Friday, 9 December 2016

Harga sayur naik Kerana Musim tengkujuh



Musim tengkujuh: Harga sayur naik Yusaini menunggu pelanggan di gerai sayur-sayurannya.


KUANTAN - Masalah bencana alam iaitu banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands, baru-baru ini tidak menjejaskan bekalan sayur-sayuran untuk diedarkan ke seluruh daerah.


Bagaimana musim tengkujuh tetap mendatangkan kesan kepada pemborong dan penjual sayur menyebabkan harganya di pasaran sedikit meningkat walaupun bekalan mengcukupi.

Peniaga, Yusaini Arif, 44 berkata, dia mendapatkan bekalan sayur dari pemborong yang mengambil sayur di Cameron Highlands dan Selayang serta setakat ini tiada masalah gangguan bekalan.

Bagaimanapun, menurutnya, masalah kenaikan harga sayur pada musim tengkujuh adalah perkara biasa dan berlaku setiap tahun tetapi keadaan masih terkawal.

“Setakat ini kita tidak berdepan dengan masalah bekalan walaupun berlaku kejadian bencana alam di Cameron Highlands beberapa minggu lalu.

“Yang mempengaruhi harga sayur ialah musim banjir menyebabkan para pengusaha sayur berdepan sedikit masalah dan kesannya kepada kita juga kerana harga akan meningkat.

“Kenaikan harga tidak terlalu banyak dan bukan satu masalah besar kerana pelanggan juga sudah memahami situasi ini.

“Apabila cuaca hujan ia bukan sahaja meningkatkan harga sayur tetapi kualiti produk juga tidak berapa baik.

“Biasanya fenomena ini akan berterusan sehingga bulan dua dan akan kembali normal selepas tahun baru Cina,” katanya ketika tinjauan Sinar Harian ke Pasar Besar Kuantan, di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga berpengalaman, Ah meng, 52 turut memberikan pandangan yang sama dan menganggap kenaikan harga sayur pada musim banjir adalah perkara biasa.

“Saya memang mendapatkan bekalan sayur dari Cameron Highlands dan sudah berniaga kira-kira 20 tahun.

“Musim hujan memang mendatangkan masalah, di tambah pula pengusaha sayur memaklumkan mereka sekarang kekurangan pekerja.

“Kita sudah faham dengan situasi kenaikan harga pada musim ini dan tidak melenting kerana ia adalah kehendak pasaran.

“Dari segi bekalan memang sedikit pun tidak terjejas tetapi kita bimbang sekiranya banjir berterusan,” katanya.


EmoticonEmoticon