Tuesday 24 January 2017

KWSP mahu jual dua hartanah di London


 
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan sedang menjual dua hartanah di London yang diiklankan dua minggu lalu dan berharap mampu meraih keuntungan 100 juta pound (RM550 juta), lapor Starbiz.

Menurut seksyen bisnes akhbar The Star, tindakan itu sebahagian daripada strategi bagi mendapatkan wang daripada asetnya di United Kingdom.

Kedua-dua bangunan pejabat itu terletak di St James Square, West End, SW1 dan Tower Bridge House, E1, yang sebelum ini dikenali sebagai bangunan K2 di St Katherine Docks, kata akhbar itu yang memetik sumber.

Walau bagaimanapun, harga indikatif berkenaan adalah berbeza antara sumber-sumber itu. Seorang daripadanya meletakkan nilai kedua-duanya antara 380 juta pound dan 405 juta pound.

St James Square dibeli pada Ogos 2011 pada harga 147.5 juta pound dan diletakkan di pasaran pada harga 205 juta pound, kata sumber kepada Starbiz.

Tower Bridge House pula dibeli pada masa yang sama pada harga 163 juta pound. KWSP juga akan menjualnya dengan harga 200 juta, kata sumber itu.


EmoticonEmoticon