KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menggelar Tun Dr Mahathir Mohamad “nyanyuk” kerana mendakwa tanah yang dijual kepada orang asing akhirnya akan menjadi negeri asing.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Malaysia menjual tanah kepada orang asing sejak negara merdeka lagi.
“Kita jual menjual tanah kepada kedutaan asing untuk mereka bina kedutaan dan pelabur asing bina bangunan mereka,” katanya pada sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tsun Jin, hari ini.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu mengingatkan Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, banyak tanah dijual kepada pelabur asing.
“Kenapa beliau tidak fikir tanah itu akan menjadi negeri asing ketika itu?”
Nazri berkata, walaupun tanah itu dijual kepada warga asing, ia masih kekal di Malaysia dan ia adalah tanah negara ini.
“Jika anda menjual 1 ekar tanah kepada China, bolehkah anda potong 1 ekar tanah itu dan hantar sekeping demi sekeping ke China? Mereka membeli tanah itu, tetapi ia masih di sini, jadi apa yang dikatakan Dr Mahathir?”
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat mengabaikan kenyataan yang dibuat bekas perdana menteri itu.
“Beliau semakin nyanyuk. Saya harap rakyat Malaysia tidak beri perhatian kepada orang tua ini.”
Semalam, Dr Mahathir dalam catatan di blognya memberi amaran kepada rakyat Malaysia untuk menjangkakan sejumlah besar kawasan akan menjadi enklaf atau wilayah orang asing.
Beliau mendakwa sejumlah besar tanah di sekitar Johor Bahru dijual dan sebaik sahaja tanah itu dibangunkan menjadi perumahan dan hartanah, ia akan membawa kepada “penghijrahan besar-besaran warga asing” yang akan tinggal di bandar baharu itu.
Memetik laporan Malaysia berjaya meraih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM150 bilion ketika lawatan rasmi Datuk Seri Najib Razak ke China 2 bulan lalu, katanya, tiada maklumat terperinci diberikan mengenai perjanjian dimeterai.
EmoticonEmoticon