Tuesday, 14 March 2017

Rosmah: Jangan banyak sangat soal PERMATA


 
Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau tidak dapat memahami mengapa sesetengah pihak masih banyak bertanya mengenai program Permata Pintar (PERMATA) walaupun banyak penjelasan mengenainya dibuat.


Beliau yang menjadi penaung PERMATA meminta masyarakat supaya jangan terlalu banyak menyoal keberkesanan program berkenaan.

"Janganlah banyak sangat soal menyoal di luar sana. Jangan ragu-ragu dengan program ini.

"Jangan tanya: Oh, (dari mana) dia punya sumber kewanganlah, apalah, macam-macam.

"Kita dah terangkan pun, dia tanya juga lagi. Saya tak faham," katanya semasa berucap pada majlis penutup Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan! di ibu negara hari ini.

Rosmah berkata, pelbagai isu yang dikaitkan dengan PERMATA kadang-kadang mengecewakannya.

Malah beliau menegaskan pelaksanaan program berkenaan tidak pernah mengambil kira faktor politik.

"Kita tak pernah tanya: Bapa awak parti mana, parti itu tak boleh masuk (dan seumpamanya). Tidak, kita tak lakukan perkara macam itu," katanya.

Beliau juga sekali lagi menegaskan tidak pernah mengambil wang yang diperuntukkan kepada PERMATA untuk kegunaan peribadi.

"Program ini semuanya untuk rakyat. Tak ada kena mengena dengan saya.

"Saya tak ambil duit (PERMATA) dan letak dalam poket saya, dalam beg tangan saya. Anda boleh periksa.

"(Anda) ingat senang nak dapat duit daripada kerajaan?" katanya.

Sehubungan itu, Rosmah memberitahu, sekiranya sesiapa ingin mengetahui mengenai perbelanjaan PERMATA, mereka boleh bertanya kepada Pengerusi Jawatankuasa PERMATA Datuk Seri Siti Azizah Abod.

"Kalau anda semua nak tahu perbelanjaan (PERMATA), tanya Datuk Seri Azizah, bukan saya.

"Ada yang kata peruntukan untuk PERMATA itu, untuk bini (Najib) dia punya. Jangan (percaya). Saya tahu, saya dengar.

"Ia (perbelanjaan) bukan untuk saya, bukan untuk Najib. Ia benar-benar untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik

"Tolong bantu kami, tolong bagi kami sokongan, tolong bagi kami kepercayaan dan keyakinan untuk kami lakukan ini supaya kami bermotivasi untuk lakukan demi anda semua," katanya lagi.

Pakatan Harapan sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan menuntut beberapa badan, termasuk PERMATA, dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.


Malah, ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin pula pernah mencadangkan program itu diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Yeo turut sebelum ini turut menuntut PERMATA mendedahkan akaun program mereka.


EmoticonEmoticon