Tuesday 24 January 2017

Najib Razak Berhutang RM55BIL dengan bank negara China tanpa kelulusan parlimen



Stesen janakuasa sudah diberi kepada syarikat Kerajaan China. Tanah yang dulunya pengkalan TUDM Sungai Besi juga telah diserahkan kepada syarikat Kerajaan China. Sekarang Najib Razak mahu berhutang RM55 bilion dari bank milik Kerajaan China dan kemudian diberikan kontrak pembinaan kepada syarikat Kerajaan China juga.

Mohon sebarkan kenyataan media ahli-ahli parlimen PH tadi.

2 NOVEMBER 2016

PERDANA MENTERI PERLU BENTANGKAN “PRE-FEASIBILITY STUDY” (PFS), “FEASIBILITY STUDY” (FS) DAN “FINAL INVESTMENT DECISION” (FID) PROJEK KERETAPI PANTAI TIMUR

Kami, ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan ingin melahirkan kebimbangan di atas perkembangan terkini berkaitan projek keretapi landasan Pantai Timur atau East Coast Double-Tracking Railway (ECDR) yang dilaporkan akan menelan belanja RM55 bilion.

Laporan menyebut bahawa Kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian pembinaan dengan Kerajaan China melalui syarikat-syarikat milik Kerajaan China untuk membina ECDR dengan dibiayai oleh pinjaman dari Kerajaan China.

Umum mengetahui bahawa model pembiayaan dan pembinaan projek infrastruktur yang digunapakai oleh Kerajaan China (melalui anak syarikat miliknya) ialah:

1. Melibatkan pengunaan tenaga kerja dan kontraktor sepenuhnya dari China
2. Melibatkan penggunaan material sebanyak mungkin dari China
3. Melibatkan teknologi dan khidmat sokongan di masa hadapan yang sepenuhnya dari China

Selain dari kesan ekonomi berganda yang tidak dapat dirasai oleh syarikat-syarikat dan pekerja-pekerja Malaysia, lebih membimbangkan ialah pergantungan dalam jangka masa yang lama kepada Kerajaan China sekiranya perjanjian itu mengikut model yang telah digunakan oleh Kerajaan China di negara-negara lain.

Paling membimbangkan ialah kos sebanyak RM55 bilion yang disebut itu adalah terlalu tinggi, apatah lagi berikutan dakwaan bahawa kos projek ini dinaikkan untuk menutup hutang 1MDB (seperti yang didakwa Sarawak Report).

Amalan biasa bagi projek-projek bernilai tinggi seperti ini melibatkan beberapa proses kelulusan iaitu kajian pra-kebolehupayaan atau “pre-feasibility study” (PFS), kajian kebolehupayaan atau “feasibility study” (FS) dan kajian keputusan pelaburan akhir atau “final investment decision” (FID).

Kajian-kajian ini melibatkan anggaran jumlah penumpang, anggaran tiket, anggaran kos dan pertimbangan lain yang boleh menunjukkan sama ada projek ini boleh dibiayai tanpa membebankan rakyat. Soalan-soalan seperti berapa harga tiket yang dicadangkan, berapa kenaikan tiket dalam tempoh 20 tahun akan datang adalah soalan-soalan yang perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum kerajaan menandatangani kontrak dengan Kerajaan China.

Oleh yang demikian, kami mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak membentangkan di Parlimen 3 kajian ini iaitu PFS, FS dan FID sebelum sebarang komitmen diberikan kepada Kerajaan China kerana jumlah RM55 bilion adalah jumlah yang besar dan perlu diluluskan Parlimen.

Pun begitu, kami khuatir Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak akan menghormati Parlimen dan tidak mengendahkan desakan ini. Oleh itu, kami akan menubuhkan satu pasukan yang terdiri dari pakar-pakar dari kalangan orang ramai untuk menjalankan sendiri satu PFS untuk dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh 30 hari dari sekarang.

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
DR HATTA RAMLI, AHLI PARLIMEN KUALA KRAI
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
DR ONG KIAN MING, AHLI PARLIMAN SERDANG


EmoticonEmoticon