Saturday, 8 April 2017

RUU 355 Peningkatan Drastik kepada maksimum100x Sebatan Tanpa Kajian

CADANGAN TEKS UCAPAN BAHAS USUL PERSENDIRIAN MARANG PINDAAN RUU 355 oleh AHLI PARLIMEN PARIT BUNTAR


'Sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan keadilan dan membuat kebaikan serta memberi bantuan pada keluarga terdekat dan anak yatim serta mencegah kamu dari keburukan, munkar dan melampai batas. Dia mengajar kamu semoga kamu mendapat peringatan'.
[Surat An-Nahl 90]

Nabi bersabda: dari Abi Ya'la al Shaddad;

'Sesungguhnya Allah telah menetapkan Ihsan atas segala sesuatu (yang kamu lakukan), jika kamu menamatkan nyawa binatang untuk disembelih maka berlaku ihsanlah (jangan siksakannya), dan jika kamu sembelih maka berlaku ihsanlah dengan sembelihan kamu, tajamkan pisau salah seorang kamu dan tenangkanlah sembelihannya (jgn siksakannya)' (hadis riwyat muslim).

Sesungguhnya keadilan itu diiringi dengan sifat ihsan dan berbuat kebajikan. Al Quran membayangkan keperluan menegakkan keadilan melalui kaedah ihsan sebagaimana hari ini walau baik sekalipun sesuatu undang-undang ia mestilah melalui proses dan tertib secara demokrasi. Walaupun hadis yang dipetik menyebut tentang perbuatan menyembelih binatang ternakan dengan ihsan, ia membawa pengajaran bahawa perintah Allah mestilah dijalankan secara tertib undang-undang mengikut kaedah dan proses yang diterima pada realiti sesebuah masyarakat dan negara.

Sesuatu yang baik jika tidak kena cara dibawa boleh merosakkan kebaikan yang hendak dibawa apatah lagi jika ia dikaitkan dengan nama Islam. IS mendakwa membawa Syariat tetapi IS juga merosakkan nama Islam kerana kaedah dan caranya yang hilang sifat Ihsan. Jangan terpedaya dengan nama dan label Islam, sebab itu dalam konteks perundangan, perbahasan secara bertanggungjawab kepada perlembagaan negara dan asas negara amat penting bagi memastikan hak Ihsan dipenuhi dalam hasrat kita menegakkan keadilan.

Tuan Speaker,

1. Saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Marang yang telah berjaya membentangkan dan memperincikan pindaan RUU 355 sebagai usul persendirian. Selama ini usul persendirian atau private members bill (PMB) belum pernah diberi peluang apatah lagi Marang diberi laluan 2 kali dan hanya pada kali ke 3 perincian dibuat pada majlis yang sama. Syabas pada satu kes yang jarang berlaku, semoga ia menjadi kes awalan pada kami yang lain untuk menggunakan PMB dalam membuat pindaan akta atau memperkenalkan akta baru yang lain.

2. Pindaan yang dihasratkan oleh Marang ialah berkenaan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Marang berhasrat meningkatkan had hukuman dari ketetapan yang sedia ada kepada 100sebatan, 30 tahun penjara dan 100ribu denda. Had hukuman yang sedia ada ialah 6 sebatan, 3 tahun penjara dan RM5,000 denda. Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh penyokong usul iaitu sahabat saya Kota Bharu, ini bukan kali pertama pindaan dibuat sejak diperkenalkan, sebanyak 2 kali pindaan dibuat iaitu 1984 dan 1989. Had hukuman paling awal ialah penjara 6 bulan penjara dan denda RM1000 tanpa hukuman sebatan.

3. Persoalan saya kepada Marang ialah mengapakah peningkatan dari tahap 6, 3, 5 sekarang dinaikan begitu drastik kepada maksimum100x sebatan , 30 tahun penjara, 100ribu denda? Kalau 100x sebatan syarie adalah patuh Al Quran bagaimana 30 tahun dan RM 100Ribu? Walaupun ia dalam bab Takzir (hukuman selain hudud) apa logiknya? Undang-undang Jenayah Syariah adalah kesalahan agama oleh seorang Muslim yang telah disenaraikan. Jika logiknya sekadar meningkatkan hukuman supaya lebih tinggi dari Mahkamah Majistret, sudahkah dibuat kajian keberkesanan yang sedia ada? Adakah ketidak berkesanan itu kepada had hukuman ataukah penguatkuasaan dan pendakwaan dan kurang aspek pendidikan?

Tuan Speaker

4. Amalan perundangan negara kita ialah Sivil dan undang Syariah, keterbatasan syariah adalah kerana beberapa sebab. Pertama Mahkamahnya adalah di bawah kuasa negeri yang diperuntukkan, kedua pesalahnya hanya untuk orang Islam dan ke tiga senarai jenayah syariah tidak boleh bertindih dengan jenayah sivil mengelakan double jeorpady ( dihukum dua undang dari kesalahan yang sama).

5. RUU 355 adalah doktrin menghadkan atau limitasi kuasa agar tidak dilihat bersaing tetapi masing-masing tidak boleh campurtangan, diselesaikan oleh Perkara 121(1A) yang jelas mengendalikan soal campurtangan. Walaupun ada kasus yang menguji keberkesanan perkara 121(1A), namun pemisahan kuasa itu wujud. Sudahkah dirujuk doktrin pemisahan dan persaingan hukuman dalam kerangka besar perundangan negara? Hal ini tidak dibangkitkan oleh pencadang dan penyokong dalam usul Marang.

6. Premis Marang hanyalah Syariah yang diperundangkan tanpa melihat kerangka besar perundangan negara dan undang-undang lain yang sepatutnya diteliti dan dirujuk kepada konsep besar Maqasid Syariah yang bebas bergerak dalam kerangka yang lebih besar.

7. Umpamanya dalam hal SOSMA, AKTA HASUTAN dll di mana sebahagian besarnya tidak menepati konsep keadilan dan kemanusian yang merupakan teras SYARIAH. Saya menyebut demikian kerana isu 355 ini dikatakan ianya adalah SYARIAH dan wajib disokong sedangkan akta lain yang jelas bercanggah dengan prinsip syariah tidak pula dianggap SYARIAH yang wajib disanggah. Obsesi pengikut dan penyokong syariah seolah menganggap 355 adalah segalanya adalah salah faham yang parah terhadap fahaman SYARIAH ISLAM sebenarnya.

Tan Sri Speaker

8. Saya tidak dapat mengelak menegur sebahagian kita yang gagal mendidik rakyat bagaimana sesebuah perundangan dibikin atau dipinda. Selain dari niat yang baik, sesuatu usaha perundangan perlu melalui proses konsultasi pihak pakar, pihak berkepentingan dan orang awam. Dalam proses itu tautan melalui dialog, forum yang melibatkan semua pihak amatlah penting. Lebih malang 355 ini kerana dibawa oleh Marang dan bukan kerajaan telah menimbulkan berbagai reaksi yang memburukkan niat yang baik. Kerana itu ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan 355 sebagai tunggangan politik dan tidak kurang telah melahirkan pentaksob kaum dan agama yang mengambil kesempatan.

9. Pada waktu yang sama golongan yang senantiasa mengaitkan Marang dan partinya dengan 'hudud' melahirkan penentangan yang tegar kepada RUU 355 sehingga sanggup membawa kes ini ke Mahkamah sebagai alasan 'tidak berperlembagaan' Bukankah ini menimbulkan konflik perundangan kerana Marang yang membawanya dan mungkin berbeza jika kerajaan sendiri yang mengusulkannya? Parlimen tidak boleh mengizinkan 355 yang baik ini menjadi polemik perundangan dan politik yang tidak berkesudahan.

10. Saya turut heran kenapa Ummo/BN sebagai kerajaan tidak membawa usul ini jika pemerkasaan mahkamah syariah adalah keperluannya, mengapa membiarkan usul Marang menjadi bahan politik? Agenda politik apa yang hendak dimenfaatkan? Tujuan politik Umno mendekati PAS kah atau tujuan melemahkan pembangkang? Saya tidak boleh membiarkan keperluan murni ini iaitu pemerkasaan mahkamah syariah diperalatkan sebegitu rupa malah cara dan kaedah media perdana memaparkannya adalah untuk tujuan politik Umno.

11. Bukti 355 dipolitikkan adalah jelas dalam ucapan Presiden Umno di PAU 2016. Timbalan Presiden Umno turut menyebut bahawa kerajaan akan adaptasi 355 usulan Marang. Parti komponen Sarawak menolaknya begitu juga MCA, MIC dll. Bukankah ini menimbulkan ketegangan politik? Apakah Umno/BN tidak tahu semua ini akan berlaku? Apa perjanjian sulit yang berlaku antara PAS dan Ummo? Akhirmya PM sebagai pengerusi BN menyatakan pendirian tidak mengambil usul Marang untuk dijadikan usul kerajaan.

13. Maka sahlah ia mainan politik Umno dan segala polemik akhirnya mengorbankan pemerkasaan mahkamah syariah kerana pihak berwajib dari kerajaan Umno/BN tidak akan mengambilnya untuk dibaca kali kedua sebagai RUU kerajaan. Perbahasan kita hari ini hanyalah sekadar 'akademik' yang sudah diketahui penyudahnya bahawa kerajaan tidak akan mengambilnya!

14. Jikalau kerajaan tidak ambil RUU 355 Marang untuk dijadikan urusan undang-undang kerajaan, tujuan apakah semua ini, setelah menimbulkan polemik politik di bawah sana? Bukankah ia niat politik dan tiada kena mengena dengan meningkatkan hukuman mahkamah syariah?

Tuan Speaker,

15. Dalam proses meminda perundangan 355 ini yang caca marba, ramai yang menjadi mangsa golongan TAKFIRI, iaitu sekelompok manusia yang kerjanya menghukum dan mengkafirkan orang Islam semata-mata kerana mengkritik cara RUU 355 dikendalikan. Begitu juga menggunakan institusi Mufti yang menulis bahawa MP Muslim wajib sokong usul ini. Bagi Mufti yang berpandangan usul 355 ini wajib dibahas dahulu untuk meneliti dan memperincikannya dituduh pula Mufti ini dengan berbagai tuduhan. Malangnya institusi mufti diheret sebegitu rupa.

16. Oleh kerana itu, sudah tiba masanya jika isu pentadbiran Islam dan mahkamah syariah mahu diperkasakan sebagaimana disarankan oleh TYDPA dalam titah Baginda, sayugia pihak Parlimen yang mulia ini menubuhkan jawatankuasa khas RUU 355 untuk diteliti dan dinilai serta diperincikan secara holistik bukan sahaja dari sudut peningkatan hukuman tetapi juga meningkatkan kecekapan pentadbiran dan gaji-gaji hakim mahkamah syariah serta pegawainya dan meningkatkan tahap profesionalisma penguatkuasaan dan pendakwaan.

17. Jawatankuasa khas(select commitee) ini hendaklah dibentuk merentas kepartian dan inklusif dari MP bukan Islam juga agar proses pemerkasaan Mahkamah Syariah berlaku secara telus. Pada waktu sama jawatankuasa ini hendaklah melibatkan institusi mahkamah syariah bagi membuat kajian menyeluruh bagi memenuhi kehendak memperkasakan mahkamah dan pentadbiran Islam di Malaysia mengikut perlembagaan persekutan. Hanya dengan kesungguhan ini barulah Mahkamah Syariah akan dilihat terhormat dan bukan sekadar bahan dagangan politik murahan untuk tujuan politik sempit. Saya dan rakan saya Kota Raja dari AMANAH telah mengusulkan bawah peraturan 27(3) tentang semua ini pada sidang lalu dan sidang kali ini sebagai komitmen kami dan keseriusan kami pada isu ini.

Akhirnya Tuan Speaker

Usul Marang dalam pindaan RUU 355 ini mohon diperincikan dalam jawatankuasa khas parlimen dan hendaklah menggunakan proses sepatutnya yang bebas tujuan politik serta diserahkan kepada kerajaan untuk dibentang secara tertib.

Semoga tanggungungjawab kita sebagai penggubal undang-undang melepasi sentimen dan emosi politik..

Parit Buntar mohon mencadang...Terimakasih...

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.


EmoticonEmoticon