Monday, 6 February 2017

Harga Minyak Terus Kekal Tinggi Sepanjang Tahun 2017



HARGA PETROL DAN DIESEL TERUS KEKAL TINGGI SEPANJANG 2017 JIKA HARGA SILING TIDAK DIPERKENALKAN DAN SUBSIDI TIDAK DIKEMBALIKAN
Saya telah menyatakan sejak 30 Disember 2016 bahawa harga RON95 akan kekal melebihi paras RM2.20 seliter pada 4-5 bulan pertama 2017.
Oleh sebab itulah, dalam kenyataan media saya yang bertarikh 30 Disember 2016 itu, saya telah mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak memperkenalkan harga siling bagi RON95 pada harga RM2 seliter dan sebarang kenaikan harga mengikut formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan melepasi RM2 seliter ditanggung melalui kaedah pemberian subsidi minyak.
Kemarahan rakyat Malaysia dengan kenaikan 20 sen yang ditetapkan pentadbiran Dato’ Seri Najib berkuatkuasa 1 Februari 2017 itu mudah difahami oleh banyak pihak. Dalam keadaan kenaikan gaji yang lembap, kos sara hidup yang melambung dan kesan GST yang masih belum ditangani pentadbiran Dato’ Seri Najib, kenaikan yang berturut-turut itu merupakan satu beban yang semakin menekan kepada rakyat terbanyak.
Apatah lagi kerana kenaikan harga petrol dan diesel di Malaysia juga berpunca dari kejatuhan nilai ringgit yang lebih teruk berbanding matawang lain, bukannya disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah semata-mata.
Hari ini, saya ingin menambah lagi berita buruk kepada rakyat Malaysia dengan memberi amaran yang lebih awal bahawa harga petrol dan diesel dijangkakan akan terus kekal pada paras yang tinggi (sekitar RM2.30 seliter) dalam beberapa bulan akan datang. Malah, saya menjangkakan harga petrol dan diesel akan terus naik dalam beberapa bulan akan datang dan berkemungkinan mencecah RM2.70 menjelang Jun 2017, sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan.
Ini berdasarkan beberapa maklumat pasaran dan unjuran terbaru seperti berikut:
1. Akhbar kewangan dunia Bloomberg dalam rencana bertarikh 2 Februari 2017 (https://www.bloomberg.com/…/oil-halts-advance-near-three-we…) menyatakan bahawa pada paras sekitar USD56 setong (bagi harga rujukan Brent), ia masih tidak menggambarkan sepenuhnya catuan pengeluaran minyak mentah oleh negara-negara pengeluar minyak kerana stok penimbal minyak di Amerika Syarikat terus meningkat.
Ini membayangkan bahawa pengeluar minyak di Amerika Syarikat meningkatkan pengeluaran untuk mengambil kesempatan harga yang meningkat kerana catuan pengeluaran OPEC dan negara-negara lain.
Ini bermakna, pada catuan pengeluaran yang baru mencecah 60% dari sasaran catuan OPEC, harga USD56 setong itu masih dikira rendah dan dijangka akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.
2. Menteri Minyak Russia, Alexander Novak menyatakan bahawa lambakan bekalan minyak mentah dunia (yang menyebabkan harga minyak mentah jatuh merudum) akan berakhir menjelang pertengahan tahun ini. Ini bermakna, harga minyak mentah menjelang pertengahan tahun ini dijangka lebih tinggi dari USD56 setong
3. Syarikat-syarikat gergasi minyak dunia mula melaporkan unjuran keuntungan yang lebih besar bagi suku-suku kewangan yang akan datang
Pola harga minyak mentah yang tinggi ini disahkan oleh beberapa badan ekonomi dunia melalui unjuran harga minyak mentah bagi tempoh jangka panjang yang saya sertakan di bawah:

*Bank Dunia mengunjurkan harga minyak mentah kekal naik dari USD55 setong (2017) ke USD60 setong (2018)*
*Economist Intelligence Unit (EIU) juga mengunjurkan kenaikan harga minyak mentah dari USD56.50 setong (2017) ke USD60.50 setong (2018)*

Dengan maklumat pasaran sebegini, maka adalah lebih baik rakyat Malaysia bersedia dengan kenaikan harga petrol dan diesel bagi bulan-bulan akan datang.
Jika harga minyak mentah terus meningkat seperti yang diunjurkan dan kadar tukaran ringgit terus rendah, saya bersimpati dengan rakyat Malaysia yang berkemungkinan besar terpaksa membayar RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017.
Kali terakhir harga RON95 mencecah paras itu ialah Jun 2008 – tetapi harga RM2.70 seliter itu melambangkan harga minyak mentah dunia iaitu USD121 setong. Alasan kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup yang melonjak naik adalah antara alasan yang digunakan untuk membolehkan Dato’ Seri Najib mengambil alih kerusi Perdana Menteri dari Tun Abdullah Badawi.
Pada Jun 2017, sekiranya Dato’ Seri Najib berdegil tidak mahu memperkenalkan harga siling RM2 dan mengembalikan subsidi, harga RM2.70 itu dipaksakan ke atas rakyat pada harga minyak mentah dunia hanya sekitar USD60 setong (iaitu separuh dari harga minyak mentah dunia semasa Tun Abdullah menetapkan harga RON95 pada paras RM2.70 seliter).
Itu lambang betapa merudumnya nilai mata wang ringgit di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib: nilai mata wang ringgit kini, bila dilihat dari kuasa beli rakyat berhubung harga petrol dan diesel, adalah separuh dari nilai ringgit semasa Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dahulu.
Saya menyeru rakyat Malaysia terus menyatakan bantahan menggunakan #20sen supaya tekanan yang berterusan dapat mengelak rakyat Malaysia membayar harga RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017 kelak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN


EmoticonEmoticon