guna BR1M beli Proton Iriz jadi pemandu Uber’

DATO’ SERI NAJIB PERLU NAIKKAN BANTUAN BR1M KEPADA RM40,000


Saya tertarik dengan idea Tan Sri Irwan Siregar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi 1MDB yang dipetik dalam satu laporan mencadangkan penerima BR1M yang tidak mempunyai kereta menggunakan BR1M untuk membeli kereta Proton Iriz supaya mereka boleh menjadi pemandu Uber atau Grabcar. Dengan cara ini, menurut laporan Malaysiakini itu Malaysiakini , mereka boleh menjana pendapatan.

Cadangan itu boleh dilaksanakan dan sudah tentu akan berjaya sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan bayaran BR1M daripada RM1,200 (penerima e-Kasih atau pendapatan isirumah bawah RM1,200), RM1,000 (orang tua), RM900 (pendapatan isirumah antara RM3,000 dan RM4,000) atau RM450 (orang bujang berpendapatan bawah RM2,000) kepada RM40,000 setiap penerima BR1M.

Saya telah menyemak harga Proton Iriz dan mendapati ia berharga RM40,000 sebuah (lihat iklan harga di bawah).




Jika BR1M diberikan pada kadar sekarang (antara RM450 hingga RM1,200 sahaja), penerima BR1M hanya mampu membayar ansuran bulanan sebanyak maksimum dua bulan sahaja. Mereka hanya sempat menjadi pemandu Uber dan Grabcar selama 2 bulan sahaja.

Peruntukan untuk BR1M juga perlu ditambah dari RM5.3 bilion setahun (angka 2015) untuk 7.4 juta penerima kepada RM 296 bilion setahun (7.4 juta penerima X RM40,000).

Saya yakin cadangan Tan Sri Irwan Siregar ini akan berjaya menjadikan Malaysia mencatat rekod baru sebagai negara paling ramai pemandu Uber dan Grabcar.

Saya memilih untuk menjawab cadangan Tan Sri Irwan Siregar ini secara sinis dan menyindir kerana beliau juga dipetik berkata bahawa ekonomi negara adalah kukuh tetapi dipengaruhi oleh pandangan negatif. Saya ingin memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa cadangan-cadangan seperti “orang miskin boleh buat dua kerja dengan menjadi pemandu Uber” (Dato’ Seri Najib) dan “guna BR1M untuk beli kereta Proton Iriz jadi pemandu Uber” yang menyebabkan pelabur dan orang ramai hilang keyakinan dengan pengurusan ekonomi negara.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN


EmoticonEmoticon